Menerusi kenyataan ibu LJ, Habsah Simpon, kepada Sinar Harian, gambar itu hanyalah untuk tatapan peribadi sekali gus menyalahkan jurugambar yang bertanggungjawab dalam penyiaran foto berkenaan.
Berikutan daripada kenyataan itu, jurugambar berkenaan, Saiful Nang, yang juga pemilik syarikat fotografi, CandidSyndrome International, tampil menjelaskan situasi sebenar menerusi laman sosial, Facebook miliknya.
Menganggap dirinya sebagai ‘mangsa keadaan’, Saiful Nang, berharap dirinya tidak terus disalahkan.
Ikuti temubual Saiful Nang bersama Zass.
Bolehkah anda jelaskan mengenai perkara ini?
Seperti yang diterangkan menerusi laman Facebook, saya sendiri tidak mengetahui perjanjian yang diperkatakan ibu LJ. Mereka tak ubah ingin meletakkan kesalahan ke atas bahu kami, CandidSyndrome, sedangkan tiada apa-apa perjanjian bertulis. Dari awal lagi, saya menolak penajaan fotografi perkahwinan kerana pada tarikh itu, saya berada di Makkah untuk majlis perkahwinan lain. Saya hanya berurusan dengan Izuan Mokhtar, yang menguruskan perkahwinan LJ. Selepas berbincang, saya putuskan hanya boleh membuat sesi pra perkahwinan sahaja kerana kesuntukan masa. Semuanya berlaku menerusi telefon dan LJ tidak pernah menghubungi saya walaupun berpuluh-puluh emel dihantar kepadanya untuk menandatangani perjanjian. Pada hari yang ditetapkan, saya bersama kumpulan CandidSyndrome tiba di Hyatt Regency Kuantan Resort pada jam 9 pagi. Namun, LJ tiba jam 1 petang dengan alasan ‘overslept’. Tanpa meminta maaf, LJ dan tunangnya beredar untuk makan dan penggambaran bermula jam 5 petang. Ia berlaku tanpa terma dan syarat yang dipersetujui sedangkan kami mengamalkan sistem itu sebelum membuat penggambaran supaya tidak menjadi kekeliruan di kemudian hari.
Adakah aksi ‘mesra’ yang dirakamkan itu atas arahan CandidSyndrome?
Kami terlalu penat nak menunggu dan semua pra-visual yang disediakan tidak boleh digunakan kerana kesuntukan masa. Jadi, kami hanya mengambil gambar mengikut ‘flow’ dengan kurang intervensi dalam pengaturan gaya. Kami tidak suruh mereka cium, peluk dan pegang. Apa yang mereka gayakan, kami ambil. Itu juga permintaan LJ kerana tunangnya sangat pemalu. Sebenarnya, ia sudah cukup melanggar prinsip saya kerana saya tidak mahu merakam gambar sebegitu.
Jadi, bagaimana foto itu boleh tersebar?
Hak foto adalah milik jurugambar selagi tidak dipindah hak dengan pembayaran atau klausa tertentu yang dipersetujui secara bertulis. Namun, selepas penggambaran itu, wartawan sebuah akhbar (bukan Sinar Harian) , meminta saya memberikan foto-foto itu secara eksklusif kepadanya dan ia diakui LJ selepas saya bertanya. Saya menolak kerana hak eksklusif diberi kepada akhbar itu tanpa pengaturan, Return of Investment, (ROI). Kami cuba bekerjasama dengan wartawan itu, namun emel saya tidak berbalas sehinggalah wartawan itu menghubungi untuk mendapatkan foto untuk siaran Ahad, 20 Januari lalu. Jadi, di mana hak kami untuk mendapatkan pulangan penajaan setelah gambar diserahkan kepada akhbar secara eksklusif?
Apakah reaksi LJ selepas itu?
Pada 17 Januari lalu, Izuan menghubungi saya dan menyampaikan pesanan yang berbunyi, “Kalau susah sangat berurusan dengan Saiful Nang dan CandidSyndrome ni, tanya dia berapa bayaran dia hari tu, kita bayar sahaja, senang cerita”. Saya menjawab, jangan ingat duit boleh beli hormat dan jangan cakap tentang duit dengan saya kerana mereka bukan golongan pelanggan saya. Saya meletakkan harga RM12,000 untuk sesi itu dan Izuan menyatakan LJ tidak mahu berurusan dengan saya lagi kerana harga sangat melampau. Jadi, selepas bayaran dibuat, gambar itu bukan hak saya lagi dan akhbar itu bebas untuk menyiarkannya. Namun saya kesal bila timbul isu ini,saya pula dipersalahkan ibu LJ. Sedangkan dia membenarkan gambar itu disiarkan di akhbar.
Adakah harga itu berbaloi?
Dari awal lagi, saya dah kata, jangan main soal duit dengan saya. Saya tahu siapa pelanggan saya dan saya pilih pelanggan juga. Saya pernah tolak tawaran puluhan ribu ringgit dari jutawan ternama yang tidak pandai hormat kami sebagai manusia. Jangan sesekali main harga diri kami dengan harga ringgit. Saya pernah menerima tawaran tanpa bayaran kerana nilai hormat mereka lebih besar daripada nilai wang ringgit.
Apakah tindakan anda selepas ini?
Perkara ini bukanlah besar mana dan ia boleh diselesaikan dengan mudah. Jika ia dijelaskan dari awal, mungkin tidak akan berlarutan hingga jadi begini. Saya bukan kaki gaduh dan inginkan penyelesaian terbaik. Saya berharap, mereka bersikap profesional dan jangan gunakan orang pengantara sepenuhnya. Saya minta keluarga LJ tidak terus melatah dan saya pelawa untuk menghubungi saya. Selesaikan cara baik, pasti ada jalan. Sepanjang saya bekerja, ini bukanlah masalah pertama yang kami hadapi, namun ia berjaya diselesaikan dengan mudah menerusi perbincangan. Pun begitu, jika mereka bertindak untuk memfailkan saman terhadap saya, silakan. Saya akan tampil dengan semua bukti yang ada.
Pernahkah anda berdepan dengan perkara sebegini?
Kami pernah bekerjasama dalam perkahwinan selebriti termasuk Ning Baizura, Datuk Dr Sheikh Muszaphar, Awal Ashaari dan Scha Al-Yahya, namun tiada pula kesukaran seperti ini. Semuanya berurusan secara mudah. Kami ambil foto dan wartawan akan hubungi kami untuk mendapatkan foto itu dengan mudah mengikut sistem yang ditetapkan. Kami juga mendapat publisiti yang diminta seperti menerbitkan nama CandidSyndrome pada gambar berkenaan.
Mungkin selepas ini anda serik untuk bekerjasama dengan selebriti ?
Serik untuk bekerjasama dengan LJ, bukan selebriti lain. Saya tidak ada masalah untuk menerima tawaran dari kalangan selebriti kerana bukan semua mereka bermasalah. Tapi, selepas ini, saya akan menyediakan perjanjian terlebih dahulu sebelum membuat penggambaran. Mungkin perkara ini menjadi ‘special case’ saya sepanjang bekerja dengan artis. Namun, selepas ini saya akan lebih berhati-hati dan mengambil iktibar dari apa yang berlaku.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: