Friday, January 25, 2013
Stor diesel di Segamat diserbu
SEGAMAT – Hanya seminggu selepas serbuan sebuah stor menyimpan minyak diesel di Pengerang, kegiatan penyeludupan minyak subsidi itu rupa-rupanya sudah merebak ke sebuah kawasan lapang di Jalan Segamat-Kuantan di sini.
Rahsia tersebut terbongkar apabila Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Putrajaya dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerbu markas pengumpulan minyak diesel itu yang dipercayai sudah aktif beroperasi di situ kira-kira setahun lalu.
Semasa serbuan pada pukul 5 petang Selasa lalu, KPDNKK menemui sejumlah 250,000 liter minyak diesel yang berharga RM450,000 yang dikumpul di markas itu dalam tempoh dua minggu lalu. Kesemua minyak diesel itu disimpan dalam tiga buah tangki dan ia dalam proses diseludup ke negara jiran.
Pemeriksaan di tanah lapang yang dikelilingi zink dan dijaga oleh beberapa tonto itu dipercayai didalangi seorang lelaki berusia 30-an. Lelaki itu masih bebas.
Satu sumber berkata, modus operandi sindiket itu dikatakan menggunakan beberapa buah lori ais dan treler bagi mengangkut minyak diesel yang dibeli di stesen-stesen minyak di sekitar daerah ini.
Seperti kegiatan penyeludupan minyak di Pengerang yang terletak kira-kira 250 kilometer dari daerah ini, sindiket itu juga menggunakan cara sama iaitu membeli minyak diesel pada harga RM1.85 setiap liter berbanding dengan harga asal RM1.80.
Kegiatan membeli diesel itu pula dilakukan pada waktu malam hingga awal pagi dan kerja-kerja menyimpan diesel dari lori ke dalam tangki di stor itu dilakukan pada waktu pagi hingga petang.
Setiap buah kenderaan yang mampu menampung 6,000 liter minyak diesel itu dikatakan akan memunggah bekalan minyak ke stor itu sebanyak tiga kali sehari.
“Pekerja di stesen minyak di daerah ini menerima komisen lima sen bagi setiap liter diesel yang dijual kepada sindiket itu tanpa had,” kata sumber itu.
Selepas tiga tangki di stor itu penuh, sindiket itu akan memunggah minyak itu ke kawasan persisir pantai di beberapa lokasi di Johor Bahru untuk dihantar ke kapal dan diseludup ke negara jiran.
Jelas sumber itu lagi, sindiket itu memilih daerah ini sebagai lokasi membeli minyak diesel subsidi kerana beberapa daerah lain di Johor Bahru sudah dimonopoli oleh sindiket lain yang lebih berkuasa.
Sementara itu, Ketua Penolong Kanan Penguasa SPRM Putrajaya, Mohd. Yusof Zakaria yang mengetuai operasi tersebut berkata, semasa pemeriksaan di stor itu, mereka menahan pekerja lelaki berusia 26 tahun.
Menurut beliau, lelaki itu yang terkejut dengan kemunculan pihak berkuasa bertindak menghubungi dalangnya.
Bagaimanapun, dalang sindiket itu tidak muncul.
“Dalam serbuan itu kami menyita dua buah lori dan 30,000 liter diesel yang disimpan di stor itu,” kata beliau lagi.
Dalam pada itu, Timbalan Pengarah Operasi dan Pembangunan KPDNKK, Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata, serbuan Selasa lalu merupakan antara sindiket penyeludup minyak diesel yang dipantau pihaknya.
Menurut beliau, kegiatan penyeludupan diesel banyak dilaporkan di Johor kerana faktor geografinya yang berdekatan dengan laut dan negara jiran menyebabkan bekalan minyak diesel mendapat permintaan tinggi.
Difahamkan, diesel seludup yang dijual oleh sindiket ke Singapura, Thailand atau Indonesia pada harga antara RM2.20 hingga RM2.40 satu liter.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: