Friday, January 25, 2013

Kurang sabar ancam jantung

JIKA perasaan marah tidak ditangani, ia boleh mengganggu kesihatan seseorang untuk jangka masa pendek dan jangka masa panjang. - Gambar hiasan


SETIAP hari kita berdepan dengan pelbagai pengalaman yang mungkin boleh mencabar kesabaran.
Melayan kerenah anak-anak yang degil, tersangkut dalam kesesakan lalu lintas berjam-jam lamanya, menurut kehendak bos yang keras kepala atau beratur di barisan kaunter pasar raya terlalu panjang kadangkala boleh membuat seseorang hilang rasional berfikir.
Namun, mungkin ramai yang tidak tahu beberapa episod ketidaksabaran akan mencetuskan tindak balas fisiologi yang menjejaskan kesihatan anda.
Menurut Dekan Program Siswazah di Pace University, New York City, Amerika Syarikat (AS), Daniel Baugher, ketidaksabaran boleh menyebabkan keresahan dan permusuhan.
Beliau yang mengkaji psikologi personaliti dan sosial memberitahu, jika seseorang itu sentiasa gelisah, tidurnya boleh terjejas.
"Hidup dalam persekitaran yang segalanya bergerak pantas dan taksub teknologi pada abad ke-21 ini membuatkan seseorang itu kurang sabar.
"Mereka mahu segala-galanya dengan segera dan menjangkakan perkara-perkara perlu dilakukan dengan lebih cepat," katanya.
Sesetengah individu memang secara semula jadi tidak sabar.
"Tahap toleransi setiap orang berbeza," katanya.
Personaliti jenis A berisiko tinggi
Selalu mudah terasa dan bersikap kompetitif, individu berpersonaliti jenis A suka mendesak. Mereka tidak mampu bertoleransi apabila sesuatu itu tidak dilakukan mengikut cara mereka.
"Individu dengan personaliti ini cenderung meluahkan kemarahan apabila mereka tidak sabar," kata Dr. Redford Williams yang merupakan Doktor Siswazah di Duke University Medical Center di Utara Carolina, AS.

URUSKAN perasaan marah anda dengan betul seperti menarik nafas sedalam-dalamnya ketika itu.


Williams menganggarkan lebih kurang 25 peratus warga AS mempunyai personaliti jenis A. Ia secara tidak langsung meningkatkan risiko kepada masalah kesihatan seperti tekanan darah tinggi dan penyakit jantung.
Kajian pada tahun 2003 yang diterbitkan dalam Journal of the American Medical Association, para penyelidik melaporkan ramai individu yang tidak sabar dan pemarah berkemungkinan menghidap darah tinggi pada masa akan datang.
Ketidaksabaran jadi stres
Apabila seseorang kerap hilang sabar dan marah, tubuhnya bertindak balas kepada tekanan tersebut dengan melepaskan hormon seperti adrenalin atau kortisol.
Paras kortisol dan adrenalin yang tinggi akhirnya boleh menyebabkan pertambahan berat badan, gula dalam darah dan tekanan darah tinggi.
Dalam satu kajian, penyelidik mendapati bahawa golongan dewasa yang mempunyai paras 'permusuhan' tinggi berisiko mempunyai pembentukan plak di arteri koronari.
"Hormon-hormon stres akan merangsang platelet hingga membuatkannya membeku pada arteri yang sudah mengecil kerana penyakit jantung. Ia satu proses yang boleh mengakibatkan serangan jantung. Hormon tersebut juga menyebabkan sel-sel lemak melepaskan lemak ke dalam aliran darah," ujarnya.
Jelasnya, lemak tersebut akan terenap pada plak di dalam arteri yang akhirnya membesarkan plak sekali gus meningkatkan risiko arteri tersumbat.
Mengatasi ketidaksabaran
Beberapa kajian menunjukkan bahawa program pengurusan tekanan boleh membantu orang mudah baran.
Mengajar seseorang bagaimana mengawal perasaan marah dan permusuhan boleh mengurangkan tekanan darah serta berat badan dari semasa ke semasa.
"Bukti yang diperoleh daripada latihan tekanan sangat menggalakkan, namun kajian belum menunjukkan bahawa ia boleh menyelamatkan nyawa," katanya.
Cara terbaik bagi orang ramai untuk mengendalikan situasi mengundang kemarahan dan respons negatif adalah dengan menarik nafas sedalam mungkin dan nilai apa yang mereka rasa.
"Tanya diri anda. Adakah ini penting untuk saya? Adakah munasabah untuk saya rasa marah? Adakah ini semua berbaloi?
"Secara asasnya, cuba bercakap pada diri sendiri jauh daripada perasaan marah," pesan Redford.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: