Thursday, January 31, 2013
Nekad Ustaz Amin bantu saudara seagama
PENUBUHAN Rumah Perlindungan HIV Darul Ukhwah terbina hasil daripada niat murni seorang pendakwah muda untuk menyelamatkan akidah saudara seagama yang disisihkan oleh masyarakat.
Semuanya bermula apabila Muhammad Abdullah, 36, atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin diundang untuk memberi ceramah agama kepada kira-kira 30 pesakit HIV beragama Islam yang menumpang teduh di sebuah gereja di Batu Arang, Rawang, Selangor.
Merenung sayu setiap wajah yang berada di hadapannya, Muhammad mengakui lidahnya kelu kerana sebak memikirkan nasib mereka.
Menurut Muhammad, dalam tempoh dua minit bercakap beliau merasakan seperti 20 jam. Sebagai pendakwah yang mengajak manusia ke arah kebaikan, saya rasa gagal kerana membiarkan golongan tersebut dalam keadaan sedemikian rupa.
“Bayangkan mereka yang berada dalam kesakitan, apabila pandang ke depan nampak Jesus, toleh ke kiri nampak salib, pusing ke kanan, nampak Virgin Mary. Kesimpulannya, semua yang dilihat menjauhkan mereka daripada mengingati Allah.
“Dari situ saya bertekad untuk mengeluarkan pesakit HIV beragama Islam yang berlindung di sana. Walaupun banyak cabaran yang dihadapi termasuk diancam bunuh, saya tetap percaya dengan bantuan Allah,” terang Muhammad mengenai sejarah awal penubuhan rumah perlindungan tersebut.
Menurut Muhammad, pesakit-pesakit HIV termasuk dalam golongan riqob iaitu hamba yang perlu dibantu. Malah, bersandarkan pada hadis Nabi SAW iaitu: ‘Barang siapa bertindak membebaskan seorang hamba, maka Allah memberi jaminan akan membebaskan seluruh sendi-sendinya daripada api neraka’, ia memberi kekuatan kepada beliau untuk menggalas tanggungjawab itu.
Kini, selepas hampir empat tahun beroperasi, Muhammad bersyukur kerana kebanyakan pesakit yang menghuni rumah tersebut menunjukkan perubahan yang lebih baik. Selain itu, daripada 150 pesakit yang dijaga lebih kurang 40 orang telah meninggal dunia.
“Alhamdulillah, rata-rata meninggal dunia dalam keadaan khusnul khatimah. Itu sangka baik saya kepada Allah kerana ramai yang meninggal pada malam dan hari Jumaat. Di samping itu, segala hal berkaitan pengurusan jenazah berlangsung dengan sempurna,” jelasnya.
Rahmat Allah
Menurut Mohammad, wajah jenazah berseri-seri sewaktu dikafankan dan ada juga yang meninggal dalam keadaan dahi mereka berpeluh iaitu salah satu tanda kematian yang baik.
“Sebagai umat Islam, kita harus yakin bahawa Allah tidak memandang kepada permulaan seseorang, tetapi bagaimana pengakhiran hidup mereka di muka bumi.
Justeru, saya sentiasa berpesan kepada semua pesakit agar jangan sesekali berputus asa dengan rahmat Allah kerana ia terlalu luas. Apa yang penting, niat untuk memperbaiki diri,” jelas Muhammad penuh makna.
Dalam pada itu, Muhammad turut bertuah kerana dikurniakan seorang isteri yang sentiasa memberi sokongan penuh kepadanya dalam melaksanakan tugas-tugas dakwah.
Bagi Anis Harnisah Harun, 33, kesibukan suami dalam menyebarkan dakwah merupakan tuntutan agama dan sebagai isteri dia reda dengan perjuangan yang dipilih suaminya.
“Di sebalik urusan dakwah suami, saya pula memainkan peranan menjaga serta mendidik anak-anak di samping membantu perjalanan syarikat dalam mencari dana dan sebagainya,” ujar Anis.
Pasangan ini dikurniakan empat cahaya mata iaitu Abdullah Fateh, 12, Anis Zakiah, 9, Abdullah Faqeh, 5, dan Abdullah Faiz Farhan, 2.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: