Wincci, 28, berkata, sebagai pendatang baharu yang cuba menembusi pasaran muzik negara itu dia tidak menyangka lagu pertaruhannya berjudul Happiness diterima baik oleh peminat di sana.
“Kalau diikutkan saya memang orang baharu yang mencuba nasib di sana (Taiwan). Perjalanan karier di sana pun bermula sejak Oktober tahun lalu tetapi tidak sangka ia mendapat sambutan pula.
“Pengalaman dikerumuni kira-kira 50 media Taiwan ketika pelancaran album itu adalah sesuatu yang di luar jangkaan. Perasaan terharu, terkejut dan gembira bercampur baur ketika itu.
“Ia adalah permulaan yang baik untuk saya kerana perjalanan karier di pentas antarabangsa masih jauh lagi,” katanya ketika ditemui pada pelancaran rangkaian kasut wanita Soo Wincci by XES Shoe Line di RedBox, The Gardens di sini, pada Selasa.
Bekas Ratu Dunia Malaysia 2008/2009 ini berkata, apa yang lebih yang menyentuh hati apabila lagu Happiness semakin mendapat tempat di carta radio dan muat turun yang tinggi di kalangan peminat.
“Apa yang lebih menyeronokkan apabila pelancaran album itu serentak dengan album terbaharu Jay Chou tetapi saya masih dapat perhatian di kalangan media,” katanya.
Wincci menambah, penerimaan baik di kalangan media itu dipengaruhi latar belakang dan pakej yang dimilikinya sebagai pendatang baharu di sana.
“Mereka (media) tertarik untuk mengetahui lebih mendalam mengenai diri saya. Mereka anggap profil, pencapaian dan pendidikan yang saya miliki sebagai pakej lengkap untuk seorang selebriti.
“Malah, saya juga dapat jolokan ‘Superwoman’ kerana profil dan kesungguhan saya mengejar impian di Taiwan,” kongsinya.
Mengenai enam jenis kasut rekaannya itu, Wincci berkata, ia memakan masa selama enam bulan untuk disiapkan ekoran kesibukannya yang berulang alik ke Taiwan.
“Mahu tidak mahu, saya terpaksa bahagikan masa sebaik mungkin antara kerjaya, pengajian dan rekaan kasut ini.
“Kasut-kasut ini dijangka dipasarkan pada musim perayaan Tahun Baru Cina ini untuk semua peringkat umur wanita,” katanya yang turut merancang mengeluarkan rangkaian beg tangan tidak lama lagi.
Kasut-kasut itu dijual pada lingkungan harga RM109.90 hingga RM159.90 di semua cawangan XES dan pasar raya terpilih di seluruh negara.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: