Elfira Loy

PELAKON Dalam Hati Ada Taman, Elfira Loy bengang apabila ada individu yang menyamar sebagai dirinya dalam laman mikro Twitter.
 
Elfira, 19, menulis mesej di Twitter yang berdaftar atas nama @elfira_loy, pagi ini, meminta agar individu tersebut tidak menyamar sebagai dirinya.
 
“Please don’t tweet like you are the real ‘Elfira’. Show some respect please, thank you @_Elfiraloy,” tulisnya. (Jangan ‘tweet’ seperti anda Elfira yang sebenar. Tolong hormat sedikit, terima kasih)
 
Akaun palsu yang berdaftar atas nama @_Elfiraloy itu jelas boleh menimbulkan kekeliruan berikutan ‘tweet’ yang dikeluarkan seolah-olah ditulis oleh pelakon itu.
 
Akaun palsu yang dibuat pada 28 Disember tahun lalu itu kini mempunyai 237 pengikut dengan 384 ‘tweet’.
 
Pada 28 Januari lalu, individu tersebut menulis mesej kepada pelakon, Nabila Huda.
 
“Hey sis...How are you? It’s me Elfira...I saw you at La Boca,” tulisnya.
 
Akaun palsu itu juga menulis, "Hi Siti Aisyah is here now. El ada shooting, so I’ll take care her Twitter for 38 minit.” (Hi Siti Aisyah di sini sekarang. El ada penggambaran, jadi saya akan menjaga Twitternya untuk 38 minit).
 
Melalui interaksi dengan pengikutnya pada 8 Januari lalu, individu itu menyebut nama kedua adik Elfira, Ezzrin dan Ezlisa.
 
“...tapi adik kak tak boleh harap!!...Ezzrin pergi rumah kawan, Ezlisa pergi ‘shopping’! Geramnya,” tulisnya.
 
Malah, individu itu juga menjawab pertanyaan peminat Elfira yang bertanya aktiviti pelakon itu serta memuat naik gambar Elfira.
 
Elfira atau nama sebenarnya Nurul Elfira Loy Ahmad Sabri merupakan pelakon meningkat naik yang mula dikenali melalui drama Qalesya pada tahun 2009.
 
Terbaru, pelakon kecil molek ini tampil dalam rancangan mencabar, Fear Factor Selebriti Malaysia yang bergandingan dengan Ajak Raja Lawak.