Sunday, October 13, 2013

Pakar IT jual kraftangan


ZAHIR turut menganjurkan pelbagai kelas berkaitan kraf tangan yang dikhaskan kepada golongan dewasa sahaja.


BARANGKALI ramai yang menganggap mengumpul bahan-bahan terpakai seperti disket, cakera padat (CD), tin susu dan jar merupakan kerja sia-sia.
Namun, jika betul caranya, semua bahan itu sebenarnya boleh mendatangkan hasil lumayan.
Pemilik Creative Cottage, Zahir Yusof, 57, mempunyai cara tersendiri dalam mengitar semula sampah berkenaan.
Menurut Zahir, hampir 30 peratus barangan yang terdapat di kedainya menggunakan bahan-bahan terpakai yang diolah semula menjadi barangan baharu.
“Sayang apabila melihat bahan-bahan terpakai ini dibuang begitu sahaja.
“Saya mengubahnya menjadi pelekat magnet dengan dihiasi lukisan yang dilukis di atas permukaan disket ini mengikut kreativiti sendiri,” ujarnya memulakan bicara.
Jelasnya, seni lukisan di atas permukaan berlainan daripada kayu itu merupakan hobinya pada waktu lapang sebelum bertukar menjadi perniagaan.
Katanya, dia sememangnya tidak mempunyai latar belakang dalam bidang seni lukisan tetapi minat mendorongnya menjadikan hobi sebagai sumber pendapatan.
“Sebelum membuka perniagaan sendiri, saya pernah terlibat di dalam bidang teknologi maklumat selama 20 tahun.
“Pada permulaan perniagaan, saya hanya melakukannya secara sambilan sahaja pada setiap hujung minggu dengan berniaga di Flea Market Amcorp Mall, Petaling Jaya.
“Melihatkan sambutan yang diterima daripada peminat kraf tangan dan antik amat menggalakkan menyebabkan saya membuka sebuah kedai yang mengkhususkan kepada seni lukisan tangan,” tambahnya yang sudah berkecimpung di dalam bidang tersebut selama 10 tahun.

SEBANYAK tiga buah buku mengenai lukisan dan kraf tangan dihasilkan oleh Zahir.


Tambahnya, kelainan produk yang dihasilkan ialah melukis menggunakan cat khas di atas permukaan yang berlainan daripada kayu dan kanvas seperti plastik, kek dan kaca.
“Selain menjual produk sedia ada, kita turut menerima tempahan khas daripada pelanggan mengikut rekaan, warna dan cita rasa mereka tetapi dalam kuantiti kecil.
“Cat khas dan varnis yang digunakan itu diimport dari Australia dan Amerika Syarikat.
“Saya turut menjual cat ini melalui online di www.creativecottageonline.com,” ujarnya sambil memberitahu, setiap produk yang dihasilkan mengambil masa selama satu jam untuk disiapkan tetapi semuanya bergantung kepada kerumitan untuk menghasilkannya.
Kek tiruan
Zahir berkata, kesemua produknya itu dijual dalam lingkungan harga RM15 hingga RM300 tetapi ada juga pelanggan yang mempertikaikan mengapa dia meletakkan harga yang mahal sedangkan dia menggunakan bahan terpakai.
“Produk yang dihasilkan ini mempunyai nilai eksklusifnya yang tersendiri dan oleh sebab itu, harga yang dikenakan agak mahal, malah ada juga pelanggan yang tidak kisah dengan harga asalkan mereka menyukainya.
“Saya turut melukis di permukaan atas kek tiruan yang dibuat menggunakan polisterin, aising royal, fondant dan pewarna dan menyapu varnis untuk membolehkan ia tahan lama.
“Idea untuk melukis di atas permukaan kek ini sudah lama tercetus tetapi ketika itu, saya tidak berpeluang serta tidak mempunyai kemahiran membuatnya.
“Untuk itu, saya menjalani kursus di dalam bidang pembuatan kek dan selepas itu, barulah saya melukis di atas permukaan kek,” tambahnya sambil memberitahu harga untuk kek tiruan itu bergantung kepada rekaan, ketinggian dan saiz kek yang dihasilkan.
SELAIN melukis di permukaan seperti plastik dan kaca, Zahir turut melukis di atas kek tiruan yang dihasilkannya.


Ujarnya, proses penghasilan produknya bermula dengan mengecat di permukaan yang diinginkan sebelum menggunakan teknik tekap untuk menghasilkan rekaan.
“Selepas itu, rekaan yang dibuat tadi diwarnakan mengikut kreativiti sebelum ia melalui proses pengeringan selama 15 minit.
“Bagi melindungi sesuatu permukaan itu, kita sapukan varnis untuk tahan lama serta bagi mengelakkan warnanya tidak mudah luntur,” jelasnya yang juga mempunyai pelanggan dari luar negara seperti Indonesia dan Jepun.
Tambahnya, dia akan mempelbagaikan rangkaian produk keluarannya selain sentiasa mengikuti perkembangan terkini bagi memastikan dia tidak ketinggalan rekaan-rekaan terbaharu yang berada di pasaran.
“Selalunya saya akan menghasilkan produk baharu enam bulan sekali bagi memberi pilihan kepada pelanggan dan saya menjadikan internet dan buku-buku kraf tangan dari luar negara sebagai sumber rujukan bagi menghasilkan idea-idea baharu,” ujarnya yang menjadikan Martha Stewart sebagai idola.
Selain menjual produk kraf siap, dia turut menganjurkan pelbagai kelas berkaitan kraf tangan antaranya seni melukis kaca, cermin, lilin, teknik decoupage, lukisan stensil dan mencanting batik.
“Kelas berkaitan kraf tangan hanya dikhaskan kepada golongan dewasa sahaja dengan maksimum tiga orang pelajar untuk sesi selama satu jam itu.
“Harga yang dikenakan pula dalam lingkungan RM35 hingga RM65 bergantung kepada jumlah jam dan apa yang dipelajari,” jelasnya yang menggunakan teknik tekap bagi mereka yang baru menjinak-jinakkan diri mempelajari bidang tersebut.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: