Friday, January 25, 2013

Pengawal disko mati ditembak


ANGGOTA polis membawa seorang suspek (depan) yang dipercayai terlibat kes tembak mati di Lorong Desa Murni, Seberang Perai Utara semalam.


GEORGE TOWN - Seorang pengawal sebuah kelab malam ditemui mati dengan kesan satu das tembakan di rusuk kiri menembusi dada selepas terlibat dalam pergaduhan melibatkan sekumpulan lelaki di sebuah kedai alat tulis di Lorong Desa Murni, Seberang Perai Utara (SPU) di sini semalam.
Dalam kejadian pukul 5 pagi itu, mangsa Fauzi Husin, 24, dilaporkan mati di tempat kejadian setelah ditembak dari jarak dekat oleh seorang daripada 10 suspek yang berada di lokasi kejadian.
Premis yang menjadi lokasi pergaduhan itu merupakan sebuah stor simpanan barang alat tulis.
Sebelum tercetus pergaduhan, mangsa dan kumpulan suspek itu dikatakan mengadakan perbincangan mengenai satu urusan perniagaan.
Menurut seorang jurucakap polis, siasatan mendapati suspek utama yang terlibat dalam pergaduhan itu merupakan lelaki berusia 31 tahun. Lelaki itu dipercayai Ketua Kongsi Gelap 24 yang menjalankan kegiatan di kawasan Bayan Lepas di sini.
Mengikut keterangan saksi, pengawal peribadi suspek itu dikatakan melepaskan tembakan ke arah mangsa.
Mangsa yang terbunuh dan suspek utama mempunyai rekod berkaitan kes dadah.
Sementara itu, Ketua Polis Negeri, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, pihaknya menerima laporan mengenai penemuan mayat lelaki terbabit daripada orang awam yang menghubungi Balai Polis Sungai Dua.
Beliau berkata, pemeriksaan pasukan polis forensik di lokasi kejadian menjumpai satu kelongsong peluru dan empat kotak mercun bola yang dipercayai digunakan sebagai bahan letupan.
"Kesemua yang terlibat dalam pergaduhan itu dipercayai berada di bawah pengaruh dadah dan alkohol kerana terdapat banyak tin minuman keras ditemui di lokasi kejadian," kata beliau pada sidang akhbar di sini.
Abdul Rahim berkata, setakat ini polis menahan enam suspek termasuk suspek utama kejadian itu.
" Tangkapan itu membabitkan dua lelaki Melayu, dua lelaki Cina, seorang wanita Melayu dan seorang perempuan Vietnam," kata beliau.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: