|
MELIHAT kepada perkembangan kerjaya sepanjang 20 tahun selaku pengarah, pelakon dan penerbit, sudah pelbagai kejayaan yang pernah diraih oleh Hans Isaac.
Bagaimanapun, dengan usianya yang bakal mencecah 42 tahun, sudah ramai peminatnya yang ingin mengetahui bilakah Hans bakal menamatkan zaman bujangnya setelah beberapa kali gagal dalam percintaan.
Sementelah buat masa ini, dia sering dikaitkan mempunyai hubungan istimewa dengan pelakon dan pengacara, Neelofa sehinggakan pernah digosip bercuti bersama-sama di luar negara pada tahun lalu.
Hans yang ditemui pada majlis pelancaran filem Lawak Ke Der 2 di Hotel Premiera, Kuala Lumpur baru-baru ini mendedahkan, dia mahu mendirikan rumah tangga pada pertengahan tahun hadapan.
Kini, yang menjadi persoalannya adakah penerima Anugerah Pengarah Harapan Terbaik dan Lakon Layar Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-21 itu bakal mendirikan rumah tangga dengan pelakon yang sering digosipkan dengannya itu?
Kosmo!: Bagaimanakah hubungan Hans dengan Neelofa sekarang? Dengarnya kini kalian berdua sudah tidak rapat lagi seperti dahulu?
HANS ISAAC: Apa yang boleh saya katakan hubungan kami masih tetap seperti biasa sebagai teman rapat. Namun, saya tidak dapat hendak menjelaskan dengan lebih lanjut mengenai sejauh mana hubungan kami.
Apakah komen Hans apabila terus diajukan pertanyaan mengenai hubungan rapat dengan Neelofa?
Sejujurnya, saya memang dah bosan apabila asyik diajukan mengenai perkara ini dan lebih selesa untuk berdiam diri daripada terus memberi sebarang kenyataan.
Lagipun, filem yang menampilkan kami bergandingan bersama iaitu Lemak Kampung Santan akan ditayangkan pada 29 Mei ini. Jadi, saya tidak mahu kisah saya dan Neelofa dijadikan sebagai publisiti murahan untuk menarik minat orang ramai menonton filem ini nanti.
Pada usia yang sudah mencecah 42 tahun, adakah Hans terfikir mahu mendirikan rumah tangga?
Sebenarnya saya pernah terfikir untuk berkahwin sejak tiga tahun yang lalu, tetapi pada masa itu saya perlu memberi sepenuh perhatian kepada mendiang ibu saya, Carmina Anciano Isaac yang sedang sakit.
Kini, setelah ibu saya meninggal dunia barulah saya tergerak hati untuk melakukan suatu perubahan dalam hidup, termasuk mengenai perkahwinan. Lagipun, sasaran saya paling awal untuk mendirikan rumah tangga pada pertengahan tahun 2014.
Dengan kenyataan yang dibuat ini seolah-olah Hans sudah mempunyai calon isteri sekarang. Adakah ia benar?
Berkenaan dengan calon isteri, saya tidak mahu memberikan sebarang komen buat masa ini kerana ia terlalu peribadi untuk diceritakan. Biarlah buat masa ini, saya tidak berkata apa-apa mengenainya.
Bagaimanapun, saya akan tetap memberikan kenyataan apabila sudah tiba masa yang sesuai untuk menceritakannya. Sekarang ini, lebih baik saya mengunci mulut tanpa memberikan sebarang kenyataan kepada mana-mana pihak.
Kenapakah Hans seperti mahu berahsia pula?
Semuanya disebabkan pengalaman saya yang lepas terutamanya mengenai percintaan. Apabila hubungan saya dengan seseorang wanita itu tidak menjadi, kebanyakan pihak akan menyalahkan saya seorang.
Lagipun, saya perlu pastikan wanita yang dipilih untuk menjadi teman hidup adalah pilihan yang tepat. Ini kerana saya inginkan hubungan yang berkekalan dan bukannya bercerai selepas beberapa tahun berkahwin.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: