|
ANIMASI kegemaran Mohamed Uwais Mohamed Syairoz, 10, ialah SpongeBob SquarePants, Car dan Toy Story sama seperti rakan-rakan sebayanya. Namun, ibu bapanya dapat mengesan sesuatu yang lain dalam diri kanak-kanak itu.
Mohamed Uwais kelihatan sangat berminat dengan pergerakan dan emosi wajah setiap karakter berbanding kanak-kanak lain yang hanya terpesona pada jalan cerita yang kelakar serta penggunaan warna menarik.
Berikutan perkembangan tersebut, ayah Mohamed Uwais, Mohamed Syairoz Mohd. Odman, 35, mengambil keputusan untuk mendaftarkan anak sulungnya itu ke kelas animasi kanak-kanak, ChiliPadee Studio (CPS) yang terletak di Batu Caves, Selangor.
CPS merupakan kelas animasi khusus untuk kanak-kanak yang pertama di Malaysia. Ia ditubuhkan pada November 2011 dengan menawarkan dua sesi kelas.
Menyasarkan kanak-kanak berumur antara 6 hingga 12 tahun, ia bertujuan untuk meneroka minat kanak-kanak terhadap animasi sekali gus mengasah kemahiran dan mengekalkan minat.
Bilangan pelajar setiap kelas dihadkan bagi memastikan hubungan murid dan guru lebih berkesan serta tidak berlaku sebarang tekanan kepada mereka.
"Kami mahu anak saya meneroka bakat yang ada dalam dirinya dan sebagai ibu bapa, kami perlu memberi sokongan sepenuhnya," kata Mohamed Syairoz ketika ditemui Taman Industri Bolton, Selangor.
Ketika ditanya mengenai cita-cita, Mohamed Uwais yang merupakan murid Sekolah Kebangsaan Taman Seri Gombak, Selangor, pantas menjawab mahu menjadi juruterbang.
Skil sandaran
Walaupun berbeza dengan apa yang dipelajarinya, ibu kanak-kanak itu, Saidatul Ashikin optimistik bahawa setiap bakat yang ada dalam diri kanak-kanak itu boleh menjadi skil sandaran pada kemudian hari.
Pada awal Januari lalu, anaknya itu selesai menjalani upacara graduasi setelah tamat kelas peringkat pertama.
Setiap pelajar yang menamatkan pengajian peringkat pertama termasuk menyiapkan setiap tugasan yang ada akan dianugerahkan sijil pencapaian.
Mohamed Uwais seterusnya didaftarkan dalam kelas peringkat kedua. Menurut Mohamed Syairoz, anaknya itu seronok dapat bersama dengan kawan-kawan dalam kelas yang sama.
"Paling penting, Mohamed Uwais tidak pernah kelihatan tertekan dalam menyiapkan tugasan yang diberikan gurunya.
"Penghayatan terhadap kartun juga semakin meningkat terutamanya dari segi mimik muka. Dia dapat memahami kesukaran dalam menghidupkan satu-satu karakter," terang Mohamed Syairoz yang bekerja sebagai pegawai bahagian perhubungan strategik sebuah syarikat swasta.
Antara muka mudah
Kelas animasi kanak-kanak di CPS setakat ini mempunyai dua peringkat yang menggunakan dua perisian yang berbeza iaitu Crazy Talk 6 (CT6) dan Crazy Talk Animator (CTA) masing-masing untuk peringkat yang berbeza.
Perisian CT6 adalah untuk peringkat pertama dengan memberi fokus pada ekspresi wajah dan pergerakan muka, manakala CTA pula, khusus pada pembinaan latar belakang serta pergerakan karakter.
Kedua-dua perisian itu sesuai untuk sistem operasi Microsoft dan merupakan animasi dua dimensi.
Sebenarnya, terdapat beberapa ciri pada perisian tersebut yang membolehkan kanak-kanak boleh mempelajarinya dengan mudah.
Hal itu bertentangan dengan tanggapan lazim yang sering terlintas dalam pemikiran orang ramai iaitu hampir semua perisian melibatkan animasi atau grafik terlalu sukar untuk dipelajari.
Menurut Pengarah CPS, Sazrul Zakri Zakariya, 36, kedua-dua perisian tersebut memberikan hasil akhir seperti karya juruanimasi profesional.
Namun, lelaki yang senang dipanggil Zack itu menambah, perisian tersebut dapat mempercepatkan masa pembikinan antara empat hingga lapan minggu.
Selalunya, bagi satu episod animasi berdurasi 30 minit memerlukan masa lebih kurang 35 minggu untuk disiapkan.
"Ciri jelas yang dapat dilihat ialah interface yang mudah digunakan sehingga kanak-kanak juga boleh menggunakannya," terang Zack yang berasal dari Pulau Pinang tetapi menetap di Seri Gombak, Selangor.
Interface (antara muka) bagi memilih ekspresi wajah dan pergerakan mulut agak senang dan prosesnya hampir berlaku secara automatik dengan suara yang dirakam.
Satu lagi ciri yang ada ialah tetapan (setting) yang telah dilaras lebih awal untuk pergerakan yang biasa dilakukan seperti berjalan, berlari atau menari.
Jadi, apabila pembikin animasi dua dimensi mahu karakter ciptaan mereka bergerak, watak yang sedia ada hanya perlu dimasukkan dan pilih pergerakan yang ada.
Pergerakan yang pelik seperti mahu menghasilkan tarian yang ada identiti seperti hip hop, juruanimasi harus menghasilkan gambar satu persatu.
Selain itu, banyak lagi ciri yang ada seperti watak yang dicipta boleh diberi dekorasi menarik. Contohnya, pakaian yang cantik berdasarkan kepada keinginan pereka.
Memupuk minat
Paling utama menerusi kelas bimbingan sebegitu adalah mencambahkan kreativiti anak-anak kecil. Melaluinya, minat kanak-kanak dapat dipupuk dan bakat mereka tidak disia-siakan malah dibentuk berdasarkan saluran yang betul.
Pendidikan awal dalam bidang animasi secara umumnya sangat penting dan untuk jangka masa panjang, ia dapat menyumbang kepada pembangunan negara sebagai persediaan sumber tenaga mahir dalam tempoh 20 tahun akan datang.
Tambahan pula, dengan sokongan kerajaan yang memperkenalkan Dasar Industri Kreatif yang memperuntukkan dana sebanyak RM200 juta bagi pembangunan bidang tersebut, ia bakal merancakkan lagi industri.
Pada masa akan datang, industri tersebut bakal melonjak dan sudah pasti negara ini memerlukan ramai tenaga kerja kreatif mahir untuk mengisi permintaan dunia penerbitan filem, muzik, penyiaran dan juga animasi.
Kini, perkembangan dunia animasi Malaysia juga dilihat agak meriah dengan penerbitan kartun kegemaran ramai seperti Upin dan Ipin dan Boboiboy.
Selain industri kreatif dan hiburan, kata Zack, animasi juga sangat berkesan dalam proses pembelajaran di sekolah. Perisian itu sebenarnya sudah digunakan di sekolah-sekolah di Singapura sejak tahun 2010.
Para guru dilatih menggunakan perisian Crazy Talk supaya penyampaian ilmu dibuat dengan lebih kreatif dan menarik dan dalam masa yang sama ia mudah diselenggara.
"Ia boleh menjadi alat bantu mengajar sampingan bersama-sama peralatan sedia ada yang konvensional iaitu papan hitam.
"Kaedah tersebut (konvensional) sudah sangat lama diguna pakai dan barangkali boleh menyebabkan timbul rasa bosan sekali gus membantutkan pengajaran," kata Zack lagi.
Perancangan masa hadapan CPS adalah mahu memperkenalkan kelas untuk pelajar menengah yang berumur antara 13 hingga 17 tahun.
Silibus kelas tersebut menggunakan perisian tiga dimensi, iClone. Kelas tersebut, untuk masa akan datang, turut menerima pelajar dewasa yang berminat untuk mengembangkan bakat dalam animasi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: