Friday, January 25, 2013

Misi Gaza Rabbani


RABBANI prihatin dengan nasib rakyat Palestin.


KEKEJAMAN rejim Zionis terhadap rakyat Palestin di Gaza telah mengorbankan banyak nyawa yang tidak berdosa khususnya wanita dan kanak-kanak.
Tindakan yang tidak berperikemanusiaan itu telah dikecam oleh banyak pihak dari segenap pelosok dunia tidak mengira bangsa, agama dan usia.
Mengenangkan nasib rakyat Palestin di sana yang menderita saban hari, pelbagai pihak tampil ke depan menghulurkan bantuan bagi meringankan beban mereka.
Golongan artis juga tidak terkecuali mengorbankan masa, tenaga dan harta mereka bagi membantu rakyat Palestin yang ditindas tentera Israel.
Kumpulan nasyid terkenal tanah air, Rabbani tidak melepaskan peluang untuk menghulurkan bantuan dengan mengutip sumbangan bagi mengumpul dana yang akan disalurkan ke Gaza.
Berganding bahu dengan Majlis Perundingan Persatuan Islam Malaysia (Mapim), Rabbani akan melakukan beberapa siri jelajah di seluruh negara dengan mengadakan majlis makan malam amal dan konsert yang bermula pada 26 Januari ini.
Projek yang diusahakan bersama Mapim itu adalah bertujuan mengumpul dana bagi membina sebuah hospital materniti dan pediatrik di Gaza bagi membantu golongan wanita dan kanak-kanak khususnya di wilayah bergolak itu.
Salah seorang anggota Rabbani, Azadan Abdul Aziz berkata, projek yang dikenali sebagai Hospital For Gaza (H4G) itu telah melantik Rabbani sebagai duta bagi membantu mengutip dana dengan mengadakan Majlis Makan Malam Amal H4G yang akan berlangsung di Hotel Singgahsana, Petaling Jaya, Selangor sebagai permulaan.
"Kita akan memulakan kempen mengutip dana ini dengan majlis makan malam di Hotel Singgahsana, Petaling Jaya pada 26 Januari ini, pukul 8.30 malam, diikuti dengan konsert pada 29 Mac di Pulau Pinang yang akan diberitahu kelak lokasinya.
"Selain daripada Rabbani, kita juga ada menjemput Datuk Sharifah Aini pada majlis makan malam tersebut bagi menghiburkan tetamu yang hadir," katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.
Tambah Azadan, selain dua lokasi tersebut, Rabbani juga akan menjayakan konsert di Kelantan dan Johor serta konsert penutup di Stadium Melawati, Shah Alam, Selangor pada 29 Jun nanti.
"Konsert terakhir yang akan diadakan pada bulan Jun itu nanti akan menampilkan ramai artis dan juga penampilan khas daripada Ustaz Don Danial.
"Pemilihan artis pada konsert itu nanti kita akan buat bukan sahaja dalam kalangan yang boleh membuat persembahan tetapi juga mereka boleh menarik orang ramai untuk menderma.
"Sasaran utama kami adalah untuk mengutip sebanyak mungkin dana di samping mencari penyumbang tetap kerana hospital ini memerlukan dana yang berterusan daripada rakyat Malaysia untuk beroperasi," katanya.
Terdapat tiga pakej pembelian meja yang ditawarkan pada harga RM5,000, RM2,000 dan RM1,500 dan bagi sesiapa yang berminat boleh menghubungi Rabbani Production menerusi talian 03-6272 1225 untuk maklumat lanjut.
"Kita juga ada mewujudkan akaun khas untuk H4G bagi sesiapa yang tidak dapat hadir ke acara berkenaan tetapi ingin memberikan sumbangan ikhlas.
"Mereka boleh berbuat demikian dengan membuat pembayaran terus melalui akaun CIMB Yayasan Itmam H4G Rabbani bernombor 14270011413052.
"Buat masa sekarang, inilah yang mampu kami lakukan untuk menghulurkan bantuan kepada rakyat Palestin. Hasrat untuk ke sana memang ada cuma kami menumpukan kepada acara ini terlebih dahulu kerana kos untuk bawa kami ke sana lebih baik diberikan kepada mereka.
"Jika ada penaja yang bermurah hati untuk membawa kami ke sana, kami akan menerima dengan hati yang terbuka dan sangat teruja sekiranya dapat menghiburkan para remaja di situ," ujarnya yang akan menerbitkan sebuah single khas untuk mengenang nasib dan perjuangan rakyat Gaza berjudul, Mawar Berdarah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: