Monday, January 28, 2013
Lawak Ke Der 2 ke layar perak
PADA tahun 2012, dunia komedi tempatan melangkah setapak lagi apabila teater Lawak Ke Der buat julung-julung kalinya dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur.
Ternyata teater yang menampilkan barisan pelawak terkenal tanah air seperti kumpulan Jozan, Boboi, Harith Iskander dan Nabil itu mendapat sambutan yang cukup hangat.
Berdasarkan sambutan yang diterima ketika dipentaskan pada Februari tahun lalu, penerbitnya iaitu Tall Order Productions (TOP) mengambil keputusan untuk menyambung semula pementasan lapan bulan kemudian iaitu pada bulan Oktober.
Biarpun dipentaskan buat kali kedua dengan judul Lawak Ke Der 2, ia masih lagi mendapat sambutan yang hangat dengan tiket yang laris dijual sepanjang enam hari pementasan.
Menyedari teater berkenaan terus-menerus diterima ramai, Pengarah Urusan TOP iaitu Hans Isaac lantas membuat keputusan untuk membawanya ke bentuk filem pula.
Hans berkata, idea tersebut timbul apabila dia melihat teater Lawak Ke Der siri pertama yang dimuat naik ke laman YouTube telah ditonton seramai 2.4 juta orang.
"Angka ini membuktikan teater ini sememangnya begitu diminati ramai. Kemudian, saya membuat perbincangan dengan para pelakon dan akhirnya tercetus idea ini.
"Apa yang ingin saya katakan filem ini merupakan teater Lawak Ke Der 2 yang dirakamkan di Istana Budaya dahulu dan kami alihkan pula ke bentuk filem," ujarnya pada majlis pelancaran filem berkenaan yang berlangsung di Hotel Premiera, Kuala Lumpur minggu lalu.
Menurut Hans, langkah tersebut masih belum pernah lagi dilakukan dalam dunia perfileman tempatan dan dia sangat teruja untuk melihat sambutan daripada penonton.
Ujarnya, dengan menggunakan cara tersebut ia akan memberi peluang kepada para penonton di luar Kuala Lumpur yang tidak berkesempatan menyaksikan pementasan teater tersebut sebelum ini.
"Langkah sebegini tidak pernah lagi dipratikkan dan itu yang membuatkan saya tidak sabar-sabar ingin menerima maklum balas penonton. Sekiranya berjaya, sudah tentu ia memberikan satu pembaharuan dalam industri perfileman di Malaysia," ujarnya.
Jelasnya, filem Lawak Ke Der 2 akan mula ditayangkan di pawagam pada 7 Mac ini di 70 buah pawagam di seluruh Malaysia, termasuk Singapura dan Brunei.
Sementara itu, salah seorang pelakon dalam filem tersebut iaitu Afdlin Shauki yang turut hadir berkata, dengan langkah sedemikian pastinya ia mampu meningkatkan lagi martabat para pelawak di negara ini.
Ujarnya, selama ini sudah banyak program komedi yang telah dihasilkan dan sentiasa menerima sambutan yang baik. Ia telah membuktikan dunia komedi di Malaysia berada di kelas tersendiri.
"Ketika Lawak Ke Der 2 dipentaskan di Istana Budaya dahulu, sambutannya begitu menggalakkan. Jadi, saya yakin dan percaya apabila dialih dalam bentuk filem ia akan mendapat sambutan yang sama," ujarnya.
Proses suntingan
Mengenai durasi filem berkenaan pula, Hans memberitahu Lawak Ke Der 2 ditayangkan selama 104 minit, berbanding pementasan sebenar yang memakan masa lebih dua jam.
Jelas Hans, untuk tayangan di pawagam sesebuah filem tidak boleh ditayangkan dalam tempoh yang lama. Maka, proses suntingan harus dilakukan sebelum ditayangkan.
"Semasa pementasan berlangsung saya menggunakan enam buah kamera bagi proses rakaman. Apabila selesai rakaman, saya sangka tidak sukar untuk membuat suntingan.
"Namun begitu, sangkaan itu meleset sama sekali dan proses suntingan berlangsung selama empat minggu. Tidak dinafikan proses suntingan memang sangat mencabar kerana saya terpaksa fikir babak mana yang perlu dimasukkan atau dibuang," jelasnya.
Ketika ditanya mengenai jumlah kutipan pula, Hans mengakui tidak mampu meletakkan sebarang sasaran, meskipun secara bergurau dia yakin filemnya itu mampu membuat kutipan sebanyak RM15 juta.
"Untuk filem ini saya akan membuat promosi secara besar-besaran dan saya sanggup membelanjakan sehingga RM500,000 termasuk kos membeli iklan di surat khabar dan televisyen," ujarnya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: