Tuesday, January 1, 2013
Restoran Domino's ke-100
TEMPOH 15 tahun bukanlah satu jangka masa yang lama bagi sesebuah perniagaan untuk berkembang maju.
Apatah lagi, jika ia sebuah syarikat francais terkemuka yang melebarkan sayapnya ke seluruh negara di setiap ceruk dunia.
Atas kelebihan itu, Domino's Pizza Malaysia menguatkan lagi empayarnya dengan meraikan kejayaan pembukaan restorannya yang ke-100 di Malaysia, selepas 15 tahun bertapak di negara ini.
Majlis yang diadakan di ibu pejabatnya di Shah Alam, Selangor itu adalah bersempena dengan pembukaan cawangannya yang ke-100 di Jalan Raja Uda, Butterworth, Pulau Pinang.
Menurut Pengerusi Eksekutif Domino's Pizza Malaysia dan Singapura, Datuk George Ting, meskipun 100 buah restoran itu boleh dianggap sesuatu yang membanggakan, namun pihaknya tidak mahu mengambil sikap mudah berpuas hati dengan pencapaian tersebut.
"Kami menyasarkan sebanyak 200 buah restoran lagi akan dibuka dalam tempoh masa lima tahun dari sekarang.
"Selain itu, kami turut akan mula membuka cawangan di negeri-negeri di Pantai Timur menjelang tahun hadapan, selain di Sabah dan Sarawak pada 2014," kata beliau pada satu sidang media selepas majlis tersebut.
Menurut George, satu-satu cara untuk menjamin kesetiaan dalam kalangan pelanggan adalah dengan memberikan perkhidmatan terbaik.
"Dengan formula jaminan 30 minit masa penghantaran, 15 minit untuk perkhidmatan, dan 100 peratus jaminan kepuasan, kami berjaya menjadi syarikat penghantaran piza nombor satu di Malaysia," ujarnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi dan Presiden Domino's Pizza Malaysia dan Singapura, Ba U Shan Ting menjelaskan, seiring dengan perkhidmatan yang diberikan oleh syarikat itu sejak awal kemasukannya ke negara ini pada tahun 1997, mereka tidak pernah mengabaikan tanggungjawab sosial (CSR) terhadap masyarakat sekeliling.
"Antara aktiviti CSR terbesar yang diadakan adalah melalui kempen Meals-For-The-Needy (Makanan untuk Yang Memerlukan).
"Tidak ketinggalan promosi 10 sen piza bersaiz sederhana untuk 100 orang pelanggan, dalam masa 100 minit di 100 buah cawangannya di seluruh negara.
"Selain itu, aktiviti lain yang turut dilakukan adalah seperti festival makanan, aktiviti membasuh kereta, derma darah, hari keluarga dan pemberian makanan serta pakaian kepada golongan gelandangan di ibu negara," ujarnya.
Menurut Naib Presiden Eksekutif Domino's Pizza Antarabangsa, Richard Allison pula, Malaysia merupakan antara lima buah negara di Asia Pasifik yang menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan secara global.
"Mungkin ia disebabkan oleh formula yang kami gunakan iaitu menjadikan piza sebagai pilihan makanan untuk seisi keluarga yang membuatkan masyarat negara ini memilih Domino's Pizza sebagai pilihan mereka.
"Inilah yang kami pentingkan dalam perkhidmatan kami iaitu bukan sahaja produk yang lazat dan perkhidmatan yang terbaik, malah nilai-nilai murni yang dapat dipupuk dalam kalangan pelanggan kami," katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: