Wednesday, March 20, 2013

Survival orang utan

USM dilihat sebagai antara institusi yang mampu melahirkan pakar penyelidik dalam bidang berkaitan orang utan.


SAMA ADA disedari atau tidak, jumlah Orang Utan di negara ini dipercayai semakin menurun dengan anggaran kehilangan lebih kurang 30 peratus dalam tempoh 10 tahun lalu sekali gus boleh menjejaskan biodiversiti habitat tersebut.
Spesies primat itu dikenali mengikut lokasi habitatnya iaitu orang utan Kalimantan/Borneo (Pongo pygmaeus) dan orang utan Sumatra (Pongo abelii).
Di Malaysia, primat orang utan hanya terdapat di Sabah yang jumlahnya dianggarkan kira-kira 10,000 ekor sahaja.
Pensyarah Institut Penyelidikan Primat (PRI) Universiti Kyoto, Jepun, Profesor Tetsuro Matsuzawa berkata, kawasan rizab hidupan liar tersebut di Sabah juga semakin mengecil iaitu di Imbak Canyon, Lembah Danum dan Lembangan Maliau.
Beliau yang merupakan penyelidik prima terkenal dunia memberitahu, tiga faktor dikenal pasti menyebabkan penyusutan mamalia itu iaitu penebangan hutan, pemburuan dan penyakit.
“Malaysia khasnya Sabah cukup bertuah kerana menjadi satu daripada dua kawasan di dunia yang menjadi habitat asal haiwan mamalia ini selain di Indonesia.
“Justeru, saya menyarankan agar lebih ramai pakar tempatan berkaitan biodiversiti dilahirkan. Beliau melihat Universiti Sains Malaysia (USM) menerusi Pusat Penyelidikan Sains Kajihayat (PPSK) boleh memainkan peranan tersebut,” ujarnya.
Elakkan kepupusan orang utan
Beliau berkata, demikian semasa menyampaikan syarahan berkaitan biodiversiti dan keupayaan cimpanzi yang juga tergolong dalam keluarga haiwan primat di USM baru-baru ini.

MATSUZAWA (dua dari kiri) bersama penyelidik dari USM bersama buku kajian mengenai biodiversiti orang utan selepas menyampaikan syarahan di Universiti Sains Malaysia.


Turut hadir ialah Dekan PPSK, Prof. Madya Ahmad Sofiman Othman dan pegawai-pegawai barisan penyelidik pusat pengajian tersebut.
Beliau turut berkongsi pengalaman dan kepakarannya menjalankan kajian lebih 35 tahun dalam biodiversiti cimpanzi termasuk yang dipelihara dan yang liar di hutan.
Menurut kajiannya, orang utan tergolong dalam tiga lagi spesies primat iaitu gorila, cimpanze atau bonobo serta manusia. Uniknya, orang utan memiliki kedekatan mamalia dengan manusia dengan tingkat kesamaan asid deoksiribonukleik (DNA) sehingga 96.4 peratus.
Dalam konteks kajian habitat liar haiwan itu, Matsuzawa menghabiskan masanya di beberapa lokasi kajian di Afrika Selatan meliputi Bossou, Nimba, Guinea dan sebagainya.
Difahamkan Malaysia belum mempunyai seorang pun pakar orang utan sedangkan terdapat lebih 10,000 orang utan di tiga buah pusat pemuliharaan haiwan itu di negara ini.
Tambah Matsuzawa, kewujudan orang utan turut mencerminkan keindahan ekosistem dan menjadi simbol kepada biodiversiti hutan hujan tropika yang wujud di negara ini.
Katanya, berdasarkan pengamatan sebagai saintis, tidak ramai yang mengambil kisah mengenai perkara ini walaupun spesies itu mengalami kepupusan.
“Tidak dinafikan kerja-kerja penyelidikan dan pemuliharaan biodiversiti memerlukan kos yang tinggi, namun ia sesuatu yang berbaloi untuk khazanah ilmu dan perkembangan sains.
“Kita perlu mencari jalan dan satu perbincangan intensif perlu diadakan bagi melihat sejauh mana penyelidikan haiwan itu boleh dibangunkan di negara ini secara lebih menyeluruh,” ujar beliau.
Perkara itu akan dibincangkan dengan lebih lanjut bersama USM di bawah kerangka pelan kerjasama dengan PRI yang dimeterai melalui satu memorandum persefahaman pada tahun 2011.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: