Tuesday, January 29, 2013

Lima rockers ganti Ombak Rindu


MOHAMED JUHARI (tengah) pada sidang akhbar Konsert Gegar Lima Legenda.


KONSERT Gegar Lima Legenda yang bakal berlangsung di Istana Budaya pada tarikh yang mana pementasan Ombak Rindu sepatutnya dipentaskan iaitu dari 22 hingga 24 Februari telah menimbulkan persoalan.
Adakah konsert tersebut dipilih secara tangkap muat semata-mata untuk mengisi atau menggantikan pementasan Ombak Rindu yang ditangguhkan?
Jawapannya ialah tidak. Ia sebenarnya telah dirancang sejak tahun 2011 lagi.
Namun, disebabkan secara kebetulan penangguhan teater itu telah membuka ruang untuk konsert berkenaan diadakan dengan segera bagi memenuhkan kalendar Istana Budaya dengan acara lain.
Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani berkata, perancangan untuk mengadakan konsert yang menggabungkan rockers tahun 90-an telah fikirkan sejak lama lagi dan ia bukan dilakukan dalam keadaan tergesa-gesa.
“Penangguhan pementasan teater Ombak Rindu adalah kerana faktor jadual artis yang tidak selaras dengan pementasan itu menyebabkan kami terpaksa memenuhkan kalendar Istana Budaya dengan acara lain,” ujarnya pada sidang akhbar di Istana Budaya, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Konsert Gegar Lima Legenda yang akan berlangsung di Istana Budaya dari 22 hingga 24 Februari ini menggabungkan rockers tahun 90-an seperti Saleem (Iklim), Aris Ariwatan, Rahmat (Mega), Zamani (Slam) dan Ali (Terra Rossa).
Ia bakal diiringi oleh Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK) dan akan dibahagi dalam dua segmen.
Tambah Mohamed Juhari, lima artis rock yang akan membuat persembahan tersebut masih mempunyai peminat manakala lagu-lagu mereka masih popular.
Sementara itu, Pengarah Persembahan, Lokman Ghani berkata, konsep konsert itu nanti akan mengangkat kenangan dan kegemilangan era rock balada yang pernah mengangkat nama mereka di kalangan peminat.
“Apa yang pasti hanya seleksi lagu terbaik akan dipilih untuk dipersembahkan kepada penonton dan pada masa ini kami masih lagi memilih lagu apakah yang akan dibawa mereka pada malam itu nanti.
“Susunan muzik juga akan diubah bagi disesuaikan dengan orkestra yang akan mengiringi mereka pada malam itu nanti,” jelasnya.
Bagi Saleem, dia sudah lama mengimpikan untuk membuat persembahan di Istana Budaya kerana sebelum ini hanya menyanyi di pekarangan dewan yang gah itu.
“Saya selalu pasang angan-angan dan menyuarakan luahan hati kepada Mohamed Juhari, tidak sangka ia akan jadi kenyataan tidak lama lagi,” ujarnya yang akan menghantar lapan buah lagu untuk dinilai bagi persembahan malam itu.
Tiket-tiket persembahan itu dijual pada harga RM50, RM70, RM100, RM150, RM200 dan RM250. Tempahan tiket boleh dibuat dengan menghubungi 03-4026 5508 atau 03-4026 5558 atau layari www.ticket2u.biz.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: