Friday, March 22, 2013

Karnival halal sebagai platform pendidikan


PENGUNJUNG karnival, Norzaini Ramli, 38, (kanan) menebus barangan yang berharga RM1 di gerai Dagang Halal.Com.


SUASANA pekarangan pusat beli-belah Amanjaya Mall, Sungai Petani, Kedah meriah dengan kehadiran lebih 50,000 pengunjung yang tidak putus-putus mengunjungi 84 gerai sepanjang tiga hari penganjuran Karnival Halal Kedah 2013.
Karnival yang berlangsung pada Khamis hingga Sabtu lalu itu merupakan anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Kedah dengan kerjasama DagangHalal.com manakala akhbar Kosmo! bertindak sebagai akhbar rasmi.
Bertepatan dengan tema Halal Bukan Sekadar Logo, masyarakat didedahkan bahawa sijil dan logo halal bukan sahaja meletakkan sesuatu yang tidak halal menjadi halal, bahkan ia meliputi aspek kebersihan dan kualiti.
Didik masyarakat
Antara program menarik sepanjang tiga hari karnival berlangsung ialah bengkel Pembungkusan dan Penjenamaan serta Seminar Persijilan Halal Malaysia, Forum Perdana Hal Ehwal Islam dan jualan produk halal oleh usahawan tempatan.
Pengarah Bahagian Hab Halal Jabatan Agama Islam Malaysia (Jakim), Hakimah Mohd. Yusoff berkata, karnival itu dianjurkan untuk mendidik masyarakat khususnya dari utara Semenanjung tentang isu halal dan pensijilan halal.
Selain itu, kata beliau karnival tersebut juga dijadikan sebagai platform kepada syarikat-syarikat dan produk yang telah mendapat sijil Halal Malaysia yang kini berada di pasaran.

PARA pengunjung karnival turut menghulurkan sumbangan untuk Tabung Wira Lahad Datu di yang diedarkan di tapak karnival.


“Kita mahu mendidik masyarakat tentang isu halal di Malaysia dengan dua sasaran iaitu pengguna dan industri,” katanya ketika ditemui.
Kata beliau, Jakim dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan lain berganding bahu dalam memastikan karnival itu berjaya meningkatkan kesedaran pengguna dan industri tentang isu berkaitan halal.
Pelbagai aktiviti menarik diadakan sepanjang karnival berlangsung seperti pameran dan jualan barangan halal, Demo Masakan Chef Ammar, Demo Produk Peserta, Pemeriksaan Kesihatan Percuma, Kempen Derma Darah, Klinik E- Halal, Program Radio IKIM, Program TV Alhijrah dan Kuiz Halal 2013.
Lebih 50 gerai usahawan dibuka di tapak karnival. Ia dijadikan sebagai platform untuk memperkenalkan produk halal kepada para pengguna yang berkunjung ke situ.
Membuka jalan
Pengunjung, Radhiah Abdul Rashid, 24, berkata, karnival halal yang berlangsung selama tiga hari itu sangat menarik dan ia memberi banyak maklumat berkenaan halal kepada masyarakat pengguna.
“Selepas ini saya perlu lebih berhati-hati kerana banyak produk kosmetik dan barangan wanita yang dijual masih belum mempunyai sijil halal Jakim,” katanya.
Radhiah berharap agar karnival seumpamanya dapat diadakan sekali lagi di Kedah selain tempoh penganjurannya dipanjangkan kepada seminggu.
Usahawan, Samsuddin Ahmad, 41, pula berkata, beliau bertuah kerana dapat menyertai bengkel dan seminar usahawan di Hotel Amanpura, Sungai Petani dan belajar cara-cara untuk mendapatkan sijil halal Jakim.
“Pada peringkat awal, seminar ini terhad kepada kira-kira 200 orang saja dan saya mungkin tidak berkesempatan untuk menyertainya, tetapi Alhamdulillah mereka terima sehingga 400 orang,” katanya.
Samsuddin yang merupakan pengusaha kedai kek berkata, bengkel dan seminar yang diberikan secara percuma kepada usahawan kecil dan sederhana itu membuka jalan kepadanya untuk terus berjaya dalam perniagaan.
Karnival halal telah menjelajah ke enam buah negeri sebelum ini iaitu bermula di Masjid Negara, Kuala Lumpur; Perlis, Johor, Kelantan, Negeri Sembilan dan yang terakhir Melaka pada Februari tahun lalu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: