Mangsa cabul masih trauma
Su masih trauma dicabul 6 September lalu.
KOTA BHARU – Walaupun sudah lebih setahun berlalu, tragedi hitam dicabul perogol bersiri 6 September itu masih menghantui seorang jurujual tudung di Wakaf Che Yeh, di sini.

Lebih malang, wanita yang berusia 23 tahun itu turut mengalami trauma apabila dia menjadi takut melihat lelaki yang tidak dikenali serta berwajah bengis.

“Pengalaman ini adalah yang paling pahit dalam hidup saya. Saya masih trauma dan berasa takut melihat lelaki berperwatakan ‘pelik’. Kalau berjalan ke mana-mana pun saya mahu ditemani seseorang yang rapat,” katanya.
Wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Su itu tetap rasa lega selepas pelakunya dihukum lima tahun penjara oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Amran Che Jaafar, 29, juga dikenakan empat kali sebatan rotan kerana kesalahannya mencabul wanita itu dia berada di bilik hostelnya di sebuah bangunan di Jalan Kuala Krai, di sini.

Mengimbau kejadian jam 7 pagi itu, Su yang sedang tidur, terjaga sebelum mendapati tertuduh berada di dalam bilik tidurnya. Dia bagaimanapun tidak mampu berbuat apa-apa kerana tertuduh mengacukan pisau ke leher serta mengikat tangan dengan wayar lampu.

Ketika cuba merogolnya, Su berjaya melepaskan ikatan tangan sebelum bertindak menendang pengadu sambil menjerit meminta tolong. Tersentak dengan tindakan itu, tertuduh kemudian melarikan diri dan mangsa membuat laporan polis sebelum dihadapkan ke mahkamah,
semalam.

Hukuman terhadap tertuduh diputuskan Majistret Mohd Fazaly Ali Mohd Ghazaly sementara pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Noor Dayana Mohamed.