|
MASA senggangnya banyak dihabiskan dengan menyelesaikan teka-teki Sudoku. Minatnya yang mendalam terhadap permainan itu menjadikan bermain Sudoku seperti perkara wajib yang perlu dilakukannya setiap hari, tanpa ada sedikit pun rasa jemu.
Itulah yang dilakukan oleh Mohd. Farhan Hassin, 23, yang berjaya membuktikan bahawa hobinya itu adalah sesuatu yang menguntungkan, apabila dia memenangi Kejohanan Sudoku Malaysia kali ketiga bagi kategori Terbuka.
Menurut penuntut sebuah kolej swasta tersebut, dia mula menggemari permainan yang berasal dari Jepun itu semenjak empat tahun lepas, selepas mencuba menyelesaikan teka-tekinya buat kali pertama.
“Sejak itu, saya terus jatuh cinta dengan Sudoku kerana selain menyeronokkan, ia turut dapat membantu menajamkan pemikiran saya dengan berfikir secara logik dan pantas.
“Disebabkan itulah, hari ini saya sanggup datang dari tempat pengajian saya di Kedah semata-mata untuk menyertai pertandingan ini. Saya berbangga kerana dapat membuktikan yang minat saya ini bukanlah sesuatu yang sia-sia,” ujar pelajar jurusan pendidikan yang memenangi kategori itu buat tahun ketiga kejohanan berturut-turut.
Dalam kejohanan yang diadakan di The Summit USJ, Subang Jaya, Selangor baru-baru ini, sebanyak empat kategori dipertandingkan iaitu kategori Warga Emas, kategori 1 Sudoku, kategori Terbuka dan kategori Pelajar.
Kategori Warga Emas telah dimenangi oleh Loy Kam Ho dengan catatan masa sepantas 11 minit 36 saat. Kategori 1 Sudoku pula dimenangi oleh Lim Kar Gee dengan masa 7 minit 33 saat, manakala kategori Pelajar dimenangi oleh Lim Zhi Pei dengan masa 7 minit 57 saat.
Farhan pula ditabalkan juara kategori terbuka selepas melakukan catatan masa 9 minit 8 saat.
Kejohanan yang dianjurkan oleh Persatuan Sudoku Malaysia itu turut mendapat kerjasama daripada Midea Scott & English Electronics Sdn. Bhd. serta syarikat yang mengasaskan permainan Sudoku iaitu Nikoli Co. Ltd. dari Jepun.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa kejohanan, Lim Teck Guan, sambutan yang diberikan untuk kejohanan pada tahun ini adalah sangat menggalakkan dan datangnya daripada pelbagai peringkat umur tanpa mengira bangsa.
“Pihak penganjur berasa sangat gembira dengan peningkatan minat yang ditunjukkan oleh rakyat Malaysia dalam permainan ini sehingga ada yang sanggup datang dari jauh.
“Ini dapat dibuktikan apabila kita mendapat penyertaan daripada segenap lapisan umur, dari yang berusia enam tahun sehingga 65 tahun,” katanya yang ditemui pada kejohanan itu.
Menurut Teck Guan, untuk setiap kategori, kesemua peserta perlu mengambil bahagian dalam pusingan awal terlebih dahulu dan seterusnya hanya 10 peserta terpantas akan terpilih untuk mara ke peringkat akhir.
“Dalam pusingan akhir pula, peserta yang terpantas menyelesaikan soalan dengan jawapan yang tepat dipilih sebagai pemenang,” ujarnya yang turut mencipta soalan-soalan bagi kategori 1 Sudoku.
Menariknya pengasas permainan Sudoku dari Jepun, Kaji Maki turut turun ke ibu negara untuk memeriahkan kejohanan.
Beliau berharap agar lebih ramai rakyat Malaysia yang akan bermain permainan itu kerana ia merupakan sejenis bentuk latihan yang baik untuk otak.
“Dengan bermain Sudoku, anda akan menjadi seorang yang sabar, kreatif serta mempunyai daya pemikiran yang kuat. Sebab itulah permainan ini bagus untuk semua peringkat umur,” ujarnya lagi.
Tajamkan minda
Sementara itu, seorang warga emas yang menjadi peserta paling veteran, Low Kum Fatt, 65, mengakui bahawa permainan Sudoku dapat menguatkan daya fikiran seseorang, terutamanya yang telah menjangkau usia emas.
“Apabila seseorang itu telah bersara daripada kerjayanya, otaknya perlu terus diasah supaya tidak menjadi tumpul,” katanya yang telah mula bermain Sudoku sejak tahun 2005.
Permainan itu sebenarnya telah menjadi trend di Jepun pada tahun 1986, namun ia mula mendapat perhatian masyarakat seluruh dunia pada tahun 2005.
Ia bukanlah sejenis permainan matematik yang memerlukan pemainnya mengira dengan pantas dan tepat, sebaliknya merupakan teka-teki bernombor yang hanya memerlukan logik akal untuk menyelesaikan petak-petak kosong yang diberi.
Hasilnya, pemain dapat melatih pemikiran mereka untuk menjadi lebih kreatif dan peka, selain membantu menguatkan skil menyelesaikan masalah dengan pantas.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: