RM190,000 lesap
Anggota forensik membuat pemeriksaan pada mesin deposit wang yang dipecah penjenayah.
SHAH ALAM -  Sekumpulan penyamun melarikan wang kira-kira RM190,000 daripada sebuah mesin deposit tunai di sebuah stesen minyak, Seksyen 28, di sini, awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Zahedi Ayob berkata, kejadian dipercayai dilakukan pada awal pagi itu hanya disedari kakitangan stesen minyak kira-kira jam 7.15 pagi sebelum memaklumkan kepada polis.

"Kumpulan penjenayah itu dipercayai menggunakan alat memotong mesin "oxcytelene' atau peralatan kimpalan untuk memecahkan sebuah mesin deposit tunai, manakala tiga mesin pengeluaran tunai (ATM) terdapat kesan cubaan dipecahkan, namun gagal," katanya.
Menurutnya, beberapa kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang termasuk pada mesin ATM di dalam stesen minyak itu disembur dengan cat berwarna merah bagi mengelak aktiviti jenayah mereka dirakam.

"Penjenayah memasuki stesen minyak berkenaan dengan memecah masuk pintu belakang. Kami akan meneliti CCTV di lokasi kejadian untuk mengenal pasti kumpulan terbabit," katanya.
Beliau berkata, stesen minyak itu dipercayai beroperasi pada jam 6 pagi hingga 12 tengah malam.

"Kami tidak menolak kemungkinan penjenayah tersebut telah mengenal pasti dan melakukan pemerhatian di stesen minyak berkenaan sebelum kejadian," katanya.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.