Sunday, January 27, 2013

Juvana dalam penjara rasa


KELIBAT Botak pastinya ditunggu para peminat.


SEBAGAI seorang penonton setia drama Juvana yang menjadi fenomena di kaca televisyen tahun lalu, penulis menonton versi filem ini dengan menimbang rasa.
Jujurnya, penulis tidak dapat menolak fakta bahawa perjalanan Juvana dalam balutan drama lebih padat dan menyenangkan rasa. Lebih lancar jalan cerita dan perjalanan karakter. Namun ini bukan bermakna filem yang bakal ditonton para pengikut setia Juvana ini tidak berjaya.

PARA pelakon Juvana yang sudah mempunyai peminat tegar.


Dalam rencah yang lain, Juvana versi filem memberikan rasa yang berbeza. Suspen masih ada namun tidak ketinggalan juga rasa tekanan menonton jalan cerita filem ini. Rasa sesak dan kadangkala hilang fokus bakal terjadi sewaktu menonton. Ini kerana jalan ceritanya yang kurang jelas berbanding drama.
Namun satu hal yang paling menarik dalam filem Juvana ini ialah keberkesanan watak yang dilakonkan oleh setiap pelakon. Setiap seorang berdiri dengan watak yang cukup kuat dan meyakinkan. Semua pelakon menjalankan tugasan dengan baik menjadikan perjalanan watak pada setiap satu karakter memberi sama rasa dan rata dalam filem ini.
Nama-nama besar dalam Juvana seperti watak Botak, Daim, Apek dan Ayam sudah mempunyai para peminat yang menantikan kesinambunagan emosi mereka dalam filem ini. Lontaran watak mereka kuat dan berjaya. Menjadikan mereka satu pasukan Juvana yang kuat rasa.

SHARNAAZ dan Shafie Naswip adalah rencah baharu Juvana.


Begitu juga dengan karakter yang baru masuk dalam penjara Juvana iaitu Cikgu Ali lakonan Adlin Arman Ramlie dan Lan Todak lakonan Sharnaaz. Kedua-dua watak malah pelakon ini berjalan seiring tanpa menindas watak-watak lain. Cuma sayang bakat lakonan Syafie Naswip belum habis dieksploitasi Faisal Ishak selaku pengarah untuk filem ini. Ramai tahu keupayaan Syafie dalam setiap naskhah lakonannya.
Untuk para pengikut tegar Juvana, anda tidak akan kecewa. Perasaan dan kesetiaan anda terhadap setiap watak yang dibentuk cantik dalam francais Juvana berjalan dengan jaya.
Cuma pada satu sisi sebenarnya Faisal Ishak mampu membentuk Juvana lebih baik dan cantik. Adegan akhir sedikit mencacatkan kecantikan filem ini. Juga adegan-adegan kecil yang merosakkan pandangan seperti pengawal keselamatan menari kecil dalam bilik pengawal, adegan seperti itu kelihatan selekeh dan kurang bijak.
Secara keseluruhan, Juvana dalam balutan filem ini akan memenjarakan rasa khalayak sewaktu menonton. Sama ada suka atau lemas.
Komen Sofia: Ramai yang suka kemunculan Nabila Huda dalam filem ini. Sekejap tetapi menjadi buah mulut.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: