Sunday, October 13, 2013

Ketagih cukur duit suami orang

ZURA sanggup melakukan apa sahaja demi wang ringgit biarpun dengan cara kotor.


PANDANGAN mata pelanggan yang sedang menikmati juadah di sebuah restoran mamak yang terletak di Desa Petaling, Kuala Lumpur bagaikan teralih tatkala seorang wanita berjalan menuju masuk ke premis itu.
Masakan tidak, wanita yang memiliki rambut mengurai melepasi bahu itu nyata mempunyai daya tarikannya tersendiri biarpun fizikalnya tampak sama seperti wanita lain di luar sana.
Memakai skirt atas lutut dengan ‘aset’ di dada yang boleh dianggap cukup sempurna itu, ia sudah cukup membuatkan lelaki di luar sana naik ‘geram’.
Wanita itu kemudian menghampiri meja penulis yang tiba 10 minit lebih awal daripadanya.
Sebaik tangan dihulur, wanita tersebut memperkenalkan dirinya sebagai Zura (bukan nama sebenar).
Zura, 32, itu seakan tahu banyak mata sedang memerhatikan dirinya, sebelum dia memusingkan kepalanya bagi memerhati keadaan sekeliling.
Mata pelanggan lain yang daripada tadi asyik melihat ke arah meja kami kemudiannya secara automatik teralih kepada hidangan yang ada di atas meja masing-masing.
“Lelaki semua sama sahaja. Pantang nampak perempuan pakai seksi-seksi macam ini, mata semua tak berkelip.
“Macamlah aku ini tak pakai apa-apa langsung. Tetapi, kalau yang tengok itu kaya orangnya tak apa juga, boleh dilayan,” tutur Zura yang lebih selesa membahasakan dirinya ‘aku’ ketika memulakan bicara.
Anak kelahiran Johor Bahru, Johor, itu mengakui dirinya terlalu taksub dengan wang ringgit hingga sanggup melakukan apa sahaja demi memenuhi kehendak hatinya.
“Rupa jantan aku tak kisah, biar tua sekalipun tapi yang penting poket dia mesti tebal, baru aku pandang.
“Dia orang ini nanti semua akan jadi ‘bank bergerak’ aku sahaja,” cerita wanita itu sambil mengeluarkan rokok daripada beg tangannya.
Namun, uniknya, wanita yang bekerja sebagai pegawai perhubungan awam di salah sebuah syarikat swasta di ibu negara itu hanya melayan lelaki kaya berstatus suami orang sahaja.
Katanya, status lelaki memainkan peranan penting untuk memudahkan dirinya meraih habuan dengan cara tersendiri.
Ketika ditanya bagaimana Zura begitu mudah meminta wang daripada lelaki kaya, secara ringkas dia menjawab: “Dengan ugutan.”
“Tak susah mana nak dapat duit. Perkara penting kena tahu, tempat tinggal dan nombor telefon bini dia. Kalau apa yang aku minta dia tak nak bagi, aku kacau bini dia,” ceritanya yang mengaku salah seorang mangsanya pernah dipaksa melangsaikan hutang tertunggaknya dengan Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) berjumlah RM30,000.
Biarpun ‘modus operandi’ anak bongsu dari lima beradik ini sama sahaja dengan betina kaki cukur lain, namun, si empunya kulit sawo matang ini ada jalan ceritanya tersendiri.
Wanita yang masih bujang itu kemudian seakan mengelamun seketika sebelum mula berkongsi kisah hidup lampaunya.
“Aku sebenarnya jadi ketagih asyik nak kikis duit jantan ini sebab kawan-kawan aku lah.
“Apabila ada sahaja jantan yang minat aku, mereka akan cabar aku untuk dapatkan sesuatu daripada lelaki itu. Biasanya yang suka menggatal ini suami-suami orang... tua-tua,” ceritanya yang baru sahaja pulang dari Australia hasil ‘usaha’ yang diperoleh daripada seorang mangsa bergelar Datuk.
Biarpun tiada sebarang habuan yang diterima daripada kawannya sekiranya berjaya memerangkap mangsa, Zura sudah cukup berasa puas.
Baginya, apa yang penting ialah dia sudah membuktikan kemampuannya.
Bertitik tolak daripada situlah Zura mula memanjangkan langkah untuk mendapatkan seberapa ramai yang boleh.
Daripada hanya sekadar cabaran, kini perangai itu sudah menjadi tabiat yang sukar dihentikan.
“Dengar macam hebat sahaja bunyi kenakan orang kan? Tetapi sebenarnya, pada masa sama macam-macam perasaan berbaur.
“Mereka ini orang kaya, macam-macam boleh buat kalau nak ‘lenyapkan’ aku. Tapi, setakat ini okey lagi,” ujarnya sambil ketawa.
Zura akui, dirinya kini merasakan seolah-olah tersepit dengan jalan hidup yang dipilihnya ini.
Angkara perangainya itu sendiri, jiwa Zura tidak pernah tenang memikirkan berbagai-bagai perkara.
Apatah lagi, umurnya kini sudah berada di awal 30-an.
Tatkala rakan-rakan lain yang seusia dengannya sudah memiliki anak, Zura masih ligat mengumpul hasil ‘buruan.’
“Bukan tidak ada rasa nak kahwin. Aku sendiri nak kahwin pun jadi takut sebab nanti silap-silap mereka (mangsa) pula kacau rumah tangga aku balik.
“Lagi parah kalau nanti aku dapat suami yang jenis miang kat luar macam mereka (mangsa) itu semua. Lebih rela digelar andartu,” akui Zura yang mula berasa rimas apabila ibunya kerap mengasak pertanyaan hal berkaitan rumah tangga.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: