Sunday, October 13, 2013

Kancah drama TV lebih stabil

TERPILIH sebagai panel siri jelajah DFKL, tiga anak seni ni bakal berkongsi pengalaman dan pandangan mereka untuk generasi baharu yang meminati industri kreatif.


PETI televisyen yang biasa disebut TV merupakan medium hiburan paling asas. Kecuali dalam kes-kes terpencil, boleh dikatakan, televisyen ada di setiap ruang tamu penduduk dunia dan Malaysia khususnya.
Televisyen memainkan peranan sebagai jendela dunia menakala juadah yang dihidang haruslah menjadi makanan mesra keluarga. Salah satu hidangan wajib televisyen pula ialah drama. Sedar atau tidak, drama televisyen sudah menjadi keperluan wajib dalam masyarakat mahupun penggerak dalam industri, pembikin, pelakon bahkan stesen televisyen itu sendiri. Seorang penerbit tersohor, Rosyam Noor dalam satu temu ramah tidak berapa lama dahulu menjelaskan, secara purata terdapat lebih daripada 10 rumah produksi yang berpusat di Kuala Lumpur menjalankan penggambaran setiap hari sepanjang tahun.
Sedar perkembangan pengkaryaan drama, keperluan dan tuntutan sebuah karya yang menepati kehendak masyarakat, kualiti dan kreativiti karya yang dalam masa yang sama memberi pulangan kepada stesen televisyen dan pembikin, TV3 mengambil langkah memperkenalkan satu penganjuran yang diberi nama Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL).
Acara julung-julung kali itu bakal menghubungkan karyawan industri kreatif termasuklah pengarah, penulis skrip, pakar sinematografi, pelakon, pengacara daripada tahap amatur sehinggalah profesional.
Sebelum acara kemuncak yang dijadualkan pada Februari tahun depan, TV3 dan TV9 akan mengadakan siri jelajah ke institusi pengajian tinggi terpilih bermula dari 2 hingga 16 Disember nanti. Antara aktiviti yang dijalankan termasuklah bengkel pengarahan, penulisan skrip, lakonan serta kandungan muzik yang akan dikendalikan panel yang dilantik daripada pemain industri sendiri.
Penganjuran Pertandingan Drama Pendek untuk had lima minit itu menjadi teras penganjuran DFKL. Terbuka kepada semua warga Malaysia, penyertaan drama bertemakan kehidupan percintaan atau komedi tentang rakyat Malaysia itu boleh dihantar menerusi www.vedo.my bermula 1 November hingga 30 Disember ini.
Dua orang pengarah terkenal, Azmal Aizal Yusoof dan Ahmad Idham yang ditemui pada majlis pelancaran DFKL diajak berkongsi pendapat tentang arus drama tanah air. Mereka dipilih sebagai panel yang terlibat dalam penganjuran DFKL selain Rosyam Nor yang turut undang ke majlis berkenaan.
SENSASI BINTANG: Sepanjang penglibatan dalam industri, bagaimana saudara melihat format drama mutakhir ini.
AZMAL AIZA YUSOOF (AAS): Apa yang selalu kita hadap, drama harus ada cinta, kekeluargaan, persahabatan dan apa sahaja yang berkaitan kehidupan. Saya melihat penonton suka tengok benda-benda yang trending contohnya macam drama dari Korea atau K-pop. Saya pun suka drama Korea. Rasanya drama kita pun sudah terikut-ikut macam drama Korea baik dari segi permainan dan imej pelakon itu sendiri. Semua orang suka tengok cerita cinta yang pasangannya kena kahwin paksa, mula-mula benci kemudian jatuh cinta bagai nak mati, konflik orang ketiga yang cuba menghancurkan dan penghujungnya bahagia. Jangan sesekali matikan hero atau heroin, penonton akan marah. Drama adaptasi daripada novel juga satu bentuk yang popular sekarang.
AHMAD IDHAM (AI): Sebenarnya saya kurang buat drama sekarang, cuma yang terbaharu ada telemovie Aang Long vs Kak Yong yang disiarkan raya baru-baru ini. Untuk drama, kita tidak sebebas seperti berkarya dalam filem. Drama ada banyak garis panduan oleh stesen televisyen. Format atau bentuk bukan satu isu sebaliknya sasaran penonton. Sesetengah stesen televisyen memang sudah ada target iklan dan penonton. Bentuk drama banyak ditentukan penonton dan rating. Slot drama penting supaya tidak berlaku cacar-marba dan wajib ada pengkhususan.
Bagaimana saudara berdepan semua tuntutan itu sedangkan drama harus bergerak dari kemahuan pengkaryanya?
AAI: Saya masih baru dalam bidang pengarahan, jadi banyak lagi yang perlu dipelajari. Apa jua tuntutan atau cerita, penonton tetap mahukan hero yang romantik dan budiman supaya penonton wanita jatuh cinta. Heroin pula kena cantik untuk memancing penonton lelaki. Cabaran bagi kami adalah untuk membentuk keseimbangan, kemahuan audiens, televisyen dan diri sendiri.
AI: Apabila kita dah faham, tiada isu boleh menyekat karya. Bila televisyen tetapkan siapa pelakon yang dimahukan, mereka ada matlamat. Pembikin yang berkarya harus laksanakan dengan matlamat dan sekali pun bergelar karyawan, kita tidak boleh lari daripada undang-undang. Industri drama tidak sama dengan filem, walaupun banyak buat filem, saya lihat drama televisyen sebenarnya lebih stabil kerana karya itu melalui banyak perhitungan dari segi pasaran kerana fokus televisyen ialah rating.
Bercakap soal pelakon, wajah komersial didahulukan dan mudah mendapat tempat, tapi bagaimana dengan pelakon yang hanya mempunyai rupa dan populariti ala kadar?
AAY: Apa yang saya maksudkan itu dalam konteks massa (komersial) tetapi televisyen juga ada slot-slot yang genrenya berlainan macam slot 9X di TV9. Di situ, pengarah boleh berkarya dan bawa pelakon yang jarang muncul tapi kerjanya bagus. Penonton biasa tidak hiraukan isu itu tetapi untuk penonton yang mempunyai pemikiran kritikal, mereka peka terhadap kandungan dan pelakon dalam drama.
AI: Mudah sahaja, pelakon yang merasakan diri mereka kurang mendapat perhatian itu haruslah berusaha lebih gigih.
Masuk kepada penganjuran DFKL, boleh kongsikan pandangan saudara?
AAY: Sebenarnya saya terharu kerana terpilih jadi panel untuk bersama-sama dengan karyawan lain yang otai semuanya. Kiranya saya ini mewakili pengarah generasi baharu. Kalaulah festival ini wujud ketika zaman saya belajar dulu, saya tidak akan lepaskan peluang itu.
AI: Saya pun masih muda. Agenda ini harus disokong, saya akan dapat belajar daripada acara ini nanti. Ini platform untuk kita semua tahu kreativiti, kredibiliti dan apa dimahukan oleh pengkarya muda.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: