|
DI dinding Restoran Samudra Exotic River Fish terpampang keratan akhbar lama bertulisan jawi yang telah pudar warnanya. Bila diamati, keratan akhbar tersebut merupakan artikel hasil tulisan Pak Sako berkaitan sebuah restoran di Pahang beberapa dekad lalu.
Rupa-rupanya, pemilik restoran di Rumah Rohas, Jalan Raja Abdullah, Kampung Baru, Kuala Lumpur itu mempunyai talian darah dengan pemilik di restoran tradisional Melayu di Pahang seperti yang dinyatakan Pak Sako.
Kamarul Ariffin Hamzah, 36, merupakan generasi kedua pengusaha masakan tradisi Melayu yang popular sekitar tahun 1980-an. Ketika itu, restoran berkenaan terletak di Jalan Kuantan, Bandar Baru Temerloh.
Ia dibuka oleh allahyarham Hamzah Kanin pada tahun 1976 dan dikenali sebagai Kedai Makan Wan Kalthom Wan Yusof atau Restoran Tradisional Samudra.
Restoran tersebut menyajikan pelbagai masakan tradisional Melayu termasuk ikan sungai dan ulam-ulaman.
Keenakan patin liar
Ekoran lokasi strategik dan masakannya yang enak, kedai tersebut berjaya menarik pelbagai latar belakang pelanggan termasuk pembesar-pembesar Pahang, menteri-menteri dan pegawai tinggi kerajaan. Antaranya, Menteri Pelancongan pada masa itu,Tan Sri Sabbaruddin Chik dan mantan Ahli Parlimen Temerloh, Datuk Mohd. Sarit Yusoh.
Antara menu kegemaran pelanggan pada masa itu termasuklah ikan patin liar masak tempoyak, masak lemak kaki kerbau, burung puyuh goreng dan ulam-ulaman kampung.
“Saya tidak ketinggalan membantu arwah bapa di kedai tersebut terutama selepas pulang dari sekolah. Kerja-kerja yang saya lakukan termasuk mencuci pinggan mangkuk, melayan pelanggan dan mengemas kedai.
“Para pelanggan yang kebanyakannya pelanggan tetap memuji keenakan masakan arwah. Arwah rajin memperkenalkan menu-menu baharu seperti burung puyuh goreng. Ketika itu, tidak ada peniaga lain menjual masakan tersebut.
“Pengusaha-pengusaha Cina membunuh burung puyuh dan hanya menjual telurnya. Arwah mengambil peluang itu lalu memperkenalkan menu baharu yang akhirnya mendapat sambutan menggalakkan daripada para pelanggan,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Pada tahun 1986, restoran tersebut berpindah ke Jalan Maran untuk memberi lebih keselesaan kepada para pelanggan. Kedai baharu itu menyediakan 400 tempat letak kereta.
Sembilan tahun selepas itu, Hamzah meninggal dunia dan perniagaan itu diuruskan Kamarul bersama ahli keluarga yang lain.
Bak kata pepatah, disangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Episod duka mula melanda perniagaan tersebut apabila Lebuh Raya Pantai Timur dibina dan dibuka pada tahun 2004. Pembinaan lebuh raya menyebabkan para pelanggan sukar datang ke kedai.
Apabila lebuh raya berkenaan dibuka, orang ramai lebih lebih suka menggunakan lebuh raya berbanding jalan lama. Ekoran itu, pendapatan kedai tersebut merudum sehingga 70 peratus.
Berhijrah
“Ekoran, pendapatan restoran terjejas teruk, saya mengambil keputusan berhijrah ke Selangor pada tahun 2002. Latar belakang kehidupan yang sentiasa didedahkan dengan selok-belok perniagaan membolehkan saya berdikari dengan menjalankan perniagaan makanan secara kecil-kecilan di sebuah kawasan kilang.
“Ia bertahan selama lima tahun namun saya nekad berpindah ke Kuala Lumpur apabila seorang rakan kongsi mengajak mengusahakan perniagaan kedai makan di kawasan Desa Malawati,” kata Kamarul yang mahir memasak ikan patin tempoyak ketika berumur 18 tahun.
Sejak itu, kehidupannya turun naik termasuk beberapa kali berpindah kedai. Namun, menu ikan tempoyak hasil air tangannya mula menarik selera pelanggan. Kedai makannya mula mempunyai pelanggan tetap. Para pelanggan tetap turut mempromosi masakannya kepada rakan-rakan mereka.
Pada tahun 2011, Kamarul berniaga di Menara Tinjau Ampang. Ketika itu, bisnes tersebut masih dijalankan secara usaha sama dengan pihak lain.
Rezekinya bertambah murah apabila mendapat ruang perniagaan di lokasi sekarang di Kampung Baru, dibuka sejak 26 April lalu.
“Syukur, perniagaan ini semakin berkembang dan para pelanggan tetap kembali menjamu selera di sini.
“Restoran ini berkonsep selesa dan santai, mampu memuatkan 250 orang, mempunyai empat bilik VIP dan tiga bilik boleh dibuka untuk dijadikan bilik besar,” kata anak kelima daripada enam adik-beradik itu.
Restoran tersebut diusahakan bersama dua adiknya yang turut membantu sebagai tukang masak sekali gus mengembalikan semula era kegemilangan kedai makan arwah bapanya.
“Kami memilih makanan tradisional Melayu dan ikan sungai sebagai cabang perniagaan yang dihidangkan secara ala-carte. Hidangan ala-carte membolehkan pelanggan menikmati masakan ketika masih panas dan boleh dinikmati pada bila-bila masa.
“Ikan-ikan seperti ikan patin buah liar yang ditempah khas daripada pembekal di Pahang antara menu utama kami. Ikan patin liar enak dimasak asam atau gulai tempoyak. Pelanggan juga boleh menempah ikan sungai seperti kelah, sebarau dan jelawat.
“Bukan itu sahaja, kami turut menghidangkan masakan otak dan perut lembu, rebung, pucuk ubi dan cendawan sisir,” katanya yang berhasrat menjadikan masakan tradisional Melayu pilihan utama masyarakat masa kini.
Seorang pelanggan, Datuk Zamri Yaakob berkata, beliau memang mengetahui keenakan masakan restoran berkenaan kerana telah menjadi pelanggan tetap di restoran arwah bapa Kamarul di Pahang dahulu.
Pelanggan tetap
“Saya kenal arwah bapa Kamarul ketika di Temerloh. Masakan arwah memang sedap dan dikenali ramai. Jika saya pulang ke Pahang sudah pasti saya singgah di kedai tersebut.
“Apabila mendapat tahu Kamarul membuka restoran di Kuala Lumpur, saya tidak melepaskan peluang untuk menikmati masakannya terutama ikan patin buah liar masak tempoyak.
“Sejak itu, saya bersama ahli keluarga sering datang sehingga lima kali dalam tempoh sebulan. Sekali makan untuk tiga orang antara RM200 hingga RM300,” katanya yang menetap di Sentul, Kuala Lumpur.
Bagi Pegawai Pentadbiran, Mohd. Haziq Zamri, 22, keenakan masakan di restoran tersebut sukar untuk disangkal.
“Saya memang penggemar tegar ikan patin buah liar. Rasanya sangat enak hingga menjilat jari. Kebanyakan restoran lain menawarkan ikan patin sangkar dan telah siap dimasak. Di sini kita tempah baru mereka masak.
“Jika sudah cuba sekali, pasti mahu datang lagi,” katanya yang dibesarkan di Pahang.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: