Sunday, January 27, 2013
Afif juara Soulstar 2012
KUCHING – Selepas 10 minggu berjuang mempertaruhkan bakat masing-masing, akhirnya Afif dinobatkan sebagai juara program realiti Soulstar 2012 dalam konsert akhir yang berlangsung di Bangunan Dewan Undangan Negeri Lama di sini malam tadi.
Ia menjadi kejayaan yang cukup bermakna bagi Afif atau nama penuhnya, Mohammed Afif Amier, 23, selepas berjaya mencuri hati juri dan penonton lantas diangkat sebagai pemenang utama pertandingan nyanyian musim ketiga itu.
Dalam persembahan tersebut, Afif mendendangkan lagu Tinggalkan Aku.
Kemenangan itu sekali gus mengetepikan finalis lain iaitu Feeza (Norfiza Sani) yang muncul sebagai naib juara manakala Sheila (Norshila Ideris) di tempat ketiga.
Feeza menyanyi lagu Sweet Dream manakala Sheila pula lagu Apa Nak Jadi.
Selain mereka, Ary, Athari, Didiy, Ezza, Iena, Iz, Jamal, Mizam, Nadhar, Nyda dan Warith turut memberikan saingan sengit pada konsert akhir itu.
Kemenangan Afif yang bergelar juara dalam siri saingan Soulstar 2012 itu membolehkannya membawa pulang wang tunai RM5,000 serta trofi.
Lebih menarik, Afif turut dilantik sebagai duta pelancongan bagi negeri Sarawak selain dipilih menjalani program perantis sistem latihan dual nasional dalam bidang muzik tradisional dan audio visual selama 10 bulan di Kampung Budaya Sarawak.
Sementara itu, Feeza selaku naib juara membawa pulang wang tunai berjumlah RM3,000 dan trofi manakala tempat ketiga disandang Sheila dan menerima wang tunai berjumlah RM2,000 serta trofi.
Sheila turut menggondol persembahan terbaik dan membawa pulang wang tunai sebanyak RM500.
Disaksikan lebih 2,000 penonton, Afif membuktikan dia berada dalam standard yang tersendiri.
Bagaimanapun, saingan yang diberikan oleh 11 peserta lain juga tidak kurang hebatnya kerana masing-masing mempamerkan persembahan yang hebat sehingga para juri mengalami kesukaran untuk memilih pemenang.
Menurut Afif, dia tidak menyangka menjuarai Soulstar 2012 memandangkan saingan yang diberikan oleh peserta lain cukup sengit.
“Saya mengucapkan rasa syukur sebab rezeki saya pada malam ini atas sokongan ibu bapa, saudara-mara dan pihak produksi yang memberi peluang belajar di akademi Soulstar,” katanya ketika ditemui selepas berakhirnya pertandingan program realiti paling popular di Sarawak itu.
Ketua juri konsert akhir itu ialah penyanyi popular, Sam Innuendo dan dibantu Bob AF2 dan Cassie My Star LG.
Selain persembahan daripada peserta, konsert akhir yang dihoskan oleh Neng dan Nick itu turut dimeriahkan lagi dengan persembahan daripada Saiful Malaysian Idol termasuklah peserta Vokal Bukan Sekadar Rupa, Abang atau Abang Abd. Hafidz Abang Bujang.
Menteri Pelancongan negeri, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg yang hadir menyampaikan hadiah kepada para pemenang turut mengumumkan dana sebanyak RM50,000 kepada pihak produksi Soulstar.
Soulstar 2012 dianjurkan oleh Kampung Budaya Sarawak dan E-One Dasri Talent Management manakala Kosmo! menjadi rakan media rasmi.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: