Wednesday, January 30, 2013

Lebih dihargai di luar negara



KURANG aura atau tidak cukup publisiti? Biarpun sudah empat tahun berada dalam industri hiburan tempatan, nama Amanda Imani Iskandar, 22, dilihat tenggelam timbul. Malah, ada yang tidak menyedari akan kehadirannya dalam arena seni.
Mungkin perkara yang sama pernah terjadi kepada pemenang Asian Wave 2012, Shila Amzah yang bintangnya mula bergemerlapan sekitar tahun lalu setelah lebih 12 tahun bergelar penyanyi.
Hakikat itu diakui sendiri oleh Amanda Imani, malah dia tidak melihat usia pembabitannya dalam industri seni sudah cukup matang untuk mengecapi populariti.
"Setiap orang ada jalan sendiri dan saya tidak pernah cuba untuk bertanding dengan bintang baharu yang ada antaranya menyerlah secara mendadak.
"Kehidupan bukan satu trek perlumbaan sebaliknya kita perlu melangkah setapak demi setapak daripada menjadi terkenal tiba-tiba.
"Saya lebih selesa berada dalam situasi sekarang dan tidak suka menghebohkan perkara peribadi. Fokus saya adalah muzik dan kerjaya," katanya yang ditemui pada sidang akhbar dan pelancaran dua buah single iaitu Fobia Cinta dan Like A Boss di Hotel Grand Millenium, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Berbangga dengan pencapaian yang diraih sepanjang bergelar penyanyi, Amanda bagaimanapun mengakui pelik dengan fenomena dirinya yang kurang dihargai di tempat sendiri.
"Jemputan mengadakan persembahan atau menyertai pertandingan di luar lebih banyak berbanding di negara sendiri, jelas sekali keadaan ini amat pelik bagi saya.
"Sejak bergelar penyanyi secara serius dua tahun lalu, saya memang mahu fokuskan muzik saya di Malaysia tetapi rezeki datang dari luar negara lebih banyak," ujar Amanda yang berhasrat untuk terus memahat namanya di tanah tumpah darahnya sendiri.
Dwisingle
Berkongsi kisah menarik mengenai single, Fobia Cinta dan Like A Boss yang dilancarkan serentak pada Selasa minggu lalu, kata Amanda kedua-dua lagu itu ditulis lirik dan diciptanya sendiri.

FIGURA putih melepak ini mengakui pernah melalui pengalaman putus cinta.


"Saya gembira akhirnya berjaya menghasilkan single ciptaan saya sendiri seratus peratus. Karya itu merupakan hadiah dalam bentuk abstrak untuk dikongsikan bersama peminat," katanya.
Sebelum ini, tambah Amanda, dia diberikan peluang menulis lirik lagu menerusi melodi yang diberikan oleh komposer.
Ujar Amanda lagi, dia kini lebih yakin dan matang untuk menulis dan menggubah lagu serta tahu arah tuju karier seninya.
"Fobia Cinta dihasilkan pada tahun 2012 dan sepanjang mencipta lagu itu, saya sering berjumpa dengan pemain biola, Dennis Lau yang menjadi inspirasi untuk saya menambahkan bunyian instrumen asing dalam lagu ini.
"Hasilnya, lagu ini lebih unik dan menjadi lagu kemuncak karier saya tahun ini. Klip video yang dihasilkan pula berkonsepkan vintaj sekitar era 1960-an," kata Amanda yang belum merancang untuk mengeluarkan album dalam masa terdekat ini.
Amanda mengakui pembabitan Dennis Lau dalam Fobia Cinta sedikit sebanyak membuka perspektif pasaran lagunya menembusi pasaran muzik masyarakat Cina.
"Secara tidak langsung memberikan pendedahan dan pengalaman baharu untuk saya. Lagi pun, pasaran muzik mereka mempunyai pendengar yang berbeza dan sudah pasti ini adalah langkah terbaik memberikan pendedahan pada masa akan datang," tuturnya.
Lagu lepas geram
Ditanya adakah kedua-dua buah lagu yang dihasilkan itu merujuk kepada pengalaman hidupnya yang sebelum ini pernah dikecewakan dalam percintaan, jawab Amanda: "Fobia Cinta dan Like A Boss bukan lagu lepas geram atau patah hati."

CUBA mencipta kelainan, Amanda turut mendapatkan khidmat pemain biola, Dennis Lau untuk singlenya yang berjudul, Fobia Cinta.


"Memang saya ada pengalaman cinta yang tidak menjadi sebelum ini tapi bukan dengan penyanyi, lagu Fobia Cinta khususnya bukan ditujukan untuk individu yang spesifik.
"Ramai lagi lelaki lain yang pernah muncul dalam hidup saya sebelum Syarif (Sleeq). Lagu itu merujuk kepada beberapa kisah cinta silam saya yang tidak menjadi," jelasnya yang menyifatkan pengalaman gagal bercinta berbaloi sehingga mencetuskan keinginannya mencipta lagu.
Like A Boss pula kata Amanda, menceritakan turun dan naik kehidupan dan lebih bercirikan feminisme. Menurutnya, lagu itu menyalurkan tenaga baharu untuk dia terus berusaha sebagai seorang penyanyi dan tidak mudah putus semangat.
"Lagu itu membuatkan saya rasa saya perlu melupakan semua perkara negatif dalam hidup, yakin diri, tahu matlamat dan berdikari.
"Saya mahu memberikan kuasa terutama kepada wanita berkerjaya seperti saya untuk memahami diri sendiri dan memperingati satu sama lain untuk tidak lekas putus asa," tambah pemenang vokal terbaik wanita, Anugerah Planet Muzik (APM) 2011 itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: