Monday, January 28, 2013

Gaya comel Mickey


MICKEY MOUSE juga menawarkan seleksi pakaian untuk bersantai atau berpiknik.


KARAKTER kartun popular, Mickey Mouse telah diperkenalkan sejak tahun 1928. Ia kemudiannya disusuli dengan karakter sahabat-sahabat Mickey seperti Minnie Mouse, Pluto, Donald dan Daisy Duck.
Selama 85 tahun animasi keluaran Walt Disney itu menemani kanak-kanak, ia telah berkembang daripada rancangan kartun yang menghiburkan kepada satu jenama pakaian dan aksesori terkenal di serata dunia.
Menariknya, setiap helaian pakaian Mickey tidak pernah lapuk ditelan zaman, malah ia sentiasa tampil segar bersama koleksi baharu.
Sempena musim bunga/panas 2013 kali ini, Mickey dan rakan-rakan sekali lagi menarik perhatian penggemar jenamanya menerusi koleksi terkini yang disasarkan kepada kanak-kanak dan remaja berumur enam hingga 16 tahun.
Bertemakan Nobody Does Fashion Like Mickey & Minnie, pementasan fesyen sempena pelancaran koleksi baharu itu berlangsung dengan meriahnya di Berjaya Times Square, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Kecomelan model-model cilik memperagakan pakaian mereka ternyata mencuit hati hadirin yang turut disajikan dengan persembahan daripada pasukan sorak Cheers Aces dan flash mob.
“Koleksi musim bunga/panas 2013 Mickey & Minnie sangat berwarna-warni, ceria dan sesuai dengan kehendak fesyen kanak-kanak masa kini. Kami sangat fokus dalam menyediakan variasi gaya daripada baju T, jean atau bermuda sehingga kepada pakaian santai,” jelas Pengurus Besar BUM Holdings (M) Sdn. Bhd., Ivy Hew.

MICKEY MOUSE menawarkan pelbagai jenis pakaian dan aksesori untuk digayakan kanak-kanak seluruh dunia.


Mickey & Minnie perlu diberi pujian dalam mengekalkan kelembutan gaya yang wajar dimiliki setiap gadis. Blaus dan baju T dengan potongan mengikut bentuk badan berserta cetakan imej Minnie menjadi mainan utama koleksi untuk si kecil jelita.
Aksesori wajib iaitu cekak kepala dengan reben polka dot merah jambu sememangnya gaya signatur Minnie yang sering kali menjadi pilihan kanak-kanak perempuan. Kardigan beropol yang digandingkan dengan kemeja berkotak dan jean pula menyerlahkan personaliti ringkas seorang gadis yang sedang meniti alam remaja.
Koleksi pakaian Mickey buat kanak-kanak lelaki juga tidak kurang hebatnya. Selain baju T dan kemeja bercetak, jaket memainkan peranan penting dalam musim kali ini. Ia memperlihatkan ciri kelelakian yang dimiliki si pemakai walaupun tubuh dibaluti pakaian bercorak kartun yang comel.
Koleksi Mickey & Minnie kali ini dijual bermula pada harga RM39 sehingga RM139 mengikut jenis barangan. Ia boleh didapati di semua gedung beli-belah utama di seluruh Malaysia.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: