Wednesday, January 30, 2013

Jubah graduasi sentuhan tempatan

SHAH Lalchand menjadi tulang belakang di sebalik Ede & Ravenscroft Malaysia.


MENYARUNG jubah graduasi lengkap dengan papan mortar seterusnya berjalan dengan bangga menuju ke dewan penyerahan sijil, merupakan antara detik paling manis dalam hidup seseorang penuntut.
Ia secara simbolik menandakan segala usaha dan semangat meniti kejayaan dalam pengajian telah dicapai dengan jayanya. Kejayaan itu bukan hanya dirasai graduan yang menerima segulung ijazah daripada tetamu kehormat, malah ibu bapa atau penjaga yang menonton acara itu.
Bagaimana pula perasaan mereka yang berada di sebalik pembuatan jubah graduasi itu tatkala melihat pemimpin-pemimpin masa depan negara menyarung jubah tersebut?
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Pengarah Ede & Ravenscroft (Malaysia) Sdn. Bhd., Datuk Shah Lalchand Ranai, mengakui beliau turut berbangga apabila melihat anak-anak muda mengenakan jubah jahitan syarikatnya saat tamat pengajian di universiti dan kolej.
Kongsi Shah Lalchand, beliau membekalkan berpuluh ribu jubah kepada para graduan di seluruh negara dari institusi pengajian tinggi awam dan swasta terpilih.
“Saya tidak sangka akan menjadi pembekal utama jubah graduan kerana perniagaan yang dilakukan sejak 30 tahun lalu itu sebenarnya terhasil daripada sebuah kedai jahit biasa di Kompleks Campbell di Dang Wangi, Kuala Lumpur,” ujar beliau.
Dapat perhatian antarabangsa
Masih berurusan di bangunan yang sama, tetapi pendekatan dan penjenamaan yang berbeza, Shah Lalchand mengimbas kisah tahun 1996 apabila beliau dijemput oleh syarikat jubah bertaraf antarabangsa, Ede & Ravenscroft untuk menjadi rakan kongsi di Asia.
Ini berikutan sumbangan Shah Lalchand dalam industri pembikinan jubah graduan dan telah berurusan dengan hampir kebanyakan universiti tempatan selain menjaga beberapa pelanggan di Britain.
“Apabila mereka mendapat tahu mengenai operasi dan pengaruh jubah graduan kami, termasuk banyak berurusan dengan universiti-universiti Britain, Ede & Ravenscroft mendekati kami. Syarikat yang berusia 300 tahun itu mahu saya menjadi rakan kongsi dan memutuskan menamakannya waran Queen Elizabeth II, waran Duke of Edinburgh dan waran Prince of Wales,” kata beliau.

Syarikat Ede & Ravenscroft menyediakan jubah untuk hampir kebanyakan universiti dan kolej di negara ini.


Shah Lalchand dengan bangga menunjukkan kad nama beliau bersama ketiga-tiga logo waran yang bercetak timbul dan berwarna keemasan serta nama Ede & Ravenscroft.
Beliau mengakui kebijaksanaan memonopoli perniagaan yang suatu masa dahulu hampir tiada persaingan, komitmen mengedar jubah yang berkualiti dan menjaga perhubungan baik dengan pelanggan serta ketabahan berniaga telah membawa beliau kepada kedudukan sekarang.
Berbicara sedikit mengenai latar belakang, iaitu pada awal tahun 1970-an Shah Lalchand berkata, perniagaan menjahit bersama ahli keluarga bermula dengan jenama Oxford Tailors ‘N’ Outfitters. Mereka banyak memenuhi permintaan menjahit kot peguam atau jubah undang-undang.
Kemudian beliau mengambil keputusan untuk memberi perhatian kepada jubah akademik, memandangkan tiada pasaran tempatan untuk jubah.
“Ini disokong oleh kebanyakan kolej dan universiti yang sedang beroperasi di sekitar Kuala Lumpur. Sebelum itu, saya diberitahu, jubah-jubah lazimnya ditempah dari Australia. Ia akan dibawa sempena musim graduasi dan menelan kos tinggi,” jelasnya.
Tokoh ternama
Kini, berdiri megah di sebalik nama Ede & Ravenscroft, lelaki yang sudah menjangkau usia separuh abad itu menyediakan jubah ke beberapa institusi termasuk pakaian perundangan kepada institusi pengajian berasaskan undang-undang.
“Kami juga membekalkan jubah kepada institusi pengajian tinggi di luar negara yang mengadakan program berkembar mereka di sini seperti Universiti Monash, Universiti Adelaide dan beberapa universiti di New Zealand,” ujarnya.

JUBAH menjadi pakaian wajib dikenakan oleh mahasiswa pada hari konvokesyen mereka.


Duduk berlatar beberapa gambar foto tokoh-tokoh terkenal negara antaranya, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Ahmad Badawi, Datuk Seri Najib Tun Razak, mendiang Tan Sri Dr. Lim Goh Tong dan ramai lagi, Shah memberitahu, jubah-jubah yang dipakai oleh figura-figura terkenal tersebut juga daripada syarikatnya itu.
Bernaung di bawah Ede & Ravenscroft, sebuah syarikat yang ditubuhkan pada 1689 untuk memenuhi keperluan kira-kira 90 peratus jubah graduan dari institusi pendidikan di United Kingdom dan di Malaysia, Shah Lalchand memberitahu, syarikatnya mempunyai sekumpulan pereka termasuk beliau sendiri untuk mereka fesyen jubah.
Bercerita lanjut mengenai kerja-kerja rekaan beliau menambah, ia juga termasuk dengan papan mortar, hud (warna mengikut fakulti atau institusi), rope serta jubah diploma, ijazah, ijazah lanjutan dan doktor falsafah.
Selain mengendalikan segala tugas-tugas logistik iaitu penghantaran dan penerimaan jubah, Shah Lalchand juga memberitahu, Ede & Ravenscroft Malaysia turut menawar khidmat fotografi graduan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini:

Post a Comment