Friday, December 6, 2013

Pretty Ugly dulu dan sekarang



LANGKAH Pretty Ugly bermula sejak tahun 1997. Secara sedar ataupun tidak, sudah 16 tahun band itu berpaut pada dahan-dahan seni yang tumbuh mekar seiring revolusi muzik saban tahun.
Single Diari Seorang Lelaki mempopularkan band yang dianggotai oleh Raizan Zainal Abidin (Neves), Mohammad Raziz Zainal Abidin (Jay), Nik Muhd Histami Nik Mohd Din (Net) dan Ikhwan Ajwad Rawyani (Juad) itu suatu ketika dulu.
Bagaimanapun, bintang Pretty Ugly semakin malap tahun demi tahun. Ibaratnya tiada lagi bisa untuk menangkap halwa telinga pendengar dan tidak ada formula ampuh untuk terus memantapkan jenama mereka.
Mengulas tentang situasi itu, ujar vokalis band Pretty Ugly, Neves, mereka berkembang bersama kelompok peminat yang kini sudah beralih fasa kehidupan tapi sebenarnya masih mampu mencuri hati kelompok remaja.
"Band Pretty Ugly sudah berusia 16 tahun dan pastinya pendengar pada zaman kemunculan kami sudah beralih tangga usia.
"Bagaimanapun, kami adalah band yang mencipta lagu yang tidak terlampau muda atau tua. Kami di pertengahan!
"Kelompok pendengar masih sama dan semakin bertambah setiap masa, cuma kami adalah band yang menggunakan formula sama seperti band baharu tapi bezanya adalah kami muncul lebih awal," katanya berteman Jay dan Juad ketika hadir ke sesi fotografi di Studio Utusan baru-baru ini.
Loncatan gemilang
Neves mengakui Diari Seorang Lelaki merupakan had kegemilangan maksimum yang mampu Pretty Ugly gapai dan usaha untuk mencari single sebaik lagu itu berdepan pancaroba yang tidak bertepi.
"Ada pun sebuah single genre hard rock, Gabra (Rock Bebeh!), yang mendapat maklum balas kurang memberangsangkan. Itu pun ketika album EP terakhir bersama KRU Studios tujuh tahun lalu.
"Malangnya, langkah promosi single ketika itu agak perlahan dan pada masa sama satu persatu band baharu mulai dibentuk.
PRETTY UGLY mengaku perkara yang sukar dilakukan adalah meraih kembali perhatian peminat.


"Memang benar langkah untuk naik semula dan mendapat tempat di hati peminat adalah paling sukar," getusnya.
Ditanya adakah anggota band Pretty Ugly pasif memperjuangkan album setelah dilancarkan kerana masing-masing sudah mempunyai latar belakang karier lain selain bidang seni, celah Jay, itu bukan faktor perdana.
"Karier masing-masing masih sama seperti lima tahun lepas dan selepas album Darabkan Sejuta dilancarkan pada tahun 2011 sambutan tetap kurang menggalakkan.
"Malah, kami kecewa kerana lagu kami kurang diputarkan di radio dan itu menjadi punca utama kenapa Pretty Ugly semakin hilang seri.
"Sifirnya, pendengar akan beli album apabila sesebuah lagu itu menjadi hit setelah sering kali diputarkan di radio. Kami pun pelik kenapa lagu kami jarang diputarkan," luahnya.
Persaingan
Sementara itu, melihat perkembangan pesat band-band baharu yang dianggotai ahli yang lebih muda, Pretty Ugly melihat senario itu satu rentetan perjuangan lepas.
"Ini adalah satu persaingan yang bagus, tercipta mereka disebabkan perjuangan band-band sebelum ini. Kami adalah band pertama yang memecahkan tradisi tahun 2001 yang mencipta lirik moden dalam lagu.
"Sebelum itu semua lirik moden adalah berbahasa Inggeris dan band-band tempatan ketika itu tidak berani mengunakan bahasa pasar yang sempoi, pelik tapi bombastik," tambah Juad.
Dia mengakui, pendengar tempatan tidak gemarkan perubahan dan mahu mengekalkan konsep sama. Kerana itu katanya, ramai peminat yang masih mahukan Pretty Ugly mencipta lagu seperti single hit Diari Seorang Lelaki.
Bagaimanapun, mereka memuji sesetengah band yang tampil bersama eksperimen baharu tapi berjaya mencuri tumpuan pendengar, contohnya Hyper Act yang tampil dengan mood dan genre segar.
Pernahkah Pretty Ugly dibayar murah untuk sesebuah persembahan dan meletakkan kedudukan band itu sekadar di pinggiran?
Jelas Neves, soal bayaran tidak seharusnya dijadikan jenaka kerana hidup mati sesebuah band bergantung pada kekerapan persembahan dan penghargaan penganjur melalui jumlah bayaran.
"Jika tidak mampu membayar, jangan anjurkan acara! Perkara bayaran rendah kepada band-band lama tidak seharusnya berlaku melainkan projek itu untuk membantu pelajar sekolah atau universiti.
"Malah, kami tidak memandang faktor bayaran pun sekiranya ada institusi pendidikan menjemput kami untuk membuat persembahan kerana golongan pelajar dan remaja lebih senang didekati dan lebih menghargai usaha muzik kami.
"Biasanya, selepas membuat persembahan bersama mereka kami akan lebih puas dan sekali gus mendapat kelompok peminat baharu serentak," katanya.
PRETTY UGLY mahu stesen radio memutarkan lagu sama rata untuk memberi peluang kepada semua pemuzik hidup.


Cabaran AIM
Tuah tahun 2013 menjanjikan harapan yang cerah buat Pretty Ugly yang turut tercalon dalam kategori Muzik Video Terbaik, Anugerah Industri Muzik ke-20 (AIM 20).
Kata Neves, muzik video lagu #1 (disebut Nombor Satu) itu dibikin bersama Altimet dengan kos bernilai lebih RM15,000. Maka, sejajar dengan keringat dan nilai yang dilaburkan, mereka meletakkan harapan tinggi.
"Muzik video ini dihasilkan berkonsepkan MTV (muzik televisyen), jadi hasilnya memang akan pelik, lebih banyak grafik dan adakalanya tidak logik.
"Selebihnya kami fokuskan sinematografi dan jalan cerita berdasarkan lirik lagu itu tapi pada masa sama penonton masih mampu mencerna dan memahaminya.
"Istimewanya lagu ini kerana ia dicipta untuk menyuntik semangat cintakan tanah air tanpa mengira bangsa, agama dan kepercayaan politik serta mengajak rakyat Malaysia bersatu-padu," jelas Neves mengenai muzik video yang telah diarahkan oleh Perez Oldskool.
Muzik video #1 bakal berentap bersama empat calon lain dalam kategori sama iaitu Dwihati (Aizat Amdan ft. Yuna), Tanpamu (Amir Jahari), Jauh Ke Syurga (Ana Raffali) dan Fearless Hearts (Mr. Fluff).


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: