DEA pemangkin usahawan online
Azlina (depan) bersama peneraju modul DEA. Dari kiri: Mohd Farihan Zurairi, Adly, Mentor Arab, Faridul Firdaus dan Sifu Siddiq.
RAMAI kalangan siswazah berangan-angan untuk memiliki perniagaan sendiri bagi memperolehi kekayaan dan kemewahan. Mereka kepingin mempunyai wang banyak untuk membeli apa sahaja yang dihajati.

Namun kebiasaannya terjadi adalah ia hanya diibaratkan angan - angan Mat Jenin. Mengapa begitu? Kerana ramai yang tidak sanggup atau berani mencuba untuk memulakan sesuatu perniagaan setelah menyangkakannya sulit, ada ranjau berduri dan takut menghadapi risiko rugi.

Sekali lagi, mengapa ini berlaku? Pastinya kerana diri tidak berilmu tidak mengenali potensi diri, atau mengerti selok belok perniagaan.

“Sekarang tidak lagi. Dengan penubuhan DNV Entrepreneur Academy (DEA), kita akan memangkin pembangunan usahawan muda di kalangan siswazah. Mencungkil bakat dalaman, memilih, membimbing dan membantu mereka mengendali perniagaan,” kata wanita ikon yang juga pengasas DEA, Datuk Dr Azlina Che Abdullah.

Usahawan terkenal itu berkata, DEA ialah program kolaborasi di antara akademi keusahawanan bersama Tekun Nasional dan Kementerian Pengajian Tinggi. DEA menyasarkan seramai setengah juta penuntut Institut Pengajian Tinggi Awam / Swasta (IPTA/S) untuk dilatih menjadi seorang usahawan.

Menurut Azlina, program DEA menawarkan konsep ‘Mentor Mentee’ yang mana modul program ini direka untuk membentuk atau melatih seseorang menjadi ahli perniagaan yang dinamik dan berdaya saing.

Ujarnya, DEA menyediakan 12 modul bagi melengkapkan proses pembangunan keusahawanan tersebut yang mana modul latihan berkenaan akan dikendalikan oleh beliau sendiri bersama beberapa orang pakar SME (Subject Matter Expert).

Mereka terdiri daripada pakar aura, Ahmad Rosli Ahmad Balia atau lebih dikenali sebagai Mentor Arab. Beliau merupakan pakar dalam pembentukan aura sukses untuk bakal usahawan mengenali potensi diri melalui kaedah warna dan tingkat tenaga. Di dalam modul ini, peserta akan dilatih cara mengenal atau mengenali karakter pelanggan.

Mohd Farihan Zurairi Raja Yahya atau Sifu Farihan Yahya yang akan membimbing peserta menggunakan kekuatan minda. Di mana bakal usahawan akan dilatih menggunakan minda yang betul (mind reprogramming) supaya apa yang difikirkan selaras dengan tindakan mereka untuk mencapai kejayaan dalam perniagaan. Dalam erti sebenar, melatih peserta berminda usahawan.

Faridul Firdaus Zulkapli, pakar dalam pembangunan kepimpinan dalam diri yang mana peserta akan didedahkan dengan pembudayaan dunia bisnes berserta ilmu kepimpinan untuk membentuk seseorang menjadi usahawan yang mempunyai daya kepimpinan.

Sifu Siddiq adalah seorang pakar di dalam penjenamaan syarikat dan produk. Ia juga adalah seorang Pengasas Metafizik Penomboran Islamik yang pertama di dunia. Beliau telah membantu melahirkan seramai 280 orang usahawan baru yang bermula dari “0”. Hampir 20 buah syarikat korporat yang telah menerima perkhidmatan beliau di dalam menyelamatkan syarikat hanya melihat nombor akaun syarikat tersebut.

Terakhir ialah mengenai jutawan yang internet tidak asing lagi, Adly Mukhtar, di mana beliau akan memberi pendedahan rahsia kejayaan dalam perniagaan online.

“Begitulah hebatnya pakar-pakar yang DEA ada selain diri saya sendiri mengetuai DEA & Projek Pembangunan Usahawan ini. Semua ilmu tersebut akan diperolehi peserta dengan mengikuti setiap program DEA,” katanya.

Menjelaskan lebih lanjut kaedah pelaksanaan projek istimewa berkenaan Azlina berkata, penuntut universiti yang berminat untuk mengikuti projek tersebut perlu mendaftar dengan DEA. Seterusnya mereka akan dikehendaki mengikuti setiap seminar yang bakal dikendalikan oleh SME DEA.Azlina berkata, dengan mengikuti program DEA seorang usahawan itu tidak semestinya wajib membuka perniagaan berasaskan produk D Navechee. Sebaliknya mereka bebas memilih produk yang mereka suka.

“Program ini mendapat sokongan penuh daripada Tekun, di mana peserta diberi skim pinjaman sebanyak RM5,000 seorang.

“Program akan berakhir pada Julai tahun ini dengan menyasarkan seramai 1000 usahawan berpotensi bakal lahir selepas mengikuti fasa program DEA. Mereka akan diberikan sijil dan akan dinobatkan sebagai Usahawan berpotensi di majlis Konvensyen yang bakal diadakan pada Ogos 2013,” katanya.

Azlina menambah, penubuhan DEA juga membuka peluang perniagaan berkonsep online kepada penuntut yang ingin berniaga tetapi tidak mempunyai masa kerana kekangan komitmen pelajaran. Program ini juga khusus untuk penuntut yang ingin bergelar usahawan tetapi tidak mempunyai ilmu dan kos permulaan bisnes.

Katanya, ramai sudah mengetahui bisnes online khususnya melalui laman sosial Facebook semakin menguasai dunia perniagaan hari ini. Ia turut diperakui oleh Adly yang telah menjadi ikon remaja berikutan kejayaannya dalam perniagaan di Internet.

“Bayangkan terdapat sebanyak tiga Trilion transaksi bisnes online yang mana 13.5 juta daripadanya ialah menerusi Facebook. Justeru, program ini sebenarnya memangkin perkembangan bisnes online untuk dinikmati oleh mereka yang ingin bergelar usahawan,” kata Adly.