Wednesday, March 13, 2013

Jenayah kejam simbah asid


PAKAR Bedah Plastik, Dr. Hamid Hassan (kanan) berkata sesuatu kepada Naziran sebelum meneruskan prosedur memperbaiki struktur kelopak matanya.


TIDAK ramai yang mempunyai kepercayaan terhadap undang-undang dan ketelusan perbicaraan mahkamah di Pakistan.
Pada masa yang sama, pihak yang berkempen tentang kesedaran jenayah serangan asid baru-baru ini memberitahu, jenayah tersebut telah meningkat tiga kali ganda walaupun hukuman yang lebih berat telah dipersetujui sejak tahun 2011.
Beratus-ratus wanita, malah tidak ketinggalan lelaki dewasa dan kanak-kanak Pakistan menjadi cacat setiap tahun akibat keganasan rumah tangga.
Para aktivis turut memuji tindakan pemerintah Pakistan kerana menggubal undang-undang baharu demi menyokong hak asasi manusia, meskipun masih berdepan dengan cabaran pelaksanaan.
Pada tahun 2011, Parlimen Pakistan menetapkan hukuman penjara minimum 14 tahun dan denda sejuta rupee (RM31,000) bagi mereka yang didapati melakukan jenayah menyimbah asid.
Sabit jenayah
Menurut Pengerusi Yayasan Mangsa Asid, Pakistan, Valerie Khan Yusufzai, kadar sabitan kesalahan bagaimanapun meningkat dari enam peratus kepada 18 peratus pada tahun 2012.
Seorang Peguam, Sikander Naeem berkata: "Tugas peguam untuk menyabitkan penjenayah asid lebih mudah, malah kenyataan mangsa sahaja sudah mencukupi bagi menyabitkan kesalahan tertuduh," katanya.
Begitupun, bagi kebanyakan mangsa yang mengalami kecederaan kekal termasuk menjadi buta, hukuman yang dijatuhkan itu masih terlalu ringan.
Sidra Javed telah disimbah asid pada Jun 2011 kerana telah menolak anak pengurus di kilang yang cuba menguratnya. Sidra yang bekerja sebagai pembuat bekas air hanya mendapat gaji sebanyak RM46 sebulan.
Keluarganya telah berkorban segala-galanya dan akhirnya penyerang wanita itu dipenjara pada bulan Julai tahun lalu.
"Saya berasa lega dan gembira kerana usaha bapa selama ini berhasil, namun apabila memikirkan bagaimanakah untuk meneruskan kehidupan dengan keadaan cacat, saya fikir hukuman ke atas penyerang itu sepatutnya lebih berat," keluhnya.
Bapa Sidra yang bekerja membaiki televisyen terlalu sedih dan terganggu akibat kes tersebut. Perniagaannya juga terjejas.
"Kadangkala kami tidak mempunyai wang untuk membeli makanan," katanya.
Kini, Sidra sudah berusia 15 tahun. Keadaannya amat teruk apatah lagi kulit kepalanya terbakar termasuk separuh lengan, dada dan kaki. Apa yang lebih menyedihkan, mata kanannya telah buta dan dia bergantung kepada mata kiri.
Dalam pada itu, dia telah menjalani enam pembedahan untuk membaiki semula kulit-kulitnya di bahagian bibir, telinga selain menjalani rawatan penanaman rambut.
Sidra tidak gemar bertemu orang, benci untuk bercerita mengenai serangan tersebut dan berasa lemah.
Lantaran itulah, peguam dan aktivis wanita, mengakui cabaran hidup mangsa akibat kejadian seperti itu terlalu berat.
Naeem mendesak mahkamah khas ditubuhkan bagi menangani jenayah asid yang begitu dahsyat di Pakistan selain berharap agar proses undang-undang dapat dilaksanakan dengan mudah termasuk proses mendapat pampasan dan rawatan buat mangsa.

KEBANYAKAN mangsa asid di Pakistan adalah wanita dan kanak-kanak.


Kesedaran undang-undang
Ketua Hak Asasi Manusia di Pakistan berkata, hampir 1,000 wanita dan gadis dibunuh pada tahun 2011 selepas dituduh memalukan keluarga.
Naziran Bibi, ibu kepada dua orang anak merupakan antara wanita malang yang menjadi mangsa simbahan asid.
Dibesarkan di Bahawalpur di selatan Punjab, dia telah dijual ketika berusia 13 tahun untuk tujuan perkahwinan.
Bagaimanapun, selepas lebih lima tahun berkahwin, suaminya meninggal dunia. Hidup dengan dua orang anak dengan keluarga mertua, Naziran terpaksa menelan kata-kata cacian hampir setiap hari sebelum dipaksa berkahwin dengan adik lsuaminya.
Dia menolak kerana perkahwinan baharu itu menjadikan dia sebagai isteri kedua.
"Isteri pertama suami baharu saya benar-benar marah. Pernah dicaci dan dipukul, kemuncak kekejaman madu saya ialah simbahan asid," kata wanita berumur 26 tahun itu yang dibiarkan buta serta wajahnya mempunyai parut yang teruk.
Suaminya enggan untuk mendaftarkan isteri pertamanya sebagai pesalah dan akhirnya akibat tekanan keluarga, Naziran menerima penyelesaian luar mahkamah. Madunya itu bersetuju untuk membayar 400,000 rupee (RM12,700).
Dengan bayaran itu, Naziran kini mempunyai kedai runcit yang kecil. Hari ini, dia menghantar anak perempuannya ke sekolah dan masih bertegur sapa dengan suaminya tetapi tidak pernah lagi bercakap dengan isteri pertamanya.
"Satu-satunya cara untuk menjadikan hal ini benar-benar 'selesai', ialah dengan menyimbah asid kembali ke wajah madu saya," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: