Tasha atau nama sebenarnya Natashasheila Abdul Razak, 26, berkata, walaupun dia tidak pernah melayan atau melenting dengan isu-isu yang timbul sepanjang tahun lalu, senario itu masih berlanjutan sehingga kini.
“Saya sendiri berasa hairan kenapa orang terus berusaha melakukan provokasi menerusi pelbagai isu semata-mata untuk melihat saya melenting?
“Namun, saya seorang yang positif dan fokus pada objektif menceburi bidang ini jadi tidak perlu saya melayan kontroversi itu semua,” katanya kepada mStar Online.
Tasha berkata, selepas berdiam diri beberapa bulan kerana kesibukan kerja, dia sekali lagi diuji dengan isu kononnya tidak mendapat penajaan undian sehingga tidak dicalonkan dalam mana-mana kategori pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2012 tahun ini.
Pada tahun lalu, Tasha memenangi Artis Baru Wanita Popular anugerah itu yang turut dikaitkan kononnya dia menerima tajaan bagi mengundinya sehingga berjaya meraih kemenangan tersebut.
Katanya, segelintir pihak terus mengasaknya dengan pelbagai persoalan walaupun dia menganggap soal dicalonkan atau tidak pada anugerah itu kali ini adalah ketentuan Tuhan.
“Dapat atau tidak (pencalonan) ia adalah soal rezeki yang ditentukan Tuhan. Malah, tiada apa yang hendak diperbesarkan pun.
“Dari dulu lagi, saya dihentam macam-macam tapi saya senang ambil pendekatan untuk tidak melatah dan hadapi dengan tenang,” katanya.
Mengenai kerjaya, aktres ini berkata, dia masih sibuk menyudahkan komitmen drama berjudul Rindu Bertemu Abu Dhabi untuk siaran TV3.
“Komitmen untuk drama 28 episod ini bermula Disember lalu hingga Februari depan untuk tempoh 3 bulan.
“Saya selesa apabila sibuk berlakon, apa jua kontroversi yang timbul boleh saya alihkan pada kerja.
“Biarlah orang nak timbulkan provokasi, saya senang berdiam diri dan fokus pada kerja sahaja,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: