Sunday, January 27, 2013

Survival dua dekad KRU


HUBUNGAN adik-beradik yang akrab memudahkan lagi usaha KRU menghasilkan album KRUnomena biarpun masing-masing sibuk dengan kerjaya.


EMPAYAR yang dibina oleh grup trio adik-beradik, KRU boleh dianggap sebagai berjaya. Bermula sebagai sebuah kumpulan R&B dan pop anak muda pada 21 tahun lalu, pencapaian KRU kini boleh dibanggakan.
Pada usia lebih matang, Norman, 41, Yusry, 40 dan Edry, 37, KRU kini bukan sahaja sebagai sebuah jenama kumpulan muzik, bahkan syarikat hiburan ternama, KRU Studios tertubuh atas usaha anak-anak lelaki Abdul Halim Kamal dan Zarina Abdul Wahab Fenner itu.
Survival dua dekad tiga anak muda itu berjaya menghasilkan 13 buah album seperti Canggih pada 1992, reKRUed (1993), Awas (1994), Oh La La (1996), KRUjaan (2000) dan KRUnisme (2005). Setelah terlalu fokus kepada kerjaya dalam bidang perniagaan itu, KRU bakal muncul dengan sebuah album tidak lama lagi.
Setelah kali terakhir muncul dengan album 10 Di Skala Richter pada 2006, album KRUnomena akan berada di pasaran pada 31 Januari ini.
Menampilkan sepuluh buah lagu seperti Setiap, Semalam Tanpamu, Kesejatian Cinta, Separuh Mati, Sediakala, Lagu & Lirik dan lagu lama Kali Ke-2 yang diberi nafas baharu. Turut ditampilkan tiga buah single yang pernah disiarkan di radio seperti Ganas, Tiga Kata dan Wanita dalam album pertama KRU yang diterbitkan di bawah label muzik mereka sendiri, KRU Music.
Apa rahsia KRU yang berjaya mencipta empayar hingga kini?
NORMAN (N): Kami ada kekuatan daripada hubungan sebagai adik-beradik. Tetapi, ada dua sebab lain juga iaitu fokus kepada apa yang ingin dilakukan biarpun terdapat kekangan kewangan sekalipun dan bersyukur terhadap setiap detik yang berlaku sepanjang kami di dalam industri ini.
YUSRY (Y): Yang penting kena tahu apa tahap yang kita boleh capai, untuk berjaya kami berusaha untuk mencabar had tersebut.
EDRY (E): Kita kena ikhlas untuk jadi diri sendiri dan tak ikut orang lain. KRU tidak pernah mengikut trend seperti mana yang berlaku seperti fenomena rock, pop-Indo dan nasyid. Kalau ikut trend pun kami mungkin akan bertahan selama dua atau tiga tahun sahaja.
Bagaimana dengan persiapan untuk menghasilkan album terbaharu, KRUnomena?
N: Kesemua lagu baharu dihasilkan oleh Edry sendiri.
Y: Perancangan sudah lama sebenarnya. Sejak 2010 lagi kami sudah mengumpul material. Lebih daripada sepuluh buah lagu telah disiapkan, tetapi kami pilih yang terbaik untuk dimuatkan.
E: Beberapa lagu yang saya hasilkan untuk album ini banyak yang diberikan kepada penyanyi lain. Sepatutnya lagu Sedetik Lebih nyanyian Anuar Zain, Jahat (Stacy) dan Andai Ku Bercinta Lagi (Mojo) adalah untuk KRU, tetapi apabila diteliti lagi itu tidak sesuai dengan konsep.
Apakah cabaran yang dilalui ketika proses menghasilkan album itu?
N: Saya sibuk dengan pengurusan syarikat, Yusry pula dengan Vikingdom. Oleh itu proses rakaman dilakukan mengikut masa senggang masing-masing. Untuk menyanyi dengan baik, mood dan rasa harus baik. Selain itu fokus juga penting. Jadi kami berusaha untuk menyiapkannya tanpa tekanan.
E: Kekangan waktu sibuk masing-masing membuatkan ia mengambil masa untuk disiapkan. Tetapi hal itu dapat diatasi kerana sering berhubung biarpun salah seorang berada di luar negara. Perhubungan tidak pernah putus dengan bantuan teknologi.
Memandangkan masing-masing subuk dengan urusan kerjaya, bagaimana proses rakaman tersebut berlangsung?
N: Proses lebih mudah kerana proses rakaman diadakan berasingan. Jadi kami lebih fleksibel dalam aspek masa.
Y: Saya akan menyanyikan untuk keseluruhan lagu secara bersendirian. Seterusnya Norman dan Edry akan merakamkan bahagian mereka kemudian.
E: Saya dan Norman perlu ikut cara Yusry menyanyi kerana dia terlebih dahulu merakamkan keseluruhan lagu sendiri.
KRU pernah mengambil keputusan untuk bersara daripada mengadakan persembahan. Adakah ia benar?
N: Benar, tetapi untuk terus menghasilkan album KRU, kami belum bersara. Tetapi kalau ada permintaan, mungkin akan dilakukan persembahan kecil-kecilan. Untuk konsert jelajah atau sebagainya, itu tidak mungkin.
Y: KRU tidak bersara sebagai penyanyi, tetapi bersara daripada persembahan pentas sahaja.
KRU tidak pernah alah dalam berfesyen terutamanya dalam album-album sebelum ini. Untuk album baharu itu bagaimana fesyen anda?
E: Norman lebih menonjol berbanding saya dan Yusry dari segi fesyen. Dari dulu lagi dia yang akan selalu ke hadapan apabila ada persembahan. Dalam album pertama terbitan sendiri ini kami tidak menetapkan fesyen tertentu. Sebelum ini kami lebih terikat kepada kontrak dengan syarikat rakaman tentang gaya. Tetapi kami kini lebih bebas.
Apakah yang istimewanya tentang album kali ini?
E: Kami memilih Stacy untuk berduet dalam lagu Semalam Tanpamu. Dia penyanyi paling sesuai untuk berduet dalam lagu itu. Sebuah persembahan yang berbeza daripada KRU.
N: Kami menyanyikan semula lagu Kali Ke-2 yang popular dalam album KRUmania. Menariknya, lagu itu tidak pernah menjadi hits dan dijadikan lagi single sebelum ini. Tetapi ia istimewa kerana masih relevan dengan kematangan KRU. Sedikit sentuhan baharu diberikan kepada lagu itu.
Y: Lagu Kali Ke-2 ialah sebuah lagu nostalgia dan dinyanyikan semula sebagai tribut kepada peminat lama dan baharu KRU.
Bagaimana dengan strategi pemasaran album itu?
N: Selepas dilancarkan nanti, akan diadakan promosi secara berterusan selama tiga bulan. Dari segi pementasan pentas mungkin tidak ada. Single Tiga Kata yang memasuki pencalonan Muzik-Muzik tempoh hari pun dinyanyikan oleh kumpulan Fourteen sebagai mewakili KRU.
E: Album ini akan berada di pasaran tidak lama lagi pada harga RM29.90. Untuk 1,000 salinan pertama, peminat akan mendapat bersama kulit album yang eksklusif.
Y: lagu-lagu itu sendiri menjadi kekuatan untuk memperkenalkan album KRUnomena.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: