Thursday, March 14, 2013

Hubungan Malaysia, Filipina tidak terjejas


TANJUNG Simpang Mengayau di Kudat merupakan titik pertemuan antara Laut Sulu dan Laut China Selatan yang dikelaskan sebagai salah satu destinasi pelancongan paling cantik di Sabah.


PERTEMPURAN yang berlaku antara pengikut Sultan Jamalul Kiram III dengan pasukan keselamatan Polis Diraja Malaysia pada 1 Mac lalu mencatat tragedi berdarah yang sukar dilupakan.
Keengganan pengganas Sulu berundur dari Kampung Tanduo di Lahad Datu, Sabah selepas menceroboh kawasan tersebut sejak 12 Februari lalu mengundang insiden berbalas tembakan hingga ramai menjadi korban.
Ekoran pencerobohan itu, 10 anggota keselamatan gugur sebagai pejuang negara. Mereka terdiri daripada anggota polis Komando VAT 69, Inspektor Zulkifli Mamat, 29, dan Koperal Sabarudin Daud, 46; Superintendan Ibrahim Lebar, 52; Lans Koperal Mohd. Azrul Tukiran, 27; Sarjan Abdul Azis Sakirun, 48; Koperal Salam Togiran, 42; Sarjan Baharin Hamit, 49; Asisten Superintendan Michael Padel, 36, dan Prebet Ahmad Hurairah Ismail, 24.
Seorang lagi anggota tentera, Prebet Ahmad Farhan Ruslan meninggal dunia kelmarin selepas trak yang dipandu untuk menghantar bekalan ke kawasan operasi Ops Daulat hilang kawalan dan terbabas di Kilometer 36, Jalan Lahad Datu-Tungku dekat Cenderawasih di Lahad Datu.
Sementara itu, seramai 57 pengganas Sulu berjaya ditumpaskan oleh pasukan keselamatan Malaysia dalam Ops Daulat yang dilancarkan sebagai tindak balas ekoran serangan tersebut.
Berasal dari Selatan Filipina, kumpulan pangganas tersebut yang belayar ke perairan Sabah dengan menaiki bot pancung semata-mata untuk menuntut hak mereka yang mahu kerajaan Malaysia mengiktiraf Sabah sebagai milik Kesultanan Sulu.
Jamalul Kiram, 74, mendakwa dia merupakan pewaris kerajaan Islam Kesultanan Sulu yang suatu ketika dahulu pernah menguasai sebahagian Borneo termasuk beberapa buah pulau di selatan Filipina.
Justeru, kehadiran kumpulan lelaki yang lengkap bersenjata dan berpakaian ala tentera itu bertujuan membuat tuntutan terhadap perkara tersebut.
Sejak itu, Malaysia telah mengadakan beberapa siri rundingan dan menetapkan 22 Februari lalu sebagai tarikh akhir untuk pengusiran mereka.
Bagaimanapun tempoh pengusiran mereka telah dilanjutkan kepada 26 Februari sementara menunggu sebuah kapal tentera Filipina tiba untuk membawa kumpulan penceroboh itu pulang ke tanah air mereka.

ANGGOTA keselamatan negara tiba di jeti selepas melakukan pemantauan di perairan Lahad Datu rentetan pencerobohan pengganas Sultan Sulu.


Kecam tindakan
Malah, Presiden Filipina, Benigno Aquino turut mengecam tindakan pengikut Jamalul Kiram III yang dianggap keterlaluan dan melampau hingga sanggup menceroboh kawasan Lahad Datu, Sabah.
“Kehadiran pengikut Kiram di sana langsung tidak membantu tuntutan kerajaan Filipina ke atas Sabah,” ujar jurucakap Aquino, Edwin Lacierda baru-baru ini.
Sementara itu, Ketua Kluster Sejarah Warisan dan Sosiobudaya Majlis Profesor Malaysia (MPN), Datuk Prof. Dr. Zainal Kling berkata, mengikut sejarah, Sabah dahulu asalnya diperintah oleh kerajaan Brunei. Kemudian ia bertukar pemerintahan kepada Kesultanan Sulu bermula pada tahun 1870-an.
Menurut beliau, pada waktu itu, Sabah melalui Kesultanan Sulu sudah dicagar atau dipajak kepada kuasa Eropah untuk dibangunkan.
“Jadi, surat penyewaan atau pajakan itulah sebenarnya yang dituntut oleh Jamalul Kiram,” ujar Zainal ketika dihubungi Kosmo!.
Apabila Sabah ditadbir oleh Inggeris melalui North Borneo Chartered Company pada hujung abad ke-19 dan awal abad ke-20, mereka tetap menerima bayaran pajakan.
Begitu juga selepas Perang Dunia Kedua apabila Sabah kemudian diserah kepada koloni British, bayaran sewaan sebanyak AS$1,700 (RM5,300) ketika itu masih diberikan kepada mereka.
“Bagaimanapun, sewaktu Sabah memilih untuk merdeka pada tahun 1963, ia adalah satu keputusan yang dinamakan self determination iaitu penentuan kepentingan sendiri oleh mereka. Atas prinsip ini, ia menjadikan Sabah merdeka dalam Malaysia.
“Namun, sewa yang dahulu dibayar kepada keturunan Raja Kiram masih diteruskan. Tetapi, keputusan sebenarnya telah dibuat oleh rakyat Sabah melalui pungutan suara sama ada rakyat di Sabah hendak masuk Malaysia atau tidak. Pungutan suara ini dilakukan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Dari sudut itu, rakyat Sabah sudah buat keputusan memilih untuk menyertai Malaysia sebagai satu negara. Bagaimanapun, bagi keturunan Sultan Sulu, mereka masih menganggap bahawa mereka mempunyai hak terhadap tanah tersebut,” jelas Zainal sambil menegaskan bahawa tragedi serangan balas antara anggota keselamatan Malaysia dan pengganas Sulu merupakan peristiwa berdarah yang tidak sepatutnya berlaku.
“Ia merupakan satu pencerobohan, namun secara peribadi saya rasa isu ini tidak akan menjejaskan hubungan antara Malaysia dan Filipina kerana Presiden Aquino sendiri sudah menyatakan pendiriannya terhadap pencerobohan tersebut.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: