Friday, January 25, 2013

Trauma mangsa rogol


TRAUMA yang perlu dilalui mangsa bukan hanya kejadian rogol itu sendiri, bahkan pandangan serong masyarakat ke atas dirinya.-Gambar hiasan


SETIAP hari, apabila kita membaca laporan akhbar, kita akan menemui ada saja berita mengenai kejadian rogol. Kita yang membacanya mungkin tidak lagi menganggap ia sebagai berita yang menakutkan kerana ia seolah-olah pengulangan cerita.
Bagaimanapun, satu berita rogol di India telah menggemparkan dunia. Ia tidak menjadi berita biasa lagi. Jyoti Singh Pandey, seorang pelajar fisioterapi bukan sahaja dirogol secara beramai-ramai, malah dipukul dengan teruk sehingga cedera di bahagian otak dan jantung sewaktu menaiki bas.
Lebih malang, dia kemudiannya dicampak keluar begitu sahaja dari bas, seolah-olahnya gadis itu bukan seorang manusia.
Mengapa ada lelaki yang begitu kejam, sehinggakan ada yang sanggup merogol wanita yang sepatutnya diberikan pembelaan?
Terdapat pelbagai perspektif mengapa ada orang yang menjadi perogol. Antara yang popular ialah perogol merupakan individu yang mengalami gangguan psikotik atau mereka yang mempunyai kecelaruan personaliti.
Perspektif lain pula menyatakan bahawa lelaki secara biologikalnya mempunyai sifat untuk menguasai wanita.
Ada pula yang berpandangan bahawa ada individu yang terdorong oleh deviant sexual fantasies yang menyebabkan mereka cenderung untuk melakukan tingkah laku seks sesuai dengan imaginasinya yang janggal itu.
Walaupun fantasi seks tidak semestinya akan menyebabkan berlakunya kejadian rogol, banyak kajian mendapati kebanyakan perogol mempunyai kejanggalan pola pemikiran.
Walau apa pun penjelasan yang cuba dilakukan untuk menghuraikan siapakah perogol, ia bukanlah isu utama.
Isu utama yang sepatutnya difikirkan bersama adalah mengapa dalam kebanyakan kejadian rogol, mangsa selalu dipersalahkan. Ia bukan hanya melibatkan orang awam, malah dalam kalangan profesional dan ahli politik.
Pelbagai alasan dicari untuk menjustifikasi sebab berlakunya rogol. Berpakaian seksi atau berjalan seorang diri di tempat gelap misalnya telah dikatakan sebagai penyebabnya.
Salahkan mangsa rogol
Dalam kebanyakan kes, orang melupakan kejahatan perogol, sebaliknya wanita yang menjadi mangsa dianggap sebagai punca kejadian.
Kajian-kajian psikologi yang dijalankan juga menunjukkan pola yang sama. Mangsa sering menjadi subjek yang dipersalahkan.
Dalam satu kajian eksperimen menggunakan kaedah mock jury paradigm misalnya melaporkan bahawa terdapat kebarangkalian untuk juri tersilap melakukan penghakiman terhadap kejadian rogol.
Manusia cenderung untuk meletakkan kesalahan di bahu mangsa dan bukan perogol itu sendiri.
Kajian yang dijalankan oleh Amnesty International United Kingdom pada tahun 2005 pula menunjukkan bahawa masyarakat cenderung menyalahkan mangsa sekiranya mereka mempunyai ramai pasangan lelaki atau dalam keadaan mabuk.
Kajian-kajian yang dijalankan di beberapa negara lain termasuk Australia, Turki dan Sepanyol misalnya, menunjukkan bahawa mangsa biasanya jarang diberikan simpati. Mereka dianggap sebagai ‘pesalah’ dan kejahatan perogol dilupakan begitu sahaja.
Persoalan mengenai siapa yang bersalah juga bergantung kepada siapa yang ditanya. Golongan lelaki cenderung untuk menyalahkan mangsa dibandingkan jika soalan yang sama ditanya kepada wanita.
Stereotaip bahawa ‘wanita mempunyai rahsia untuk dinodai’ (women have a secret desire to be raped) sebenarnya bakal memunculkan banyak masalah.
Ia menyebabkan mangsa yang dirogol berasa malu untuk melaporkan kejadian rogol kepada pihak berkuasa.
Persepsi negatif masyarakat juga menjadikan mangsa tidak berupaya mendapatkan sokongan yang sepatutnya diperoleh. Mereka akan dianggap sebagai pencetus kepada kejadian rogol dan bukannya pihak lelaki yang memulakannya.
Sebab itulah, masyarakat perlu lebih adil dalam menghakimi kejadian rogol.
Simpati kita terhadap mangsa mungkin mampu membantu mereka. Tidak ada salahnya wanita berpakaian cantik atau mempunyai teman lelaki. Bagaimanapun, ia menjadi kesalahan apabila lelaki tidak mampu menghargai maruah seorang wanita.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: