Wednesday, March 20, 2013

Kecintaan Raihana terhadap fotografi

RAIHANA menjalankan tugasnya sebagai jurufoto di salah satu program kelolaan Astro.


REMAJA perempuan itu kelihatan sama seperti remaja lain. Berpenampilan dengan fesyen terkini, gaya ala K-Pop menjadi ikutannya. Mungkin ramai yang menyangka remaja berwatak lembut dan bersahaja itu sedang menunggu keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Hakikatnya, anak kedua daripada tiga beradik itu memiliki kemahiran dalam bidang fotografi.
Pada usia 18 tahun, Raihana Abas merupakan pemilik studio Raihana Abas Studio, di Bandar Sri Permaisuri, Cheras, Kuala Lumpur.
Ketika ditemui di studionya, Raihana sedang sibuk menjalankan sesi fotografi bersama pelakon dan pengacara, Zoey Rahman.
Zoey yang semakin dikenali melalui program Fear Factor di Astro Ria berpendapat, Raihana merupakan antara remaja yang patut dicontohi kerana berjaya menjadikan bakat dan minatnya sebagai satu kerjaya. Ujar beliau, ibu bapa hari ini perlu lebih terbuka dan memahami kehendak anak-anak.
“Keluarga tidak boleh terlalu memaksa anak untuk menjadi seperti apa yang mereka mahukan, sebaliknya ibu bapa perlu tahu minat anak.
“Mereka perlu memberi sokongan untuk mengembangkan minat dan kebolehan yang ada pada anak-anak untuk berjaya,” katanya.
Menurut Zoey, usia bukanlah ukuran untuk menilai hasil kerja seseorang, sebaliknya ia harus berdasarkan profesionalisme dan kualiti yang diberi.
“Raihana masih muda, ideanya juga segar dan baharu. Sebab itulah kami mudah berkomunikasi untuk mendapatkan gambar terbaik,” jelas Zoey.
Dapat kepercayaan
Walaupun namanya masih baharu dalam industri fotografi, remaja itu cukup unik. Hasil kerjanya cukup membanggakan setanding dengan hasil kerja jurufoto profesional lain.
Anak didik jurufoto profesional Mazlan Yunus dan Bustaman Mokhtar itu mula mendapat kepercayaan daripada ramai pelanggan tempatan dan antarabangsa.
Antaranya Sophie Paris, syarikat jualan langsung yang mengeluarkan produk fesyen antarabangsa.
“Bukan mudah untuk mencapai kejayaan. Selain usaha, ia memerlukan pengorbanan dan sokongan tidak berbelah-bahagi terutama daripada keluarga,” ujar Raihana membuka bicara.
Minatnya dalam fotografi berputik selepas menerima hadiah ulang tahun kelahiran yang ke-15 daripada ibunya, Murniyati Ali, tiga tahun lalu. Kamera Nikon D3000 yang diterima digunakan sebaik-baiknya untuk mengambil gambar rakan-rakan, ahli keluarga dan objek-objek yang menarik. Minatnya terhadap fotografi semakin membara apabila dia mendapat komen positif daripada rakan-rakan yang melihat gambarnya dimuat naik di laman sosial.
“Dari situ timbul keyakinan untuk meneruskan minat dalam bidang fotografi dengan melakukan tugasan secara kecil-kecilan daripada rakan-rakab seperti majlis hari jadi ataupun gambar profil mereka,” luahnya.

MINAT Raihana terhadap fotografi berputik selepas menerima hadiah ulang tahun kelahiran yang ke-15 daripada ibunya, Murniyati Ali.


Pertemuannya dengan pelakon dan pengarah produksi, Fauzi Nawawi di sebuah pusat beli-belah di ibu kota telah membuka satu lembaran baru dalam kerjayanya.
Pada masa itu, Raihana bersama keluarganya sedang membeli-belah di Sungai Wang dan terlihat Fauzi sedang menjalani penggambaran.
Beliau lalu memperkenalkan diri dan meminta izin untuk mengambil gambar Fauzi. Fauzi kemudiannya menawarkan Raihana untuk mengambil gambar majlis cukur jambul anaknya. Itulah tugasan pertama Raihana yang melibatkan artis. Lebih membanggakan Raihana apabila dan gambar tersebut turut disiarkan sebuah majalah hiburan.
Pengalaman berharga
Ketika di rumah pelakon itu, Raihana bertemu dan berkenalan dengan jurufoto berpengalaman, Mazlan Yunus. “Bila nampak kesungguhan saya nak belajar, dia (Mazlan) ajak ikut dia ambil gambar di Astro untuk program Mari Menari,” ujarnya.
Selama enam bulan beliau mempelajari teknik mengambil gambar secara tidak formal di bawah Mazlan yang merupakan seorang jurufoto rasmi Astro.
Kepuasan sukar digambarkan apabila menerima gaji pertama hasil usaha yang dilakukan terutama apabila gambar yang diambil digunakan untuk majalah dan produk-produk terbitan Astro.
Setahun bergerak aktif secara profesional, Raihana memberanikan diri untuk membuka studio sendiri bagi mengembangkan bakatnya.
Pelaburan membuka sebuah studio yang beroperasi sejak awal tahun lalu berbaloi apabila semakin ramai yang mengetahui kewujudan studio dan mendapatkan khidmatnya.
“Masa buka studio, saya baru di tingkatan lima, jadi perlu bijak membahagikan masa untuk ke sekolah dan di studio.
“Saya puas kerana duit yang dikumpul hasil mengambil gambar digunakan untuk membeli peralatan seperti kamera baharu, lensa dan lampu serta kelengkapan studio,” ujarnya yang sangat meminati sesi fotografi di studio.
Walaupun terpaksa melupakan kehidupan dunia remajanya bagi menumpukan kepada perniagaan fotografi, namun Raihana merasa bertuah kerana dapat merealisasikan impian dan membina kerjaya lebih awal berbanding rakan-rakan seusia.
“Saya menyimpan impian untuk menyambung pengajian dalam bidang fotografi di Jepun suatu hari nanti dan mahu bekerja untuk majalah fesyen di luar negara,” ungkapnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: