Pemilik nama sebenar Fadzilah Mohd Ali, 40, berkata, dia akan memberikan penjelasan kemudian kerana beranggapan isu tersebut hanyalah satu publisiti murah yang hendak diraih oleh bekas pengurusan kumpulan itu, Aesar Mustafa.
“Minta maaf saya tidak mahu beri apa-apa komen lanjut mengenai dakwaan ini. Siapa dia (Aesar) untuk saya beri komen mengenai perkara ini?
“Tunggu saya adakan sidang media nanti,” katanya ketika dihubungi mStar Online di sini, petang Isnin.
Dakwaan terbaharu itu timbul apabila pelawak popular berkenaan dituduh menjadi punca kerana mempengaruhi Max 24:7 berundur daripada pihak pengurusan mereka pada 20 Januari lalu.
“Saya tidak mahu melayan perkara ini kerana ia tidak berbaloi,” katanya yang baharu menamatkan penggambaran drama bersiri Tanggang Ayu.
Dalam pada itu, bekas pengurus Max 24:7, Aesar Mustafa berkata, dia berasa terkilan dan tidak sangka dengan tindakan luar jangkaan 10 anak muda itu yang berundur tanpa alasan kukuh.
“Saya tidak sangka dan terkilan dengan keputusan mereka sedangkan konflik dalaman antara kami sebelum ini sudah diselesaikan, dua minggu lalu.
“Tiba-tiba seminggu kemudian mereka sebulat suara hendak undur diri dengan alasan mahu menguruskan kerjaya sendiri,” katanya.
Katanya, kumpulan itu mula bertindak berani sejak mereka dan Didie bekerjasama dalam projek lagu terbaharu berjudul Ping.
“Saya tertanya-tanya siapa pula yang hasut mereka sedangkan kita sudah bermaaf-maafan dan selesaikan salah faham dahulu secara baik.
“Tentu ada unsur-unsur luar yang cuba ‘merampas’ mereka atas kepentingan tertentu walaupun mereka menafikannya,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: