Sunday, October 13, 2013

Shareena ambil sendiri baju pelanggan


SHAREENA Liza memilih untuk bekerja sendiri berbanding makan gaji kerana waktunya yang lebih fleksibel.


PERNIAGAAN dobi sejak akhir-akhir ini muncul bagai cendawan tumbuh lepas hujan. Ada yang terus maju tapi banyak juga yang bungkus dek kerana tak cukup pelanggan.
Isu tutup kedai juga sering menghantui pemilik kedai Gardene Laundry, Shareena Liza Ghazali, 34. Lantaran itu dia memberi pandangan berbeza dalam perkhidmatan cucian pakaian yang ditawarkannya.
Kata Shareena, dia menyediakan perkhidmatan ambil dan hantar cucian pakaian dari rumah pelanggan bagi memberikan pilihan kepada pelanggan.
Menurutnya, perkhidmatan tersebut disediakan bagi pelanggan yang berada di sekitar Lembah Klang sahaja dalam memberi kelainan kepada perkhidmatan kebiasaan yang ditawarkan oleh kedai dobi.
“Dengan penawaran perkhidmatan ini, ia sekali gus memudahkan pelanggan yang sibuk atau individu berkeperluan khas masih mampu untuk menghantar pakaian mereka ke kedai malah kita juga tidak meletakkan sebarang had minimum untuk perkhidmatan itu.
“Pada kebiasaannya, butik-butik pengantin dan individu perseorangan menggunakan perkhidmatan ini dan kadar bayaran pula dikenakan mengikut berat pakaian tersebut,” ujarnya memulakan bicara.
Jelasnya, sebelum mempunyai jenama sendiri, dia pernah menjalankan perniagaan dobi itu secara francais kira-kira lima tahun lalu.
“Setelah kontrak francais itu tamat, saya memilih untuk menubuhkan kedai dobi menggunakan jenama sendiri selain saya juga sudah mempunyai pelanggan tetap.
“Ini merupakan keputusan terbaik di dalam hidup apabila saya memilih untuk menjana pendapatan sendiri berbanding dengan hanya menerima gaji tetap setiap bulan.
“Saya terlibat di dalam bidang kecantikan selama tiga tahun sebelum memulakan perniagaan ini kerana mahu memfokuskan kepada keluarga ketika itu,” ujarnya yang turut dibantu oleh adik, Nur Saadializa, 28.
Selain waktu yang fleksibel, cabang perniagaan ini juga mudah untuk diuruskan selain faktor lokasi juga turut membantu.
“Di kawasan ini sahaja ada kira-kira tujuh buah kedai yang menawarkan perkhidmatan dobi tetapi itu sedikit pun tidak mematahkan semangat saya untuk terus berkembang di dalam bidang perniagaan ini kerana percaya rezeki milik masing-masing.
“Sasaran pelanggan juga terdiri daripada individu yang bekerja di sekitar kawasan ini dan kawasan perumahan berhampiran,” jelasnya yang beroperasi seawal 8.30 pagi hingga pukul 9 malam setiap hari.

SHAREENA turut melakukan kerja-kerja seperti mencuci, menggosok dan melipat pakaian dan tidak bergantung sepenuhnya kepada pekerja.


Periksa setiap pakaian
Ujarnya, setiap pakaian pelanggan akan diperiksa terlebih dulu sebelum proses cucian dimulakan.
“Ini bertujuan bagi mengenal pasti sekiranya terdapat bahagian pakaian yang koyak atau rosak dan sekiranya itu berlaku, kita akan maklumkan kepada pelanggan sebelum memulakan proses pencucian.
“Selain itu, ia juga bagi mengelakkan pelanggan menyalahkan kita sekiranya pakaian mereka rosak,” jelasnya yang mempunyai dua orang kakitangan sepenuh masa.
Menggalas tanggungjawab sebagai pemilik tidak bererti dia hanya perlu mengarah kakitangannya sahaja tetapi sebaliknya dia juga turut melakukan kerja-kerja seperti menggosok, mencuci dan melipat pakaian.
“Saya tidak suka terlalu bergantung kepada kakitangan kerana saya masih boleh melakukan kerja-kerja ini sendiri sekiranya kakitangan bercuti atau jatuh sakit.
“Kita melayan pelanggan seperti keluarga dengan memberikan perkhidmatan terbaik kepada mereka malah sebagai menghargai kesetiaan itu, kita menawarkan diskaun sebanyak 50 peratus pada hari lahir pelanggan,” tambah ibu kepada seorang anak ini.
Berbekalkan prinsip jujur dan ikhlas dalam perniagaan, jelasnya setakat ini, dia tidak pernah berdepan situasi ditipu dalam perniagaan.
“Alhamdulillah setakat ini saya tidak pernah ditipu dalam jumlah yang besar sepanjang menjalankan perniagaan dobi ini.
“Saya merasakan belum berjaya sepenuhnya malah masih berusaha untuk meneroka dengan lebih dalam lagi mengenai bidang perniagaan ini selain mengembangkan perniagaan ke peringkat yang lebih tinggi,” beritahu beliau yang berasal dari Ampang, Selangor ini.
Ketika ditanya apa yang dilakukan untuk mententeramkan fikiran, wanita ini memberitahu, aktiviti seperti merentas desa, berkhemah dan memancing merupakan terapi terbaik buat dirinya.
“Selalunya saya akan melakukan aktiviti-aktiviti keluarga bagi meluangkan masa bersama anak,” jelasnya sambil memberitahu keputusan di dalam hidup banyak dipengaruhi oleh bapanya, Ghazali Rahim, 58.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: