Tuesday, March 12, 2013

Boleh tempah menu sendiri

KERAMAHAN kakitangan Restoran Selera Senibong Seafood menambat hati pengunjung.


KEPADA kaki makan di Johor waima pelancong dari Kota Singa, Restoran Selera Senibong Seafood (SSS) yang terletak di Kampung Senibong, Johor Bahru lazimnya menjadi pilihan untuk singgah makan malam.
Populariti premis itu dapat diukur dengan kehadiran keluarga, rakan taulan, rakan bisnes, pasangan kekasih malah individu yang ‘membayar’ kepenatan dengan menikmati makanan lazat, memenuhi setiap ruang restoran itu pada hari- hari biasa atau hujung minggu.
Pemilik restoran, Mohd. Fauzi Saadon, 44, bersama adiknya Hasbullah, 43, berkata, mereka tidak menang tangan untuk melayan pelanggan yang terlalu ramai menunggu giliran.
“Kepada pelanggan yang masih mahu makan di restoran saya dan demi menjaga hati mereka, saya akan memujuk mereka dengan meminta mereka berjalan-jalan ke gerai-gerai jualan dulu dan tinggalkan nombor telefon.
“Bila ada meja kosong, saya akan hubungi mereka. Namun kadangkala saya mencadangkan kepada mereka untuk singgah ke restoran bersebelahan,” kata mereka senada.
Servis pantas
Apakah tarikan Restoran SSS? Barangkali hasil laut segar yang menepati cita rasa ramai.
Restoran yang terletak di pesisir pantai yang menghadap Sembawang dan Senoko, Singapura menjadikan Restoran SSS lebih terserlah.
“Di samping menikmati makanan hasil air tangan lapan tukang masak yang kesemuanya lelaki dan berkebolehan, pelanggan kami leka melihat keindahan pantai negara seberang.
“Pemandangan para nelayan yang berulang-alik, feri yang membawa penumpang ke Batam dan kapal-kapal dagang yang berlabuh di situ akan menjadikan kunjungan mereka ke premis ini sesuatu yang cukup istimewa,” katanya.
Bagaimanapun, antara faktor yang menarik orang ramai ke restoran ini ialah servis yang pantas dan keramahan 40 orang pekerjanya.
Justeru, tidak hairanlah, jika Restoran SSS menjadi pilihan beberapa tetamu penting seperti Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang juga merangkap Ahli Parlimen Kota Tinggi, Tan Sri Syed Hamid Albar dan Ahli Dewan Undangan Negeri Johor Jaya, Tan Cher Puk.
Bercerita tentang menu Restoran SSS membuatkan sesiapa saja rambang mata untuk memilih.
“Semua hasil laut seperti udang kara, ketam pelbagai saiz, udang kara, udang kecil, sotong, ikan jenahak, ikan siakap dan macam-macam lagi boleh dibakar, digoreng atau dijadikan variasi lauk.
“Namun, apa yang istimewa di RSS ialah jika lauk yang dicadangkan tidak tersenarai dalam menu, kita juga akan memenuhi permintaan pelanggan untuk memasak resipi yang mereka ingini,” kata Hasbullah sambil memberitahu mereka mendapatkan bekalan laut dari Pontian, Sedili, Mersing dan kadangkala dari Sabah dan Sarawak.
Pada kunjungan Kosmo! baru-baru ini, Restoran SSS menghidangkan satu masakan baharu yang sangat menyelerakan iaitu udang galah stim lemak cili padi tanpa santan.
Sebaliknya, chef SSS menggunakan susu cair menggantikan santan. Dengan membayar udang kara yang berharga RM120 untuk sekilogram, anda tidak akan menyesal.
Kepada peminat siput gonggong yang lazimnya banyak terdapat di Johor, anda boleh mencuba masakan siput gonggong cili kering.

HASBULLAH menunjukkan udang kara segar yang boleh dimasak mengikut resipi pengunjung.


Naik taraf
Begitu juga dengan ketam lada hitam yang berharga antara RM60 hingga RM90 sekilogram.
Itu tidak termasuk dengan udang goreng mentega, sotong goreng tepung, lala masak sambal dan kupang bercili.
Jangan lupa kepada signatur makanan Restoran SSS ini. Ikan siakap kukus limau yang dicipta oleh pemiliknya Mohd. Fauzi beberapa tahun lalu menambat hati pelanggan-pelanggan tegar.
Dalam sehari, beritahu Hasbullah, mereka akan menyediakan 40 kilogram (kg) ketam, 50 kg (udang) dan pelbagai jenis ikan lebih 80 ekor.
“Pada hujung minggu atau cuti am, kuantitinya akan digandakan,” katanya.
Mohd. Fauzi dan Hasbullah mahu terus menggembirakan pelanggannya. Dengan rezeki yang semakin bertambah, mereka menaiktaraf restoran yang semakin menjadi tumpuan terutama dari Singapura, Jepun dan Asia Barat.
“Alhamdullillah, dahulu tak berbumbung, kita tambah bumbung, dahulu cuma ada lapan meja, namun kini ada 90 meja yang boleh memuatkan 500 orang pada satu-satu masa,” katanya yang melakukan ubah suai dekorasi restorannya baru-baru ini.
Kedua-dua beradik ini sepakat memilih konsep Minang kerana kata mereka, corak kesenian pada tiang, anjung dan lantai yang menggunakan kayu teruntun lebih menonjol.
Mereka bercadang untuk menambah keluasan restoran dengan konsep terbuka yang lazimnya digemari oleh pengunjung.
Di sebalik kejayaan pasangan beradik yang membangunkan perniagaan makanan laut, mereka belum bercadang mengembangkan bisnes tersebut ke luar Johor kerana mahu mengekalkan keaslian makanan tersebut.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: