Thursday, January 31, 2013

Visi Mamat Khalid


BARISAN karyawan filem Husin, Mon dan Jin Pakai Toncit pada majlis tayangan perdana filem itu di Kuala Lumpur baru-baru ini.


PENGARAH Mamat Khalid sememangnya terkenal dengan filem komedi santai. Ternyata, Mamat Khalid atau nama sebenarnya, Mohamad Mohd. Khalid berjaya menarik masyarakat Malaysia menonton filem Zombi Kampung Pisang dan Hantu Kak Limah Balik Rumah.
Ia sekali gus menjadikan siri penceritaan tentang penduduk Kampung Pisang tersebut menjadi fenomena dalam industri filem di negara ini.
Terbaharu, Mamat muncul dengan siri baharu yang masih memfokus tentang penduduk Kampung Pisang menerusi naskhah berjudul Husin, Mon dan Jin Pakai Toncit.
Ia juga menampilkan barisan karakter yang pernah muncul dalam karya terdahulu itu yang termasuklah Husin (lakonan Awie), Usop Wilcha (Shy8 atau nama sebenarnya, Syed Mohamad Asri), Mon (Ezlynn), Kak Limah (Delimawati) dan ramai lagi.
Namun berbeza dengan komedi santai yang ditampilkan dalam dua siri Kampung Pisang sebelum ini, kali ini kelihatan Mamat cuba menampilkan lawak yang lebih serius.
Ditambah pula dengan imej janaan komputer (CGI), maka filem itu terasa lebih berat berbanding santai. Namun, tidak dinafikan ada juga pengajaran diselitkan di sebalik komedi cara Mamat dalam filem ini.
Mungkin Mamat mempunyai penjelasan dan visi tersendiri di sebalik apa yang ditampilkannya kali ini menerusi filem tersebut.
Ikuti temu ramah bersama Mamat ketika menghadiri majlis pratonton filem Husin, Mon dan Jin Pakai Toncit di GSC Midvalley, Bangsar, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Kosmo!: Naskhah Husin, Mon dan Jin Pakai Toncit kurang lawak dan kelihatan lebih banyak bergantung kepada Awie sahaja. Bolehkah anda komen?
Bagi pendapat saya, penceritaan filem Hantu Kak Limah Balik Rumah lebih longgar. Mungkin ketika itu, ia baru diperkenalkan dan ternyata, orang ramai suka dengan apa yang dilakukan itu. Saya tidak mahu ulang apa yang terdapat dalam Hantu Kak Limah dalam Husin, Mon dan Jin Pakai Toncit.
Penceritaannya harus mudah dan bukan untuk penonton berfikir panjang yang mana mungkin ia perlu untuk sifat sesebuah filem lain. Namun, tidak untuk siri tentang masyarakat Kampung Pisang kerana memang niat saya, hiburan semata-mata.
Apabila ia bersifat hiburan, saya tidak mahu penonton melihatnya sebagai sebuah filem yang berat dan mereka harus melihatnya dengan cara santai.
Dari segi kelonggaran cerita, saya rasa watak Awie memang kuat, dan cerita kali ini ialah mengenai Husin, Mon dan Jin Pakai Toncit dan judulnya sahaja telah mengisahkan tentang mereka. Seperti Hantu Kak Limah Balik Rumah, penonton juga perlu menonton dua kali sebelum faham tentang apakah yang ingin disampaikan.
Adakah filem ini dibuat secara tergesa-gesa kerana mungkin teruja memandangkan filem anda sebelum ini berjaya mencecah tahap pecah panggung?
Saya rasa apa yang penting, mood untuk membuat filem tersebut. Jika saya tangguhkan, mungkin mood itu telah hilang. Selain itu, peminat juga masih terhibur dengan Hantu Kak Limah Balik Rumah dan apa kata, saya hiburkan lagi mereka dengan filem yang lain.
Jika dikatakan anda berniat untuk menghiburkan, namun unsur komedi kali ini kurang. Mungkin barisan pelakon kurang mantap kerana ketiadaan pelakon seperti Johan atau AC Mizal dari filem yang pertama?
Bukan saya tidak mahu, namun mereka juga ada komitmen lain yang membuatkan kami terpaksa teruskan tanpa mereka. Jadi, apa yang saya fikir, buat sahaja apa yang termampu. Untuk terlalu mengharap pada mereka adalah tidak adil untuk artis yang lain.
Apakah yang cuba disampaikan dalam perjalanan cerita filem ini?
Ia sebenarnya tentang segala ketahyulan yang mungkin diamalkan oleh zaman moyang kita dahulu dan sampai perlu dipikul pula oleh anak cucu yang kini hidup di zaman moden. Itu sebenarnya yang cuba saya sampaikan.
Selepas ini akan ada lagikah siri filem tentang masyarakat Kampung Pisang?
Selagi ada kepercayaan terhadap tahyul dalam kalangan masyarakat kita, saya akan terus membuat filem melalui amalan tahyul tersebut. Apabila mungkin masyarakat sudah berhenti daripada mempercayai tentang tahyul, maka tamatlah siri filem tentang orang-orang Kampung Pisang yang mana ia sebenarnya perkara yang amat baik. Namun, mungkin selepas ini, saya berehat sebentar kerana baru sahaja habis penggambaran filem Zombi Kilang Biskut yang akan ditayangkan pada Ogos tahun ini.
Secara keseluruhan, jika dibandibandingkan dengan dua siri filem tentang masyarakat Kampung Pisang sebelum ini adakah
Husin, Mon dan Jin Pakai Toncit boleh dirumuskan sebagai naskhah komedi yang lebih serius?
Memang. Mungkin pada awal jalan cerita naskhah Husin, Mon dan Jin Pakai Toncit kelihatan serius. Namun sebenarnya, elemen komedinya turut diselitkan bersama dengan pengajaran. Dalam filem ini, tetapi ia bukan lagi memfokus tentang watak Kak Limah. Jika filem ini masih dilihat sebagai mengangkat karakter Kak Limah sebagai fokus utama, maka saya anggap ia sebagai suatu tamparan. Saya mahu lari daripada naskhah yang sebelum ini, itu yang penting sebenarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: