Wednesday, January 30, 2013

Nash Akui Sukar Cari Wanita Solehah Untuk Calon Isteri

Nash cari bakal isteri solehah.
PETALING JAYA: Penyanyi Nash (Lefthanded) meluahkan keinginannya untuk berumah tangga dengan seorang wanita yang mampu menjadi isteri solehah serta mentaati suami.
Nash atau nama sebenarnya Jamaludin Elias, 54, berkata, pada zaman serba moden ini, agak sukar untuk dia mencari wanita yang memiliki ciri-ciri idamannya seperti itu.
"Bagi kebanyakan lelaki (duda) seperti saya, pasti ramai yang inginkan seorang wanita yang serasi dengan diri untuk menjadi teman hidup bersama, begitu juga dengan saya.
"Cuma saya begitu 'mengidam' untuk memiliki seorang wanita yang mampu menjadi isteri solehah dan sentiasa mentaati suami," katanya kepada mStar Online.
Bagaimanapun tambah Nash, dia juga mengakui tidak berusaha dalam mencari wanita sebagai teman hidup seperti yang diinginkan itu, sebaliknya menganggap jodohnya akan sampai apabila tiba masanya.
"Saya tak mencari, sebab itulah saya lambat dapat calon," seloroh Nash.
Hasil perkahwinan terdahulu, Nash dikurniakan tiga cahaya mata, Fareena Nasha, 24, Najeeha Nasha, 22, Mohd Shameer Nasha, 16 dan seorang anak angkat, Jasmin Hanis Nasha, 14.
Nash juga pernah berkahwin dengan pengasas produk kecantikan Nouvelles Visages, Allahyarham Datuk Sosilawati Lawiya pada 16 November 2006 di Batu Pahat, Johor sebelum bercerai pada 26 Mei 2009.
Sementara itu, Nash bersama kumpulannya, Lefthanded serta Sweet Charity dan May bakal beraksi pada konsert Dimensi Rockarisma yang bakal berlangsung di Stadium Tertutup MBJB (Majlis Bandaraya Johor Bahru) Johor Bahru pada 9 Februari depan.
Tiket berharga RM78 boleh ditempah dengan menghubungi talian 03-7880799 atau layari laman web www.ticketpro.com.my.
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Aida Husin menerusi talian 012-2166873 atau e-mel di mewahevent@gmail.com.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: