• Ceritera lima sahabatDemi bergelar Ikon Kampung, lima sahabat sanggup berkorban apa sahaja agar impian mereka tercapai. Namun siapa sangka, dugaan demi dugaan yang dilalui membuatkan hubungan mereka bertukar menjadi sahabat baik.

BUKAN hiburan semata Kampungku Aidiladha sarat pengajaran. Pengorbanan membawa erti yang besar kepada sesiapa sahaja dan siapa sangka menerusi pengorbanan yang dilakukan mampu menyatukan masyarakat yang selama ini bersikap meninggi diri.

Begitulah yang dipaparkan dalam telefilem terbaru sempena sambutan Aidiladha Selasa ini, TV3 membawakan telefilem Kampungku Aidiladha arahan Suhaimi Lua mengenai lima anak muda yang dibintangi oleh Aidil Aziz, Zalif Sidek, Rafidah Ibrahim, Syafiq Kyle dan Amyra Rosli.

Telemovie yang berdurasi selama 90 minit itu mengangkat tema kekeluargaan, persahabatan turut diselitkan dengan unsur komedi yang akan memberi pengajaran kepada semua.

Penglibatan anak muda dalam pelbagai masalah sosial seperti merempit, kutu rayau, dan sebagainya dilihat semakin meruncing di kalangan masyarakat luar bandar.

Kisah kenakalan lima anak muda itu menjadi perhatian ketua belia kampung, Aril sehingga terbitnya idea untuk mendidik mereka menjadi insan yang berguna.

Hasilnya, pencarian Ikon Kampung berlangsung dan mereka yang berjaya dipilih akan menjalani latihan ketahanan fizikal dan kerohanian.

Penggambaran telemovie itu  dilakukan sepenuhnya di Kampung Baling, Kedah  akan ditayangkan pada 15 Oktober ini, jam 3 petang.

Mari kita dekati pelakon-pelakon yang terlibat dalam pembikinan drama ini.

Belajar melawak kerana Arman

Pelakon yang kian meningkat naik, Aidil Aziz mula mengorak langkah lebih jauh setelah berjaya menghidupkan wataknya menerusi drama Asmara Luna yang baru sahaja berakhir.

Memegang watak sebagai ketua mat rempit di kampungnya, Aidil berkata, watak Arman sering menimbulkan pelbagai masalah kepada penduduk.

Menurutnya, dia dilabelkan sebagai budak nakal dan ‘poyo’, Arman turut dikenali sebagai mat romeo kerana gelagatnya yang suka mengusik anak gadis di kampungnya.

“Dalam telemovie ini, kelima pelakon merupakan watak utama yang menghidupkan jalan cerita mengenai pencarian Ikon Kampung.

“Program ini menarik perhatian kami kerana pemenang pertandingan akan berpeluang untuk menjadi artis.

“Secara tidak langsung, ramai yang memohon untuk mengikutinya tetapi tanpa mereka sedari ada agenda tersembunyi,” katanya.

Tanpa mengetahui tujuan program tersebut, Aidil berkata mereka menjalani pelbagai latihan seperti gotong-royong, mengaji al-Quran, jungle treking dan sebagainya.

Menurutnya, cabaran terbesar untuk melakonkan watak komedi memberi tekanan kerana dia cuba perkara baru iaitu melawak.

“Ia agak sukar kerana kita tidak pasti lawak yang kita lakukan ini mampu membuatkan penonton ketawa atau tidak.
“Tetapi saya ada belajar daripada Zalif sendiri untuk berlawak kerana dia merupakan pelakon komedi cukup dikenali,” ujarnya.
Saya bukan diva! - Fida

Pelakon dan penyanyi Rafidah Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Fida  pernah mencetuskan kontroversi hangat dalam pembikinan drama ini sehingga dilabelkan sebagai diva.

Isu pergaduhannya dengan pengarah telefilem tersebut, Suhaimi menyebabkan namanya terus terpalit dengan berita negatif.

Enggan dilabelkan sebagai pelakon yang 'demand', Fida menjelaskan isu dia lari daripada lokasi penggambaran itu sebagai fitnah semata-mata.

“Tidak pernah terlintas di hati saya untuk meminta perkara bukan-bukan dan tidak masuk akal.

“Tuduhan pihak tertentu bahawa saya demand sehingga mahu hotel lima bintang adalah tidak benar.

“Sebaliknya saya hanya meluahkan rasa terkilan dengan  pengurusan pihak produksi kepada pengurus saya (Shah) dan tidak pernah memburuk-burukkan pihak produksi,” jelas Fida.

Walaupun isu tersebut timbul, namun Fida menegaskan bahawa babak yang melibatkannya sudah pun selesai dijalankan.

“Alhamdulillah, segalanya salah faham diselesaikan dan setiap babak yang melibatkan saya dapat disiapkan dalam masa ditetapkan.

“Setiap apa yang berlaku saya jadikan iktibar dan berharap penonton dapat bagi sokongan dan hayati pengajaran di sebalik jalan cerita ini,” ujarnya.

Zalif & antagonis

Sering kali memegang watak nakal atau samseng,  Zalif Sidek dikatakan selesa membawa watak antagonis dan jahat.

Begitu juga dalam telemovie ini, dia diberi tanggungjawab untuk memikul peranan sebagai mat rempit dan budak liar yang sering mengganggu penduduk kampung.

Dalam masa sama, Zalif juga juga terkenal dengan watak komedi yang dibawa dalam kebanyakan filem atau drama lakonannya.

“Mungkin ia watak klise yang sering saya lakonkan. Menariknya mengenai telefilem ini, apabila kami terpaksa melalui pelbagai ujian sebelum bergelar ikon kampung.

“Bermula dengan dari situ, kami berhadapan dengan ujian ketahanan fizikal dan terpaksa berkampung dalam hutan untuk berlatih,” katanya yang memegang watak sebagai Bandi.

Tambahnya, hubungan dia dengan Arman (Aidil) agak dingin sebelum menyertai program tersebut kerana mereka sering bersaing untuk memikat gadis kampung.

“Selepas mengalami beberapa kesukaran bersama hubungan kami bertambah erat. Bermula dari situ, kami bertiga termasuk Syafiq berubah menjadi kawan baik.

“Ia merupakan sebuah karya yang menyentuh perasaan dan banyak pengajaran yang kita perolehi daripada telefilem ini,” katanya.

Menurut Zalif, perkara yang paling manis sepanjang melakukan penggambaran ketika majlis korban yang turut disertai penduduk kampung.

“Suasana sangat meriah sehingga kami tidak menang tangan melayan penduduk yang hadir.

“Masyarakat di sana sangat sporting kerana sepanjang lapan hari shooting mereka tidak jemu melihat kerja kami di lokasi,” ujar Zalif yang bakal muncul dengan filem Jangan Pandang Belakang Boleh, Lu Gua Bro dan Awak Nak Kahwin Saya.

Amyra tahan sakit

Mungkin nama Amyra Rosli,22, kurang dikenali di kaca TV atau layar perak, namun tawaran lakonan yang diterima pelakon cantik itu semakin mencurah-curah.

Bekas pelajar Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) itu berkata, minatnya dalam bidang lakonan bermula sejak dari kecil lagi.

“Selepas tamat pengajian di Aswara saya terus menerima tawaran berlakon bagi watak-watak sampingan.
“Saya tidak kisah kerana tidak rugi kita bermula dari bawah. Dari situ kita dapat mempelajari pelbagai ragam bekerja dalam industri hiburan,” katanya.

Bercerita mengenai pengalamannya dalam Kampungku Aidiladha, Amyra berkata, watak Maya benar-benar mengujinya apatah lagi perlu melakukan aktiviti lasak.

“Sudah lama saya tidak terlibat dengan aktiviti sebegini. Lagipun Maya merupakan gadis yang suka berfesyen jadi sukan lasak menjadi masalah buatnya.

“Mungkin ada babak yang agak sukar tetapi pelakon lain sangat sporting dan mereka banyak mengajar saya.

“Awalnya agak seronok melakukan aktiviti lasak tetapi kami terpaksa menahan sakit-sakit badan selepas itu,” katanya yang memulakan kerjaya lakonan menerusi drama Jodoh.

Syafiq belajar masak
Berlakon di samping pelawak membuatkan Syafiq Kyle terpaksa menahan ketawa setiap kali digandingkan bersama Zalif Sidek.

Katanya, ia merupakan cabaran terbesar kerana setiap kali Zalif berlawak dia terpaksa berulang kali melakonkan babak yang sama.

Memegang watak Ciko yang merupakan sahabat baik kepada Zalif, kadang kala dia ketawa secara spontan tidak mengikut skrip.
“Saya tidak tahan setiap kali Zalif berlawak, dia sangat lucu. Ada sahaja lawak yang dia buat, kami asyik gelak jika ada babak bersama dia.

“Bukan sahaja dialog yang lucu tetapi bahasa tubuhnya boleh mencetuskan ketawa di kalangan kami,” ujarnya sambil ketawa.

Bercerita mengenai lakonannya, Syafiq berkata, walaupun ia merupakan kali pertama digandingkan bersama Zalif namun mereka agak serasi ketika berlakon.

“Perkara yang tidak mungkin saya lupakan ketika kami bersama-sama mencari buluh untuk dibuat lemang.

“Malah kami juga bersama orang kampung menyembelih lembu dan bakar lemang. Saya akui suasana sangat meriah ketika itu,” katanya.

Jelas Syafiq, banyak perkara yang dia dapat pelajari sepanjang mereka mengikuti kem bina diri dan kelas agama bersama Pak Kaza.

“Sedikit sebanyak ia memberikan keinsafan kepada kami dan pengajaran yang kami dapat berguna bukan sahaja dalam penggambaran tetapi dalam kehidupan seharian juga,” katanya.