Sunday, January 27, 2013

Pesona Gerald Anderson



CERITA cinta pasti jadi penyeri perjalanan portfolio seorang jejaka yang masih berdiri dengan status solo. Begitu juga yang menempa kehidupan aktor berwajah cukup tampan, Gerald Anderson.
Namun, sebaik 2013 bermula, jejaka berumur 23 tahun ini mula dikaitkan dengan cerita cinta. Dia dikaitkan dengan pelbagai selebriti termasuk yang terbaharu, Sarah Geronimo.
Kisah cinta yang gagal bersama Sarah menjadi sebutan. Pasangan ini malah pernah diberi gelaran ‘Kisah Cinta Paling Disebut Ramai 2012’.
Lupakan dulu kisah cinta yang tidak menjadi itu. Kini khalayak umum boleh melihat bakat lakonan jejaka ini melalui drama bersiri My Girl yang disiarkan pada setiap hari Selasa hingga Khamis, pukul 10 pagi di saluran TV3.
Drama ini merupakan sebuah adaptasi daripada drama popular Korea dengan tajuk yang sama dan kini dibawakan dalam versi Tagalog.
Drama bersiri 35 episod ini membariskan pelakon muda Filipina yang cukup popular seperti Kim Chiu (Jasmine), Gerald Anderson (Julian), Enchong Dee (Nico), Nina Jose (Anika), Regine Angeles (Shiela) dan ramai lagi.
Dalam siri ini, Gerald yang lancar bahasa Inggeris dan Tagalog membawakan watak Julian, pemuda kacak graduan Universiti Harvard, Amerika Syarikat (AS) yang kini memikul tanggungjawab sebagai waris utama menguruskan empayar perhotelan datuknya, Greg.
Julian bukan sahaja berpelajaran tinggi dan berperwatakan menarik, malah penuh karisma dan serius dalam kerjaya dan misi hidupnya. Namun, selepas mengetahui hajat datuknya yang tidak sihat, hanya satu perkara yang menjadi tumpuan utama beliau iaitu menjejaki semula sepupu perempuannya, Hannah yang sudah lama hilang.
Gerald Anderson atau nama penuhnya Gerald Randolph Opsima Anderson, Jr. menghabiskan masa kecilnya di San Antonio, Texas. Hanya pada usia 14 tahun, dia kembali ke Filipina dan tinggal di General Santos, daerah kelahiran ibunya.
Bakat lakonan Gerald mula dikesan oleh aktor Joross Gamboa dan diperkenalkan kepada pihak ABS-CBN. Menyertai program realiti televisyen, Pinoy Big Brother, itu merupakan langkah perdana Gerald dalam dunia lakonan.
Selepas program Pinoy Big Brother, Gerald menjadi terkenal dan menjadi bakat eksklusif ABS-CBN. Dalam membina populariti menjadi aktor, Gerald diperkenalkan dengan aktres Kim Chiu menjadikan mereka pasangan cinta kegemaran ramai. Mereka juga diberikan jolokan Kimerald. Hubungan rapat pasangan ini boleh disaksikan dalam drama My Girl yang menggandingkan mereka berdua.
Selain berlakon, Gerald gemar mendengar lagu dan bermain bola keranjang.
“Saya juga gemar menghabiskan masa di gim setiap hari kalau tidak ke set penggambaran. Saya mengurangkan pengambilan nasi dan daging merah. Saya lebih memilih sayuran, ayam, ikan dan minum banyak air,” ujar Gerald tentang penjagaan dirinya.
Sering dikaitkan dengan ramai wanita, Gerald mempunyai tips tersendiri dalam memikat hati kaum Hawa.
“Helah terbaik untuk mendapatkan wanita yang disukai ialah dengan menjadi diri sendiri. Itu sahaja caranya,” ujar si kacak ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: