|
PENGALAMAN bekerja sebagai jurutera perisian membuatkan Nurul Hana Abdul Aziz, 34, tidak mahu ketinggalan untuk menyertai program MSC Malaysia Pembangunan Kandungan Bersepadu (Integrated Content Development - ICON) ketika ia mula diperkenalkan pada tahun 2010.
Atas pelawaan seorang rakan pensyarah di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Nurul Hana mencuba nasib dengan menghantar idea berkaitan kandungan aplikasi yang mungkin boleh dibangunkan.
Tanpa disangka, penyertaannya diterima sekali gus terpilih sebagai peserta perintis ICON musim pertama pada tahun tersebut. Ia memberi peluang kepada Nurul Hana untuk mengikuti kursus khas selama seminggu bagi mempelajari kaedah dan cara-cara membangunkan aplikasi mobil melalui peralatan yang disediakan pihak Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC).
Akhirnya, dia berjaya mencipta satu aplikasi Islamik bertajuk My Jawi Word Builder dalam usaha menggalakkan kanak-kanak seronok mempelajari tulisan tersebut.
“Alhamdulillah, aplikasi My Jawi Word Builder berjaya dipasarkan di laman Google Play Store dan telah menarik perhatian golongan sasaran. Ia merupakan cara mudah untuk mengenali, mengeja dan belajar huruf Jawi bukan sahaja untuk kanak-kanak malah orang dewasa.
“Saya berpuas hati dan gembira kerana dapat menyertai program ICON yang membolehkan para peserta mengembangkan rangkaian kenalan di samping menjana pendapatan sendiri,” ujar Nurul Hana yang sedang melanjutkan pengajian di peringkat Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Artificial Intellegence (AI) atau kepintaran buatan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Jalan Semarak, Kuala Lumpur.
Nurul Hana merupakan salah seorang daripada lebih 1,100 peserta ICON Fasa I yang diadakan bermula tahun 2009 hingga 2010.
Ketua Bahagian Pembolehan Digital MDeC, Wan Murdani Mohamad berkata, ICON ialah satu program mengenai pembangunan kapasiti serta pembinaan ekosistem untuk pembangun-pembangun tempatan memasuki pasaran aplikasi di peringkat rantau dan global.
“Melalui program ini, MDeC memberi penekanan kepada keupayaan dan idea yang dimiliki oleh peserta ICON untuk dikembangkan melalui penyediaan tenaga pengajar dan peralatan bagi kegunaan mencipta aplikasi mudah alih tempatan.
“Untuk itu, MDeC juga menjalin kerjasama rapat dengan rakan-rakan kongsi industri dan pihak berkepentingan untuk melengkapkan pembangun-pembangun dengan pelbagai aspek merangkumi kemahiran teknikal, komunikasi, pendedahan pasaran, latihan perniagaan dan integrasi peranti sepanjang tempoh pembangunan aplikasi,” jelas Wan Murdani kepada Kosmo!.
ICON III bersama Nokia
Terbaharu, program ICON III diteruskan MDeC melalui kerjasama dengan Nokia bagi memupuk pembangunan kandungan aplikasi mudah alih tempatan pada platform Windows Phone 8.
Kerjasama itu akan menawarkan latihan khas dan sokongan komuniti kepada kira-kira 100 pembangun ICON untuk membantu mereka mempelajari platform Windows Phone 8 dan membina asas pengetahuan berdasarkan kepakaran teknikal.
Selain itu, Nokia akan menyediakan Program Pembangun Premium Nokia (NPDP), satu program permulaan yang menawarkan pembangun ICON dengan perkhidmatan dan peralatan terbaik bagi membantu mereka mencipta aplikasi mudah alih bertaraf dunia.
“Kami rasa amat berbangga kerana dapat bekerjasama dengan ICON untuk membina sebuah ekosistem bertenaga yang mengintegrasi pengedaran, kesedaran dan penjanaan wang dari satu tempat.
“Kerjasama ini juga memastikan pembangun di Malaysia menerima peluang maksimum untuk idea-idea yang hebat sambil mengurangkan penglibatan risiko kewangan,” kata Ketua Pemasaran Nokia Pan Asia, Gary Chan.
Tambah beliau, janji Windows 8, Windows RT (untuk ARM-based tablet) dan Windows Phone 8 adalah untuk berkongsi sistem operasi teras merentasi semua platform.
Bahkan, aplikasi tersebut boleh dibangunkan dengan perkongsian komponen yang menggunakan komputer peribadi (PC), tablet dan telefon pintar sekali gus membolehkan pembangun untuk mencapai lebih daripada 400 juta peranti pada 2013.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi MDeC, Ng Wan Peng melahirkan rasa teruja kerana dapat bekerjasama dengan jenama besar seperti Nokia yang merupakan antara pemain utama industri berkenaan.
“Perkongsian bersama Nokia akan lebih melengkapkan pembangun aplikasi dengan kemahiran teknikal yang tepat di samping turut memberi pendedahan pasaran dan keupayaan integrasi peranti sepanjang kitaran hidup pembangunan aplikasi,” tuturnya.
Tidak ketinggalan katanya, melalui ICON, pembangun aplikasi tempatan berpeluang meneroka pasaran antarabangsa melalui medium global seperti Windows Phone Marketplace.
“Kami yakin platform mudah alih terkini seperti Windows 8 akan membawa piawaian pembangunan aplikasi ke tahap yang lebih tinggi dan meluaskan pilihan untuk pasaran baharu,” jelasnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: