|
RUANG pejabat Reacomp Marketing yang terletak di aras 14, Wisma Mirama, Jalan Wisma Putra pada pagi itu sedikit hening. Kelihatan beberapa orang kakitangannya sibuk melakukan tugas di meja masing-masing.
Mohd. Nawiyah Kassim, 50, tidak terkecuali. Sejak dari tadi dia tekun menyiapkan lukisan bertemakan sejarah bangsa Melayu itu.
Lakaran lukisan yang menggambarkan kedatangan Islam di Melaka satu ketika dahulu itu sudah disiapkan terlebih dulu, kini tinggal proses mewarnakannya sahaja.
Menariknya, tanpa sebarang kertas, pen, pensel, berus atau tiub-tiub warna yang lazim digunakan seseorang pelukis, lelaki yang mesra dengan panggilan Nawi itu selesa menggunakan papan kekunci komputer dan tablet grafik khas untuk mencipta karya-karyanya.
“Inilah keunikan teknologi lukisan digital. Seseorang pelukis tidak lagi perlu bimbang melakukan kesilapan apatah lagi terbeban dengan kos tinggi untuk membeli pelbagai peralatan lukisan.
“Hanya berbekalkan bakat, kreativiti dan penguasaan menggunakan perisian tertentu, mereka mampu menghasilkan karya seni bernilai tinggi setanding dengan lukisan biasa,” katanya yang berasal dari Kuala Sungai Baru, Melaka.
Meminati seni lukisan sejak dari sekolah rendah, Nawi berkata, dia mula didedahkan dengan konsep lukisan digital selepas melawat satu pameran yang diadakan di ibu negara, 13 tahun lalu.
Katanya, ketika itu dia sangat kagum dan teruja melihat seorang pelukis dari luar negara melukis panorama bandar raya Kuala Lumpur menggunakan komputer.
“Saya tidak pernah bayangkan komputer juga mampu hasilkan sebuah lukisan yang indah dan sempurna. Hati saya membuak-membuak untuk mempelajarinya namun disebabkan kekangan teknologi dan kewangan ketika itu menyebabkan hasrat itu terpaksa dipendamkan seketika,” ujar pelukis kulit buku novelis terkenal tanah air, Khadijah Hashim.
Teknologi baharu
Bagaimanapun, peluang itu hadir beberapa tahun kemudian selepas dia menyertai sebuah agensi periklanan di Kuala Lumpur.
Di syarikat itu dia mula terdedah dalam bidang grafik dan animasi termasuk penggunaan gajet dan perisian komputer berteknologi tinggi.
Pada 2011, Nawi mula menyertai Reacomp Marketing. Ia merupakan syarikat tempatan yang menawarkan pelbagai koleksi lukisan, rekaan buku dan kaligrafi bermutu tinggi di negara ini. Di bawah jenama Kancil Art Gallery (KAG), sebuah galeri dalam talian, Nawi mula mengasah bakatnya dalam teknologi lukisan digital.
Tambah anak kelima daripada 10 beradik itu, pada peringkat awal dia agak kekok melukis di komputer menggunakan gajet seperti tablet dan pen digital di samping perlu menguasai perisian Adobe Photoshop.
“Bayangkan selama lebih tiga dekad terlibat dalam bidang ini, saya sudah terbiasa dengan kertas, pensel, pen serta bermain dengan warna-warna daripada cat air, cat minyak dan sebagainya.
“Tidak hairanlah, tempoh masa sebulan dua juga diperlukan untuk mahir dan membiasakan diri. Lagi pun, pelbagai tip yang diperoleh di internet banyak membantu saya berlatih sekali gus menghasilkan hasil seni bernilai tinggi seperti pelukis-pelukis profesional,” ujarnya yang gemar menghasilkan lukisan potret, sejarah dan panorama.
Pengurus KAG, Mohd. Yunus Yusof, 50, memberitahu, galeri itu ditubuhkan pada tahun 2011 dengan matlamat mengetengahkan bakat-bakat pelukis tempatan di samping mempelopori teknologi lukisan digital sebagai salah satu cabang seni yang semakin diminati pada hari ini.
Katanya, biarpun teknologi ini masih baharu di negara ini, namun mempunyai pasaran luas dan mampu dijadikan hasil seni yang menarik dan ekslusif seperti lukisan minyak.
“Lukisan minyak sememangnya cantik dan sesuai dijadikan hiasan rumah atau pejabat, namun kosnya yang mahal sehingga mencecah puluhan ribu menyebabkan tidak ramai yang mampu memilikinya.
“Bagaimanapun, dengan teknologi ini, sesiapa sahaja mampu memilikinya dengan kos serendah RM1,000 sehingga RM10,000 sebuah. Apa yang penting ia boleh diulang cetak dalam jumlah yang besar sekali gus memenuhi permintaan semua peringkat masyarakat,” ujarnya.
Mohd. Yunus yang juga seorang berpengalaman luas dalam bidang seni lukisan memberitahu, biarpun menggabungkan kombinasi antara manusia dan komputer, namun penghasilan lukisan digital tetap mememerlukan ketelitian mendalam di samping pelukis yang berbakat.
Karya agung
Jelasnya, pihaknya tidak berkrompomi dengan soal kualiti sesebuah lukisan digital yang dihasilkan sehingga adakalanya ia sukar dibezakan berbanding lukisan minyak biasa.
“Justeru, tidak hairanlah ada dalam kalangan pelanggan kami terdiri daripada orang istana, ahli politik dan sebagainya kagum dengan kehalusan dan keunikan hasil seni yang ditonjolkan dalam setiap karya.
“Setakat ini kami mempunyai beberapa siri lukisan digital seperti siri karya agung, raja dan sultan, sejarah Melayu, artis, korporat, politik dan sebagainya,” katanya.
Pada satu pameran yang diadakan di Dewan Bahasa dan Pustaka baru-baru ini, mereka mendapat maklum balas yang menggalakkan daripada peminat-peminat seni tempatan.
Tambah beliau, ketika ini KAG mempunyai beberapa pelukis yang berpengalaman luas dalam bidang grafik, ilustrasi dan seni lukis.
“Selain lukisan digital, kami juga menawarkan lukisan minyak dan kolaj di samping menyediakan reka bentuk buku seperti buku teks, jurnal, buku manual, laporan tahunan syarikat, sepanduk, kalendar di samping kaligrafi jawi, Arab serta lukisan mural,” jelasnya.
Sementara itu, seorang kakitangan KAG, Meor Kamaruddin Meor Ismail, 51, mengakui penggunaan komputer sedikit sebanyak menjimatkan masa dan kos.
“Peralatan untuk melukis seperti berus, pen serta warna-warna cat air atau cat minyak bukan murah, adakalanya mencecah ratusan ringgit.
“Pada masa yang sama, tempoh untuk menyiapkan juga semakin singkat kerana pelukis boleh berkarya di mana-mana sahaja asalkan mempunyai komputer dan tablet grafik bagi tujuan itu,” katanya yang berasal dari Parit, Perak.
Berpengalaman luas dalam bidang ilustrasi dan karikatur kanak-kanak serta penghasilan buku teks, Meor Kamaruddin memberitahu, sebelum ini dia sering berhadapan dengan masalah sekiranya ada antara karyanya ditolak oleh pihak penerbitan.
“Lazimnya, ia melibatkan perubahan-perubahan kecil sahaja, namun disebabkan ia dilakukan secara manual, saya perlu menghasilkan dan menghantar karya yang sama berulang kali sehingga memuaskan hati penerbit.
“Bagaimanapun, melalui teknologi digital, saya hanya perlu mengubah suainya di komputer. Apa yang lebih penting ialah saya tidak perlu risau sekiranya ia dicuri, hilang atau rosak kerana karya asal masih tersimpan di dalam memori komputer,” jelasnya.
Bapa kepada empat orang anak itu berkata, biarpun didedahkan teknologi lukisan digital pada usia yang agak lewat namun dia tetap berpuas hati kerana karya yang dihasilkan bernilai tinggi dan sukar dibezakan berbanding lukisan biasa.
“Biarpun dihasilkan menggunakan komputer, ia bukan karya picisan kerana pelukis-pelukis di galeri ini sememangnya berkemahiran tinggi dan berpengalaman luas dalam bidang masing-masing.
“Lagi pun, melalui teknologi ini kami boleh berkarya dengan lebih kreatif di samping meneroka segala teknik baharu yang ditawarkan dalam perisian berkenaan,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: