SHERRY...gaya terbaru dengan imej yang semakin menyerlah.
Qatar Airways, jenama penerbangan yang membawa pelakon popular menerusi drama Renjis ini ke merata dunia, menguji ketabahan hidup remajanya yang terpaksa berjauhan dengan keluarga serta sahabat handai di Malaysia.
Kini Sherry Ibrahim atau nama sebenarnya, Syarizad Ibrahim, 29, kembali dengan persiapan diri yang jauh lebih matang dan berkeyakinan.
“Orang Timur Tengah adalah masyarakat yang paling sukar untuk kita berurusan dan sepanjang menetap di Doha, berjiran dan bermasyarakat dengan mereka, saya belajar untuk jadi individu yang lebih kuat dan berani supaya tidak sewenang-wenangnya diperkotak-katikkan hanya kerana saya orang Asia,” kata Sherry.
Dilahirkan pada 3 April 1983, anak sulung daripada tiga beradik ini mengakui banyak kenangan indah sepanjang bertugas dengan penerbangan itu, lebih-lebih lagi peluang bercuti di beberapa negara dengan landskap terindah di dunia. Antaranya Eropah, pernah juga dia menjadi saksi kehebatan kota metropolitan New York, Amerika Syarikat dan menikmati panorama luar biasa Mauritius.
“Setahun sekali kami anak-anak kapal akan menerima satu tiket percuma untuk semua lokasi percutian di seluruh dunia. Jika mahu membeli tiket untuk diri sendiri dan keluarga hanya perlu membayar 10 peratus saja daripada harga sebenar,” katanya.
Dengan segala kelebihan dan keseronokan yang dimiliki, mengapa agaknya anak jati Kuala Lumpur yang pernah membintangi filem Maut itu mengambil keputusan untuk kembali aktif dalam bidang lakonan selepas pernah nekad meninggalkannya dua tahun setengah yang lalu.
Akui Sherry, dia langsung tidak terfikir menemukan kembali rasa cinta pada lakonan, namun dia percaya pada ketentuan takdir. Sejauh manapun dia berlari, jika rezeki sudah ditetapkan di situ, tetap akan ada jalan untuknya berbuat demikian.
“Kontrak saya dengan Qatar Airways tamat pada Mei lalu. Ditawarkan untuk menyambung perkhidmatan, namun saya memilih untuk berehat panjang dan pulang ke Malaysia untuk berada di samping keluarga selain berhubung semula dengan kawan-kawan yang sudah lama saya tidak temui.
“Kebetulan kepulangan saya itu tepat pada masanya kerana orang tua saya merancang menunaikan fardu haji. Sepanjang ketiadaan mereka, saya tolong tengok-tengokkan rumah dan adik-adik.
“Dek kerana cuti yang terlalu panjang, kena pula orang seperti saya yang tidak boleh duduk diam, mana boleh tahan. Saya sudah biasa kerja dan suka bekerja, jadi apabila tidak bekerja, saya lemau dan tak berkembang.
“Kebosanan yang melampau akhirnya sahabat saya, Rizal Jaafar membantu saya dapatkan peluang berlakon drama. Saya pun fikir daripada tidak buat apa-apa, apa salahnya berlakon sementara menantikan sesuatu yang lebih baik dan besar dalam hidup saya.
“Dengan bantuan Rizal, saya dapat peluang membintangi siri Setia Hujung Nyawa arahan pengarah berkaliber, Amie Maziah. Selepas berbincang dengan mama, dia izinkan, cuma papa saya tidak berapa setuju mungkin kerana statusnya sebagai haji selain kebimbangannya jika ada hal yang kurang manis diperkatakan mengenai saya serta rasa bimbang jika percubaan saya kali ini tidak berjaya,” katanya yang semakin jelita.
Ditampilkan sebagai Eriza menerusi drama 28 episod itu, akui Sherry, wataknya tidaklah begitu mencabar, namun ia permulaan yang baik untuk kembali mendapatkan rentak di set penggambaran yang lama ditinggalkan.
“Eriza adalah sahabat baik kepada lelaki yang dilakonkan Amar Asyraf dan Talha Harith. Eriza pernah mempunyai hati terhadap Zain iaitu watak dilakonkan Amar.
“Selepas lama terpisah, mereka bertemu kembali dan Eriza kecewa apabila mendapat tahu Amar sudah berkahwin. Tiga babak pertama yang saya jalani di set penggambaran, saya akui kaku, tetapi masuk babak ketiga saya mula ok,” katanya.
Setia Hujung Nyawa diterajui Ryzal dan Nellydia Senrose selaku pendukung utama dan ia sebuah karya adaptasi daripada novel nukilan Fatin Nabila yang mengisahkan Zain Hakimi (Ryzal) yang terpaksa bernikah dengan Ersalina (Nelly) selepas pengantin perempuan lari.
Perkahwinan terbina bukan atas dasar cinta itu akhirnya menemukan perasaan kasih di dalam dua hati. Namun saat Zain ingin menyatakan rasa cinta, dia terpukul dengan berita kehamilan isterinya sedangkan belum pernah menyentuh Ersalina.
Ersalina rela dipersalahkan, namun nekad untuk setia ke akhir hayat terhadap Zain yang menyelamatkan maruahnya.
“Saya terima tawaran ini, salah satu kerana jalan ceritanya menarik walaupun saya bukanlah pelakon utama siri ini,” katanya.
Kembali dihujani tawaran berlakon, namun ada beberapa lamaran terpaksa ditolak kerana bertindih jadual penggambaran. Tambahan pula, Sherry sejak dulu tidak gemar mengambil peluang pada saat akhir kerana dia percaya tanpa persiapan yang rapi seperti menganalisis karakter yang perlu dibawa, akhirnya menyebabkan pelakon itu terperangkap dengan perwatakan sendiri.
“Boleh kalau hendak rebut peluang hanya berlandaskan wang tetapi saya tidak mahu kembali sebagai pelakon yang tidak berkualiti. Biarlah keputusan kali kedua saya kali ini, dapat membuktikan sesuatu kepada penonton di mana saya mampu lakukan lebih daripada yang pernah mereka saksikan sebelum ini.
“Justeru, saya menantikan peluang yang benar-benar boleh mencabar kemampuan saya sebagai pelakon,” kata Sherry yang khabarnya sedang merancang menghasilkan sebuah single dengan seorang penyanyi berbakat besar.
Mendambakan watak yang serius seiring kematangan usianya, jujur akui Sherry, sekali sekala dia dihambat rasa rindu suasana berada di set lokasi Renjis yang turut dibintangi Elyana, Ashraf Muslim, Syed Ali dan Liza.
“Saya suka berlakon dengan Elyana kerana kami mempunyai keserasian. Dengan dia, kadang-kadang tak perlu baca skrip kerana dialog yang dizahirkan kami selalunya spontan. Hubungan baik saya dengan Elyana, hinggakan majlis perkahwinan dia saya sanggup pulang ke Malaysia bagi meraikannya.
“Selain itu, saya juga rindukan suasana penggambaran untuk drama Capalrela. Secara keseluruhan, suasana penggambaran masih sama cuma yang membezakan adalah dari segi teknologi peralatan yang digunakan lebih canggih dan moden berbanding beberapa tahun sebelum ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: