Thursday, January 31, 2013

Keinsafan pesakit kepuasan pekerja

HAFIZ FARHAN menyuapkan makanan kepada seorang penghuni yang sudah hilang upaya.


TUGAS untuk mengurus dan menjaga pesakit HIV (Human Immunodeficiency Virus) mungkin membawa konotasi negatif bagi sesetengah pihak, namun tidak buat Mohamad Hafiz Aizad Mohd. Khairom, yang sanggup menghulur bakti kepada mereka.
Pada mulanya, Hafiz sekadar mengikut rakan yang bekerja di Rumah Perlindungan HIV Darul Ukhwah dengan niat untuk membantu. Lama-kelamaan dia seronok melakukan tugas tersebut kerana dapat menolong insan yang memerlukan.
Akhirnya, dia terus melahirkan hasrat untuk berkhidmat secara tetap di rumah perlindungan tersebut dan kini sudah setahun Hafiz bergelar kakitangan di sana.
Menurut pemuda berusia 25 tahun itu, ketika minggu pertama bekerja, hatinya asyik memikirkan tentang risiko jangkitan virus HIV yang dihidapi pesakit. Justeru, dia mengakui kebimbangan terhadap perkara itu menjejaskan sedikit tumpuan ketika bekerja.
“Untuk menyedapkan hati, saya mengambil inisiatif membuat penyelidikan di internet. Selain itu, saya juga rajin bertanya pada doktor dan jururawat serta mereka yang pernah terlibat dalam penjagaan pesakit HIV.
“Hasilnya, stigma buruk saya terhadap jangkitan virus HIV terus hilang. Cuma, pada awalnya keluarga tidak memberi galakan untuk bekerja di sini kerana risau dengan keselamatan diri. Selepas diterangkan secara terperinci, mereka dapat menerimanya namun meminta saya lebih berhati-hati dengan tugas yang dilakukan,” ujar Hafiz yang sebelum ini pernah bekerja dalam bidang katering dan pertanian fertigasi.
Antara tanggungjawab Hafiz termasuklah memandikan pesakit yang uzur, membersihkan luka-luka dan membawa pesakit ke hospital untuk mendapatkan rawatan mengikut tarikh temujanji.
Hilang semangat
Tambahnya, berdepan dengan pesakit yang sudah hilang semangat untuk hidup merupakan antara cabaran besar yang dihadapi. Ini kerana, mereka seolah-olah enggan meneruskan kehidupan dan berputus asa dengan nasib diri.
“Apabila keadaan ini berlaku, kebanyakan pesakit akan bersikap sambil lewa terhadap kesihatan diri seperti tidak mahu makan ubat, enggan mengikuti program motivasi yang diadakan dan bertindak mengasingkan diri.
“Jadi, kami perlu mencari jalan supaya mereka berfikiran positif meskipun sudah dijangkiti virus berbahaya itu termasuk menggunakan pendekatan psikologi,” terang Hafiz yang berasal dari Raub, Pahang.

HAFIZ turut membantu memandikan penghuni yang sudah uzur dan berkerusi roda.


Perkara itu diakui oleh Rohaya Mad Dan, 53, yang sudah tiga tahun bekerja di Rumah Perlindungan HIV Darul Ukhwah. Katanya, pelbagai kerenah pesakit boleh dilihat terutama mereka yang sudah hilang arah hidup.
“Lantaran itu, mereka perlu dilayan baik dan dipujuk seperti anak atau saudara sendiri. Memang adakalanya perangai pesakit HIV ini boleh membuatkan kita geram, tetapi hakikatnya apabila berpeluang menjaga mereka ia mendatangkan keinsafan dalam diri.
“Ia juga membentuk kita agar sentiasa bermuhasabah untuk menjadi insan yang berguna pada agama, bangsa dan negara,” tutur Rohaya yang sering menyertai badan bukan kerajaan (NGO) dalam kerja-kerja kebajikan seperti Rumah Perlindungan Wanita, Baitul Fiqh.
Bersara awal pada usia 30-an ketika bertugas di Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra), Rohaya boleh dijadikan contoh buat ramai wanita.
Kesanggupan menguruskan kehidupan pesakit HIV di rumah tersebut tidak harus dipandang remeh. Sebaliknya, wanita itu sudah dianggap seperti ibu oleh kebanyakan pesakit muda yang ditempatkan di rumah berkenaan.
Jelas Rohaya, setiap hari dia akan membuat air, menyediakan sarapan, mengemas katil dan peralatan serta menyiapkan dos pengambilan ubat untuk pesakit HIV.
“Sebelum ini, saya memang tiada ilmu langsung tentang HIV, malah saya juga menganggap pesakit HIV sebagai berbahaya untuk didekati kerana takut berjangkit. Namun, apabila mengikuti kursus di hospital tentang kaedah penjagaan pesakit secara khusus, barulah saya celik mengenainya,” kata ibu kepada tiga cahaya mata itu.
Menyelusuri sejarah penubuhannya, Rumah Perlindungan HIV Darul Ukhwah mula beroperasi pada bulan Mac 2009 di Puchong. Ia diasaskan oleh pendakwah muda, Muhammad Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin dalam usaha menyelamatkan pesakit HIV Muslim yang ditempatkan di sebuah gereja di Batu Arang, Rawang, Selangor.
Pada awalnya, rumah ini hanya menjaga lapan hingga 10 pesakit namun jumlahnya semakin bertambah dari semasa ke semasa. Hingga kini sepanjang tiga tahun beroperasi, lebih 150 pesakit HIV telah mendapat perlindungan di Darul Ukhwah.
Rumah Perlindungan HIV Darul Ukhwah bernaung di bawah Yayasan Al-Ijabah, sebuah badan yang memberi tumpuan terhadap aktiviti kebajikan dalam masyarakat terutama anak-anak yatim.
Bagi Hafiz Farhan Mohd. Nor Izam, 18, yang baru menyertai keluarga Darul Ukhwah awal Januari lalu, niatnya adalah untuk mencari pengalaman di samping berbakti kepada mereka.

SETIAP hari Rohaya perlu memastikan pesakit HIV mengambil ubat mengikut waktu yang ditetapkan.


“Sebelum ini saya sering mengikuti kuliah Ustaz Amin, jadi saya mahu menyelami kehidupan pesakit HIV dari dekat. Diharap dengan cara ini, ia mampu memberi kegembiraan kepada penghuni kerana masih ada insan yang sanggup membantu di saat mereka disisihkan masyarakat,” ungkap Hafiz Farhan penuh makna.
Dalam pada itu, sebaik selesai membentangkan sejadah, Ruslizam Md. Harun terus mengumandangkan azan menandakan masuknya waktu solat fardu Asar. Gemersik suara lelaki berusia 41 tahun itu pantas mengusik tangkai hati sesiapa sahaja yang mendengarnya.
Alunan suara yang mendayu-dayu itu ternyata membangkitkan rasa insaf dalam diri sekali gus hampir terlupa bahawa dia merupakan salah seorang pesakit HIV.
Di satu sudut lain, kelihatan beberapa pesakit yang mendiami Rumah Perlindungan HIV Darul Ukhwah telah bersedia untuk menunaikan solat Asar secara berjemaah. Masing-masing lengkap memakai baju Melayu, berkain sarung dan kopiah di kepala. Namun, ada juga yang sekadar menyarung baju pagoda.
Ujian Allah
Usai mengerjakan solat, segelintir daripada mereka meneruskan aktiviti membaca al-Quran atau buku-buku bercorak keagamaan yang memenuhi rak di dalam rumah tersebut.
Situasi tenang dan mendamaikan itu ternyata memberi satu kepuasan yang sukar diungkap dengan kata-kata bagi Azman Khalid, 24, salah seorang kakitangan merangkap imam di rumah perlindungan tersebut.
Menurut Azman yang mula bekerja di Darul Ukhwah sejak Mac 2012, sewaktu kali pertama melihat penghuni rumah tersebut, perkara yang difikirkan ialah takut kenikmatan yang dimilikinya akan ditarik oleh Allah.
“Perasaan itulah yang memberi kekuatan kepada saya untuk membantu mereka yang diuji Allah dengan dugaan sedemikian. Bagi saya, pesakit HIV juga manusia biasa yang punya hati dan perasaan.
“Sehubungan itu, dengan menjaga kebajikan mereka di rumah ini mungkin dapat membawa mereka kembali bertaubat dan mendekatkan diri kepada Allah,” luah Azman yang sanggup berhenti kerja sebagai juruteknik semata-mata untuk menguruskan pesakit HIV di Darul Ukhwah.
Tambah Azman, selain menjadi imam, dia turut mengajar pesakit mengaji mengikut kepandaian masing-masing. Apa yang membuatkan dia terharu adalah kesungguhan pesakit yang buta al-Quran. Ada yang sanggup belajar membaca Iqra’ seperti anak-anak kecil.
“Apabila melihat mereka benar-benar mahu mendalami agama yang selama ini ditinggalkan, hati terasa sebak. Mudah-mudahan Allah mengampuni segala dosa dan taubat mereka diterima,” tutur Azman.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: