|
PEPATAH lama ada mengatakan, ‘tangan yang menghayun buaian, mampu menggoncang dunia’. Ayat itu begitu sinonim untuk menunjukkan kehebatan seorang wanita dalam melaksanakan pelbagai tanggungjawab dalam kehidupan sehari-hari.
Sama ada sebagai seorang isteri, anak, ibu atau pekerja, wanita membuktikan mereka mampu melakukannya. Dalam dunia serba moden hari ini, peranan kaum Hawa semakin meluas dan ia tidak terhad dengan tugasan di dapur semata-mata.
Perkara ini diakui oleh Pengarah Sumber Manusia Intel Malaysia, Suresh Chandra, yang mengatakan bahawa golongan wanita merupakan sebahagian daripada tulang belakang yang menyumbang kepada kejayaan syarikat tersebut.
“Di Intel, kami tidak pernah membezakan antara pekerja lelaki dan wanita. Masing-masing mempunyai peranan tersendiri untuk memajukan syarikat.
“Malah, kami turut menubuhkan satu organisasi, Women @ Intel Network (WIN) yang bertanggungjawab menguruskan kebajikan dan perkembangan kerjaya golongan wanita di sini,” ujar Suresh ketika ditemui sewaktu sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2013 anjuran Intel di Bayan Lepas, Pulau Pinang baru-baru ini.
WIN merupakan satu organisasi aktif yang bertanggungjawab dalam menjaga kebajikan pekerja termasuk dalam aspek pembangunan kerjaya, kesihatan dan kemasyarakatan.
Sejak ditubuhkan pada 2004, Intel melalui WIN telah mengambil kira-kira 1,700 pekerja wanita dalam pelbagai bidang tugas antaranya pentadbiran, pengeluaran, kejuruteraan, pemasaran dan promosi.
“Kami sentiasa komited untuk mencipta persekitaran kerja positif bagi melahirkan pekerja yang berdedikasi demi masa depan dan kelangsungan syarikat,” ungkap Suresh sambil memberitahu daripada 9,000 pekerja di Intel Malaysia cawangan Bayan Lepas dan Kulim, Kedah, 41 peratus daripadanya terdiri daripada golongan wanita.
|
Meraikan Hari Wanita
Sementara itu, sempena Hari Wanita Antarabangsa yang disambut pada 8 Mac setiap tahun, Intel Malaysia tidak ketinggalan meraikan kakitangan mereka.
Memilih tema The Way We Work, pelbagai aktiviti menarik diatur sepanjang hari tersebut. Seawal pukul lapan pagi, para pekerja wanita sudah berkumpul untuk mengikuti sedikit taklimat sebelum dibawa menonton tayangan filem Girl Rising.
Pengarah Perhubungan Korporat Intel Malaysia, Loo Cheng Cheng berkata, filem arahan Richard E. Gobbins itu dipilih kerana ia menampilkan wanita sebagai subjek utama yang ditonjolkan.
“Filem ini memaparkan tentang kehidupan sembilan gadis dari sembilan negara berbeza yang mempunyai cita-cita untuk mendapatkan pendidikan sempurna kerana hanya melalui ilmu, mereka mampu mengubah kehidupan yang dijalani.
“Diharap ia mampu memberi inspirasi kepada semua kakitangan wanita di Intel Malaysia untuk mencapai kejayaan yang diinginkan,” tutur Cheng Cheng.
Sewaktu tayangan berlangsung, setiap kakitangan dibekalkan dengan secawan jagung rebus dan sebotol air mineral yang ditaja oleh Intel Malaysia.
Selain itu, pihak syarikat turut menyediakan aktiviti khas untuk pekerja wanita iaitu sesi solekan wajah oleh SS Image, merias kuku kendalian Birthday Castel dan urutan yang dilakukan oleh penghuni Ft. Nicholas, Home for the Blind.
Kesemua aktiviti anjuran WIN tersebut mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada kakitangan hingga sanggup beratur panjang untuk menunggu giliran disolek dan diurut.
“Saya rasa amat gembira kerana menerima layanan istimewa daripada syarikat sempena meraikan Hari Wanita Antarabangsa. Sebagai kakitangan wanita yang telah bekerja selama 15 tahun, saya bersyukur kerana terpilih menjadi sebahagian keluarga besar Intel Malaysia.
“Di sini, kami sentiasa berpeluang meningkatkan kemahiran diri dan pengetahuan melalui kelas-kelas yang disediakan pihak majikan.
“Sebagai contoh, dahulu saya sangat lemah untuk berkomunikasi dalam bahasa Inggerist tetapi kini ia bukan satu masalah lagi,” kongsi Siti Evana Abd. Wahab, kakitangan bahagian pentadbiran Pusat Perkhidmatan Sumber Manusia, Greater Asian Region (GAR) yang turut bertemu jodoh dengan kakitangan Intel Malaysia.
Bagi Juruteknik Pengeluaran, Penang Assembly Test, Muniswary Kalimuthu, 38, dia mula menyertai Intel Malaysia sebagai operator pengeluaran.
Namun, berkat kesungguhannya untuk memajukan diri, ibu kepada dua cahaya mata itu boleh berbangga dengan pencapaian yang telah dikecapi.
“Sepanjang 16 tahun berkhidmat di Intel Malaysia, banyak pengalaman berguna saya peroleh. Majikan juga sentiasa prihatin dengan kebajikan setiap kakitangan.
“Paling utama, kami mempunyai fleksibiliti berkenaan waktu bekerja. Jika ada sebarang masalah, kami boleh berkongsi dengan pegawai atasan dan mereka akan memberi kelonggaran pada kami menyelesaikannya terlebih dahulu,” ungkap Muniswary.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: