|
BAK peribahasa Melayu, ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’, begitu juga dalam usaha menguasai sesuatu bahasa. Pendidikan bahasa itu perlu dimulakan sejak awal iaitu ketika anak masih kecil.
Di negara kita, penggunaan meluas bahasa Inggeris memerlukan ibu bapa mengambil pendekatan tambahan untuk meningkatkan kemahiran anak-anak berbahasa Inggeris. Inisiatif tersebut dapat membantu kanak-kanak membentuk rangkaian yang kukuh dalam mendalami kemahiran itu.
“Kami hanya menggunakan bahasa Melayu semasa berkomunikasi di rumah. Kelemahan kami berbahasa Inggeris turut memberi kesan kepada anak-anak. Di sekolah, anak-anak saya berkawan dengan kanak-kanak Melayu yang rata-rata latar belakang mereka serupa seperti kami,” keluh Zailahwati Mohd. Misbah, 37, dari Meru, Klang.
Oleh yang demikian, dia dan suaminya, Sahabudin Saharudin, 37, menghantar anak mereka ke kelas bahasa Inggeris di Cambridge English For Life (CEFL) di Shah Alam.
“Pendedahan bahasa Inggeris yang profesional di pusat ini telah memberi kesan positif terhadap kemampuan anak-anak saya bertutur dalam bahasa berkenaan,” ujar Zailahwati.
Menurutnya, kini, kesemua anaknya yang berusia 10, tujuh dan lima tahun bukan sahaja mula membaca buku berbahasa Inggeris malah keyakinan diri mereka turut meningkat. Sejak itu, mereka mula menyertai pelbagai pertandingan bahasa Inggeris di sekolah seperti bercerita dan mengarang.
Dalam pada itu, seorang pensyarah di sebuah kolej swasta, Yasotha Devi, 44, memberitahu, dia berasa sedih apabila mendapati tahap penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajarnya begitu lemah.
Pelaburan
Keadaan itu umpama satu “amaran” kepadanya agar menitikberatkan pendidikan dan penguasaan bahasa Inggeris kepada anak-anaknya.
“Saya menghantar anak-anak ke kelas tambahan, membeli buku-buku yang menarik dan melibatkan mereka dengan pelbagai aktiviti berkaitan bahasa Inggeris. Walaupun memakan masa, tenaga dan faktor kewangan, saya lihat ia sebagai satu pelaburan pada masa hadapan,” kata ibu kepada dua orang anak berusia 13 dan 11 tahun itu.
Bahasa Inggeris merupakan bahasa natif bagi lebih 350 juta orang. Kajian oleh Pakar Kamus, Susie Dent dari Universiti Oxford, United Kingdom, menunjukkan bahawa seorang yang berbahasa Inggeris menggunakan 20,000 perkataan daripada 500,000 hingga sejuta perkataan yang ditemui dalam bahasa itu.
Persoalannya, berapa banyakkah perkataan yang kita atau anak gunakan menunjukkan kemampuan dan perkembangan bahasa itu?
“Saya sendiri tidak pernah menyedari kepentingan untuk mendedahkan anak-anak ke kelas bahasa Inggeris selain di sekolah. Antara sebab utama ialah kos dan sejauh mana ia berkesan?” itu persoalan yang berlegar di pemikiran Adnan Yassin, 47, bapa kepada tiga orang anak.
Bermanfaat
Selepas dinasihati beberapa orang rakan, dia menghantar anak ke kelas tambahan.
Dia juga turut meluangkan masa membuat aktiviti dalam bahasa Inggeris di rumah. Cara tersebut bukan sahaja memberi manfaat kepada anak-anaknya malah kepada dirinya sendiri.
“Sebelum ini, anak-anak saya tidak meminati bahasa Inggeris, namun kini mereka menunjukkan perkembangan yang positif. Mereka juga seronok apabila saya turut serta melakukan aktiviti dalam bahasa Inggeris bersama mereka.
Bagi Mohd. Din Mohd. Layer, 46, yang merupakan seorang pegawai bank percaya minat terhadap bahasa Inggeris boleh dipupuk dengan amalan berkomunikasi secara konsisten.
“Anak saya, Mohd. Amiruddin, yang belajar di sekolah agama, pada mulanya enggan bertutur dalam bahasa Inggeris tetapi kini, dia menunjukkan kemajuan yang baik.
“Dia yang berada di semester ketiga tahap Flyers di CEFL tidak lagi malu berinteraksi dalam bahasa itu malah minatnya membaca buku dalam bahasa Inggeris juga semakin meningkat tanpa perlu dipaksa-paksa,” ujar Din.
Pada pendapatnya, usahanya menghantar anak-anak mengikuti kelas tambahan selain di sekolah merupakan satu tindakan yang betul meskipun memerlukan kos tambahan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: