Sunday, January 27, 2013

Wenner pelukis 3D terulung dunia


WENNER merupakan individu yang bertanggung jawab memperkenalkan lukisan 3D kepada dunia.


KURT Wenner merupakan seorang pelukis berbangsa Amerika pertama yang bereksperimen dengan lukisan jalanan dengan teknik ilusi 3D.
Dipengaruhi pengaruh lukisan anamorfik, beliau banyak menghasilkan lukisan cat minyak berskala besar, mural seramik, arca, dekorasi, lukisan 3D dan rekaan seni bina untuk pelanggannya yang berada di lebih 30 negara.
"Saya mula mencipta lukisan jalanan dengan ilusi 3D pada tahun 1987.
"Ketika berjinak-jinak dengan lukisan 3D, saya banyak mencuba pelbagai teknik melukis supaya hasilnya mampu memberi kesan hidup selepas dipotretkan.
"Begitupun, hanya selepas setahun saya mengasaskan festival lukisan jalanan pertama di California, Amerika Syarikat barulah karya 3D saya mula dipamerkan di Muzium Seni Santa Barbara pada tahun 2000," ujar Wenner dalam laman web rasminya, www.kurtwenner.com.
Sumbangan besar Wenner dalam industri lukisan melayakkan beliau untuk menggondol pelbagai pengiktirafan dan anugerah di peringkat antarabangsa.
Biarpun memiliki nama besar, Wenner tidak lokek berkongsi karyanya dengan peminat lukisan 3D.
Bahkan, beliau sering menjadikan karya jalanannya sebagai medium untuk melihat bagaimana orang ramai berinteraksi dengan lukisan 3D skala besar secara percuma.
Mula menghasilkan lukisan 3D dengan menggunakan kapur, inovasi insan kreatif ini tidak terhenti di situ.
Dalam karya agungnya berjudul Grand Canyon Ilussion, Wenner menguji kreativitinya memanfaatkan ruang lantai, dinding dan siling untuk menghasilkan lukisan yang menyerupai lokasi sebenar taman negara terkenal itu.
"Cara terbaik untuk melihat ilusi lukisan 3D adalah dari satu sudut di mana bayangan secara menegak mampu memberikan gambaran visual sebenar subjek yang mahu ditonjolkan.
"Lukisan kelihatan lebih hidup dalam lensa kamera," katanya yang mempunyai ramai peminat dan pengikut terdiri daripada pelukis karya jalanan di serata dunia.
Jelasnya, melukis lukisan 3D tidak sesukar mana namun ia memerlukan imaginasi yang tinggi memandangkan penonton perlu melihatnya dengan mata kedua.
"Melukis visual 3D juga memerlukan ketelitian yang tinggi terutamanya ketika membentuk bayang.
"Adakalanya saya memerlukan lebih dari lima tona warna supaya ia kelihatan lebih realistik," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: