Sunday, January 27, 2013

Lapan penumpang cedera kereta api tergelincir


ANGGOTA pasukan penyelamat mengusung salah seorang mangsa yang cedera selepas kereta api yang dinaiki tergelincir dan terbalik di Skudai, Johor Bahru semalam.


JOHOR BAHRU – Lapan penumpang termasuk seorang kru cedera apabila empat daripada 10 gerabak Keretapi Tanah Melayu Bhd. (KTMB) tergelincir dan terbalik di Kilometer 738.25 berhampiran Taman Impian Emas, Skudai di sini semalam.
Menurut Pengurus Pemasaran Unit Pemasaran Strategik Perkhidmatan Bandar KTMB, Mohd. Nordin Kimi, tren Sinaran Selatan yang membawa lebih 200 penumpang itu dalam perjalanan dari Stesen KL Sentral ke Woodlands, Singapura tergelincir kira-kira pukul 3 petang.
Menurutnya, kesemua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini untuk rawatan lanjut.
“Punca kejadian masih belum diketahui dan kita masih melakukan siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Difahamkan, mangsa yang merupakan kru KTMB yang berusia 50-an mengalami kecederaan parah apabila kakinya tersepit dan seorang wanita berusia 30-an patah tulang pinggang.
Selain KTMB, operasi menyelamat turut melibatkan tiga jentera dengan kekuatan 23 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Johor Bahru dan Taman Pulai.
Susulan daripada insiden itu, Mohd. Nordin berkata, pihaknya terpaksa membatalkan perjalanan tren Senandung Timuran (Singapura-Tumpat, Kelantan) dan tren Senandung Selatan (Singapura-Tumpat, Kelantan) malam tadi.
“Para penumpang yang terlibat, mereka boleh meminda perjalanan atau pulangan tambang daripada kami. Sebarang perkembangan boleh hubungi KTMB di talian 03- 2267 1200,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, baki penumpang yang terselamat meneruskan perjalanan ke Singapura.
“Mereka meneruskan perjalanan dengan menaiki enam gerabak kereta api berkenaan yang tidak tergelincir dalam kemalangan itu,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: